Wanita ISMA seru jayakan Kempen Anti Keganasan Kanak-Kanak Seluruh Negara

BANDAR BARU BANGI, 18 Mac – Masyarakat Malaysia diseru agar bersama-sama menjayakan Kempen Anti Keganasan Kanak-Kanak bagi membanteras isu keganasan terhadap kanak-kanak yang semakin berleluasa dengan mengembalikan budaya ambil peduli di kalangan masyarakat, kata Ustazah Norsaleha Mohd Salleh, Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Menurut beliau, penyelesaian Islami perlu diketengahkan kepada masyarakat setempat bagi menjamin keselamatan kanak-kanak dan mengelakkan kejadian yang menimpa adik Dirang kembali berulang.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Kempen Anti Keganasan Kanak-Kanak di Pejabat ISMA Cawangan Hulu Langat, semalam yang dihadiri oleh wakil-wakil daripada Biro Pembangunan Wanita & Keluarga ISMA Pusat.

Kempen yang akan dilancarkan oleh Biro Wanita & Keluarga ISMA ini melibatkan kerjasama daripada semua golongan masyarakat terutamanya i-Medik, Jawatankuasa Masjid dan Surau di seluruh negara, pihak media massa dan Jawatankuasa kampung.

Kebanyakan masalah keganasan terhadap kanak-kanak berlaku di kalangan penduduk kawasan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), perumahan kos rendah dan golongan ibu bapa muda, ujar Ustazah Norsaleha.

“Oleh itu saya menyeru kepada semua ISMA cawangan seluruh negara supaya menjalinkan kerjasama dengan masjid dan surau setempat untuk mengumpulkan golongan-golongan ini untuk mengajak mereka supaya kembali kepada penyelesaian Islam.

“Kebanyakan kes keganasan terhadap kanak-kanak berlaku apabila golongan dewasa tidak mampu menangani masalah hidup terutamanya  masalah kesempitan kewangan,” ujar Ustazah Norsaleha lagi.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang kempen haruslah bertujuan mendidik masyarakat untuk mempraktiskan ajaran Islam dalam mengatasi semua masalah kehidupan. Aktiviti yang menarik penting untuk meraih sokongan golongan masyarakat setempat terutamanya di kalangan belia terhadap kempen ini, tegas beliau lagi.

Disediakan oleh:

Nazariyah Yahaya
Wartawan Media ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>