ASAC dedahkan ibu bapa kaedah didik anak menurut syariat

CHUKAI, 14 April – Biro Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Kemaman akan menganjurkan Seminar Anak Soleh Anak Cemerlang (ASAC) pada 28 April ini yang menyasarkan 200 orang peserta terdiri daripada ibu bapa dan golongan pendidik.

Seminar satu hari bertempat di Dewan Perpustakaan Awam Kemaman dijangka mampu menarik perhatian masyarakat setempat dengan pelbagai aktiviti yang bakal diadakan.

Menurut Puan Norlydawati binti Dzulkifli selaku pengarah program, seminar ASAC dianjurkan bersempena dengan Karnival Ria Hari Buku Sedunia dan Hak Cipta yang dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Negeri Terengganu.
Jelasnya lagi, objektif utama ASAC ialah untuk memberikan pendedahan kepada ibu bapa dan golongan pendidik tentang kaedah mendidik anak-anak berpandukan syariat, tip-tips kesihatan kanak-kanak dan juga perkongsian pengalaman bersama tokoh yang dilihat telah berjaya dalam mendidik anak-anak mereka.

ASAC akan menampilkan tiga orang penceramah yang berpengalaman iaitu Ustaz Rushdan Abdul Halim (Yang Dipertua ISMA Kuantan), Ustazah Nor Hayati Salleh (Ketua Wanita ISMA Kuantan)  dan Dr Syarifah Karimah bt. Syed Muhammad, seorang pegawai perubatan lepasan Universiti Monash, Australia. Antara tajuk pembentangan yang menarik ialah seperti Kembara Sang Juara, Ummi.. Didiklah Anakmu dan juga Sayang Ayah Cinta Ibu.

Puan Norlydawati melahirkan harapan agar ASAC kali ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada seluruh warga daerah Kemaman.

Oleh: Mohd Johari Othman,
Wartawan ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>