Dalam genggaman tanganku…

Muhammad bin Abdullah SAW.

Nama terindah yang dinobat sebagai kekasih agung; ketika mana saat lahirnya baginda ke dunia, terlihat cahaya yang amat terang, runtuhnya singgahsana Kaisar Kisra dan terpadamnya api Majusi yang marak menyala selama seribu tahun lamanya. Begitu hebatnya petanda yang diberi Allah akan kedatangan Al-Mustofa (yang terpilih) sebagai rahmat bagi sekalian alam. Seolah-olah seluruh alam menyambut kehadiran insan mulia ini bagi menerangi gelap pekat Jahiliyyah di saat itu. Kelahiran baginda begitu agung, yang kesan kehadirannya mampu kita rasai dan hayati sehingga sekarang. Kini, kita mampu melalui hidup sebagai seorang Muslim, mengenal Allah dan tanda-tanda kebesaran-Nya, bernafas dalam nikmat iman dan Islam, menyedari matlamat dan hala tuju kehidupan, adalah kerana jerih perih insan ini suatu masa dahulu. Begitu besar impaknya dalam hidup, sama ada kita sedari ataupun tidak. Andai hari ini kita terlihat seorang anak memimpin ibunya yang sudah tua melintas jalan, ataupun kita terlihat seseorang memberikan salam dan melemparkan senyuman kepada jirannya, ataupun ketika di dalam bas, kita menyaksikan seorang lelaki memberikan tempat duduknya kepada seorang wanita, semua situasi tersebut merupakan kesan kehadiran insan mulia ini. Sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang mafhumnya:

“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak .” (HR Al-Bukhari dan Al-Baihaqi)

Bahkan, seorang saintis Amerika yang pakar dalam bidang astronomi dan fizik turut mengakui hal ini. Michael H. Hart dalam bukunya yang bertajuk `The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History’ ( 100 Tokoh Yang Paling Berpengaruh dalam Sejarah) telah meletakkan  Nabi Muhammad SAW di kedudukan teratas sebagai manusia yang paling hebat kesannya dalam sejarah peradaban manusia. Bagaimana seorang kafir yang tidak beriman dengan ajaran Islam bisa mengakui betapa signifikannya impak yang diberikan oleh Rasulullah dalam catatan kanvas sejarah. Begitu hebatnya kesan kelahiran ini.

Baginda dan kemanusiaan

Baginda sempurna dari segala aspek, akan tetapi sempurnanya baginda tidak melangkaui batasan fikiran dan kemampuan insan. Tabahnya Rasulullah, tetap menitiskan air mata saat putera baginda pergi menghadap Ilahi. Kuatnya Rasulullah, tetap tercabut giginya dan menitis darah baginda di medan Uhud. Maksumnya Nabi Muhammad SAW, pernah ditegur Allah sewaktu baginda didatangi Ibn Umm Maktum. Seluruh perjalanan hidup baginda disusun dan diatur penuh bermakna bagi melahirkan seorang insan yang benar-benar mantap dari segenap aspek sama ada dari aspek rohani, fizikal, sosial, intelek mahupun emosi. Semenjak dari kecil lagi baginda bergelar yatim piatu, disusukan di perkampungan Bani Sa’ad, seterusnya pergi berniaga ke Syam, dan akhirnya menerima risalah agung di Gua Hira’. Setapak demi setapak rentetan hidup baginda sehingga turunnya wahyu yang merupakan suatu tarbiyyah dari Allah, yang seandainya jika kita hayati, padanya terdapat banyak ibrah (pengajaran) dan juga mutiara yang mampu kita kutip dan praktikkan sebagai seorang dai’e.

Rasulullah diutus Allah punyai misi sebagai pembawa risalah. Seorang dai’e yang mengajak kepada al-Haq dan meninggalkan yg al-Batil. Muhammad Al-Mustofa, berasal dari sebaik-baik kabilah iaitu Quraisy, seterusnya sebaik-baik suku Bani Hasyim dan akhirnya dilahirkan daripada sebaik-baik keluarga. Allah memilih insan yang bakal menyampaikan syiar-Nya dengan penuh teliti, penuh hati-hati. Risalah ini seterusnya disambung oleh para sahabat, tabi’in hinggalah ke zaman ini. Proses yang panjang, memakan masa lebih seribu tahun lamanya, dan akhirnya risalah itu sampai ke tangan kita. Risalah yang perlu digenggam erat. Harus kita sedari, kita juga merupakan para du’at (pendakwah)  yang dipilih oleh Allah untuk berada di atas jalan ini. Begitu ramainya umat Islam di sini, kita yang terpilih. Meneruskan tugas amar ma’ruf nahi munkar yang telah disyariatkan. Sebagai tanda kasih dan cinta Allah yang sangat perlu kita syukuri.

”Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Ali ’Imran : 110)

Jalan hidup

Seandainya kita teliti keadaaan sekeliling, berapa ramai di antara rakan-rakan, sahabat handai, kenalan, hatta ahli keluarga kita sendiri yang masih belum terbuka hatinya, terus menerus hidup ditenggelami arus yang mengasyikkan, menghiasi cintanya pada dunia dengan perkara-perkara yang menggoncang iman. Sama ada tidak tahu akan hakikat dan matlamat hidup ataupun ada antara mereka yang sedar mengenai tujuan penciptaan, akan tetapi terpedaya dengan hasutan nafsu, tewas oleh tipu daya syaitan yang sentiasa mencari jalan dalam menyempurnakan misi mereka. Mereka tidak seperti kita, tidak merasai nikmat berada dalam tarbiyyah, jerit perih jalan amal dan dakwah, kemanisan berukhuwwah kerana Allah – suatu perasaan yang tidak mampu untuk diterjemahkan dalam bait-bait perkataan, hanya dapat diertikan dengan merasai dan melaluinya sendiri.

