Apa yang saya fahami dari pemikiran Islam progresif (Bhg. 2)

Islam pada dasarnya tidak menyekat hamba-hambanya untuk menerokai kaedah dan cara pemikiran kontemporari yang akan memberi kebaikan kepada ummah. Walau bagaimanapun, pasti ada tatacara tertentu yang telah Islam gariskan untuk kita semua.

Allah SWT menganugerahkan manusia dengan satu kehebatan iaitu akal untuk kita berfikir pada lunas-lunas tertentu dari sekecil-kecil hinggalah sebesar-besar manfaat untuk manusia. Ini termasuklah cara berfikir kritis ke atas perkara yang baik dan buruk dalam kehidupan ini, namun sebagai manusia biasa dan hamba, kita tidak terlepas dari melakukan kesilapan dalam berfikir dan apatah lagi cuba memberi penafsiran baru ke atas sumber utama dari Al-Qur’an dan Hadis Nabi SAW. Sebagai contoh, Al-Quran itu diturunkan untuk mengemukakan beberapa panduan kepada manusia agar mereka dapat menggunakan akalnya dengan cara yang sebaiknya agar mereka berjaya menemui kebenaran dan hidayah. Al-Quran juga dikenali sebagai kitab yang membawa nur, petunjuk dan hidayah sepertimana firman Allah SWT:

“Kitab Al-Quran ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah: ayat 2)

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Yunus: ayat 57)

Al-Quran itu terkandung pelbagai bentuk gesaan dan saranan yang ada kaitannya dengan cara kita berfikir. Ini termasuklah menyuruh umat Islam menolak keraguan dalam perkara yang pasti, tidak mengikut hawa nafsu dan emosi, menolak taklid buta dan menolak sifat taksub keterlaluan. Ini satu arahan yang menyokong kesempurnaan manusia untuk befikir dengan lebih kritis lagi.

BEBERAPA PANDUAN AL-QURAN UNTUK DIIKUTI

1) Tuntutan Al-Qur’an agar umat Islam berfikir

Kita telah biasa mendengar kisah Nabi Sulaiman a.s. dalam Al-Qur’an yang mana beliau meminta burung belatuk membawa alasan kukuh atas kegagalannya berada dalam kumpulan burung-burung yang berada di bawah pimpinannya. Kisah ini bukan semata-mata menunjukkan kehebatan Nabi Sulaiman a.s. yang boleh berinteraksi dengan binatang, tetapi juga kaedah berhujah dan berfikir untuk mendapatkan penjelasan yang meyakinkan sebelum sesuatu hukuman dijatuhkan. Kisah ini Allah telah gambarkan dalam surah Al-Naml,

Burung belatuk itu tidak lama kemudian datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): “Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba’ dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya.” (Surah al-Naml:22)

Al-Qur’an juga mengajak manusia untuk menggunakan akal fikirannya untuk berfikir tentang makhluk dan kehebatan kejadian Allah SWT. Bentuk pemikiran ini semestinya berpola kritis supaya kita mendapat manfaat dari kejadian alam tersebut sebagaimana dinukilkan dalam beberapa ayat Al-Qur’an,

“Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah orang-orang yang pekak dan tuli” (Surah Al Anfal: 22)

“Dan tidak seorang pun akan beriman kecuali dengan izin Allah; dan Allah melimpahkan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya” (Surah Yunus: 100)

2) Tuntutan agar mukmin menyelidiki sumber maklumat

Pemikiran kritis juga bermaksud bila seseorang itu sangat menitikberatkan sumber maklumat dan tidak mudah menerima apa yang ada dan tersedia dalam masyarakat, media massa dan dari pelbagai sumber. Kaedah ‘hearsay’ dan kemudian mendatangkan hujah yang dangkal bukanlah sesuatu yang wajar diamalkan.  Maklumat tersebut perlu ada penapisan serta manfaat untuk disebarluaskan.

