300 mahasiswa meriahkan program “Bila Baju Melayu Bertemu Baju Kurung”

ISKANDARIAH, 9 April: Kira-kira 300 orang mahasiswa Universiti Iskandariah telah memenuhi Dewan Nadi Tram, Shatby dan menunjukkan sambutan hangat terhadap Program “Bila Baju Melayu Bertemu Baju Kurung” anjuran Unit Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Iskandariah.

Program ini telah dirasmikan oleh Ustaz Nik Muhammad Rafie.

Dalam ucapannya beliau menerangkan bahawa masyarakat hari ini mulai keliru kerana wujudnya pelbagai istilah baru yang banyak mengelirukan umat Islam dari sudut halal dan haramnya suatu perkara termasuklah hubungan seharian antara lelaki dan wanita yang ajnabi.

Forum “Bila Baju Melayu Bertemu Baju Kurung” yang menampilkan Ustaz Mohd Suhail bin Sufian dan Ustazah Hasanah bt Khairuddin telah dibahagikan kepada 2 pusingan.

Pada pusingan pertama, saudara Anas Mat Asis selaku moderator membuka bicara dengan soalan mengenai pandangan Islam terhadap perhubungan lelaki dan perempuan kepada Ustaz Suhail. Soalan kedua pula diajukan kepada Ustazah Hasanah mengenai bagaimana caranya memilih calon suami berdasarkan pengalamannya.

Dalam pusingan kedua pula, soalan dibuka kepada semua peserta yang telah melontarkan pelbagai persoalan.

Antaranya bagaimana menjaga hati dan perasaan mengikut akhlak Islam, fiqh-fiqh berkaitan ikatan pertunangan, batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita dan banyak lagi.

Menurut pihak penganjur, program sebegini diharap dapat membuka mata masyarakat pelajar di sini kepada batas perhubungan yang berlandaskan syara’ dan berharap ianya mampu dipraktikkan dalam kehidupan mereka.

Sumber: Laman Web ISMA Mesir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>