Tidak dinafikan, jalan ini tidak mudah, penuh dengan duri dan ranjau. Sering kita terluka, berasa futur (putus asa) dengan dugaan yang menimpa. Jiwa terasa lemah sehingga hampir-hampir sahaja risalah yang dibawa ini terlepas dari genggaman tangan. Di saat-saat yang gelap itu, kita imbas kembali sirah Rasulullah, qudwah dan teladan sepanjang zaman. Betapa berat pun ujian yang ditimpakan ke atas kita, kita renungkan kembali dengan sedalam-dalamnya. Sepanjang perjalanan kita menelusuri jalan ini, adakah pernah tubuh kita berdarah dibaling batu? Pernahkah berkocak kasut kita dengan darah? Adakah laluan kita pernah ditaburi duri dan najis? Dipulaukan oleh kerabat mahupun masyarakat sekeliling? Semua itu bahkan banyak lagi rintangan yang dihadapi Nabi Muhammad dalam berdakwah, fizikal mahupun mental. Namun dengan iman yang teguh dan jiwa yang kental, semua itu dihadapi baginda demi cinta kepada Allah SWT.

”Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan`kami telah beriman’, dan mereka tidak diuji? . Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta” (Surah Al-Ankabut : 2&3)

Setiap ujian ialah proses saringan daripada Allah untuk mengetahui siapa antara hamba-Nya yang lebih benar imannya, lebih kuat juhudnya, lebih tinggi sabarnya. Allah SWT berfirman dalam kitab-Nya:

”Dan sungguh, kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu; dan akan Kami uji perihal kamu.” ( Surah Muhammad : 31)

Perkukuh perisai

Oleh itu, dalam kita mengikuti sunnah Rasulullah yang terbesar ini, amat penting bagi kita mempersiapkan diri dengan bekalan secukupnya, menajamkan senjata dan memperkukuh perisai dalam menghadapi liku-liku hidup seorang daie. Rintangan itu sunnah, pengorbanan itu lumrah. Namun begitu, walau apa yang menimpa, seorang da’ie rabbani tidak akan pernah putus asa. Andainya rebah, dia tetap bangkit semula. Ada sesuatu yang menolaknya untuk terus melangkah walau terpaksa bertatih. Ada matlamat agung yang ingin dicapai walau terpaksa melawan arus. Dia ingin melihat wajah Tuhannya, minum dari telaga Rasulnya, bersama dengan mereka yang dicintai Tuhannya, berada di syurga yang tertinggi maqamnya. Dia begitu percaya, yakin dengan janji Penciptanya.

”Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang Mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka, bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung.” (Surah At-Taubah: 111)

Tika malam hari

Setelah seharian bergelumang dengan dunia dan bermuamalah dengan manusia, di malam hari waktu bagi seorang da’ie untuk bersendiri, hanya ditemani yang Maha Memerhati, Maha Mendengar. Di saat ini dia bermuhasabah, membersihkan hati dan jiwa, menguatkan rohani sebagai persediaan menempuh hari-hari seterusnya. Menguatkan kembali genggaman tangannya. Mengadu kepada Allah di dalam tahajjudnya. Seperti mana Rasulullah ketika beruzlah, melazimi qiamullail setiap malam demi mencari redha Tuhannya. Bahkan bangun malam merupakan perintah Allah yang wajib kepada Nabi Muhammad khasnya, kerana padanya tersembunyi suatu hikmah agung yang hanya dirasai oleh mereka yang istiqamah dan ikhlas dalam amalan ini. Kata-kata Ibrahim bin Adham rahimahullah selepas bertahajjud dan beribadat:

”Kelazatan yang kami kecapi jika diketahui raja-raja, pasti mereka akan memerangi kami demi memperolehinya.”

Bebanan dakwah yang ditanggung seorang daie sememangnya berat. Kita sedang menyelusuri jalan yang pernah dilalui oleh Rasulullah dan para sahabat suatu ketika dahulu. Bahkan tugas dan ujian yang mereka lebih dahsyat daripada kita. Hanya berbekalkan iman yang utuh, semangat jihad yang menjulang tinggi dan pertolongan daripada Ilahi, zaman Jahiliyyah bertukar menjadi zaman cahaya yang menerangi seluruh pelusuk dunia. Islam akhirnya menguasai dua pertiga dunia. Bagaimana mereka bisa beroleh kemenangan-kemenanagan itu? Apakah kunci kejayaan mereka semua? Ketahuilah bahawa seluruh kehidupan Nabi Muhammad dan juga para sahabat, setiap langkah daripadanya pasti ada hikmah dan pengajaran yang tersembunyi, hanya menanti kita untuk menemui dan menyelami pengajaran-pengajaran tersebut. Oleh itu ayuh wahai syabab, kita kembalikan cahaya itu ke zaman ini yang semakin kelam dan suram. Yakinlah, pertolongan Allah pasti datang. Itu janji yang pasti!

Oleh: Syahidah Rozinah Liyana Ahmad, Tahun 2, Kuliah Perubatan, Universiti Al-Azhar

Sumber: Laman Web ISMA Mesir

2 thoughts on “Dalam genggaman tanganku…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>