Al-Qur’an amat menekankan kepentingan menyelidik sesuatu perkara sebelum membuat keputusan mengenainya. Keputusan yang ingin dibuat hendaklah berasaskan kefahaman yang jelas terhadap sesuatu, bukannya berasaskan kejahilan, agakan dan andaian liar semata-mata, khususnya dalam hal-hal yang penting. Ini terkandung dalam firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa sesuatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan, yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu” (al-Hujurat: 6)

Paparan kisah Nabi Yusuf a.s. di dalam Al-Qur’an juga menjelaskan pentingnya individu Muslim agar tidak mudah menerima maklumat yang disampaikan oleh orang yang dikasihinya, melainkan setelah maklumat tersebut dapat disahkan berdasarkan bukti-bukti yang meyakinkan. Sebagai seorang Muslim, perlu menganalisa sesuatu berita sehingga yakin akan kebenarannya. Ini merupakan tingkatan proses pemikiran yang tinggi. Fakta ini disokong melalui tindakan al-`Aziz, Raja Mesir yang tidak menerima dakwaan isteriya Zulaikha kononnya Nabi Yusuf a.s berusaha menggodanya tanpa bukti yang kukuh sepertimana Allah SWT gambarkan kisah ini dalam surah Yusof (ayat 20-22).

3) Al-Qur’an menempelak golongan yang taksub

Al-Qur’an turut menegah golongan yang sangat cenderung menuruti pandangan atau amalan majoriti ahli sesebuah masyarakat yang tidak selaras dengan nilai-nilai kebenaran. Konsep pemikiran kritis di sini membenarkan kita meneliti sesuatu itu bersesuaian dengan logik akal tanpa bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam.  Ini kerana, apa yang diturutinya itu boleh bersandarkan sangkaan semata-mata, bukannya berasaskan dalil-dalil kebenaran. Namun begitu, untuk menilai kehebatan sesuatu kisah yang diceritakan dalam Al-Qur’an, ianya mengatasi logik akal manusia dan Allah SWT mampu menjadikan sesuatu kisah agak luar biasa. Pasti kemampuan Allah SWT tidak mungkin dapat diukur oleh logik akal manusia! Al-Qur’an memberikan panduan jelas, bahawa sesuatu bentuk ketaatan, keyakinan dan beriman hanyalah kepada Allah, para nabi dan rasul. Walaubagaimanapun, ketaatan pada sesama pemimpin itu adalah dibenarkan pada kadar batasan yang tidak menyimpang dari syarak. Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud:

“Janganlah engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta” (Surah Al-An`am: 116)

Sesetengah golongan yang taksub tanpa menggunakan nilai logik akal sememangnya disorot secara jelas dalam Al-Qur’an kerana mereka adalah golongan yang rugi untuk masyarakat dan Islam. Ketaatan membuta-tuli itulah akhirnya berupaya melanggar nilai kehebatan cara manusia berfikir.

4) Al-Quran mengajak manusia berfikir positif dan kehadapan

Al-Qur’an tidak terlepas dari menceritakan serta memberi contoh bagaimana pemikiran positif dan kehadapan dibangunkan dalam bentuk visi kehidupan manusia. Sebagai contoh, gambaran keindahan dan kehebatan syurga diulang-ulang dalam pelbagai bentuk dan kisah dalam Al-Qur’an. Hikmah yang boleh kita ambil ialah supaya pemikiran kita tidak hanya memikir dan mentadbir dunia semata, tetapi visi dan tujuan besar kita sebagai hamba ialah mendapat rahmat di dunia dan juga akhirat nanti. Ini juga sebagai dorongan kuat oleh Allah SWT kepada manusia itu sendiri:

“Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman dan berbuat kebajikan, bahawa untuk mereka (disediakan) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Setiap kali mereka diberi rezeki buah-buahan dari syurga, mereka berkata, ‘Inilah rezeki yang diberikan kepada kami dahulu’……..” (Surah Al-Baqarah :25)

Al-Qur’an juga sangat menggalakkan umatnya bersyukur. Dengan melihat apa yang ada pada kita sekarang ini, kita fikirkan secara kritis kehebatan Allah SWT dalam mentadbir pemberian segala bentuk rezeki yang tanpa putus walau sesaat sekalipun. Sepertimana firmanNya dalam surah Ibrahim:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azabKu sangat berat” (Surah Ibrahim:  7)

Panjatkan kesyukuran, kerana dengan bersyukur kita dekat dengan alam semesta dan membuatkan fikiran serta emosi negatif terhapus dari fikiran kita. Sebagai seorang Muslim, pemikiran positif sentiasa dikaitkan dengan pemikiran yang progresif yang memberi manfaat kepada sekalian alam ini.

Bersambung bahagian ke-3 (terakhir).

Oleh: Dr. Azizi Ayob,
Pengerusi,
I-Medik Selangor & Wilayah Persekutuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>