Fahami assabiah Melayu, Islam

MUKADIMAH

TIADA satu bangsa pun yang sempurna sepenuhnya. Ini tidak bermakna kita membangsakan agama, sebagaimana yang difahami oleh setengah pihak. Umpama Yahudi menyamakan agama Yahudi dengan bangsa Yahudi.

Hakikatnya kita tidak membangsakan agama Islam atau mengagamakan bangsa. Islam adalah agama dan Melayu adalah bangsa.

Kekeliruan ini dikupas oleh Presiden lkatan Muslimin Malaysia (ISMA) ABDULLAH ZAIK ABDUL RAHMAN ketika diwawancara oleh Pengarang Utusan Online, LUKMAN ISMAIL.

ISMA mempunyai cawangan di seluruh negara ini termasuk di luar negara. Dengan ahlinya menghampiri 20,000 orang ia menggabungkan kelompok ulama, ilmuwan, profesional, teknologis dan pelbagai bidang lain yang mempunyai potensi sebagai sebuah gerakan Islam masa depan.

Ia mengambil pendekatan wasatiyyah dan sentiasa menghubungkan Melayu dengan Islam sebagai arus dakwah dan tarbiah. Abdullah Zaik adalah lulusan Universiti Al-Azhar dan berjuang sepenuh masa dalam ISMA.

UTUSAN: Selalu berbangkit isu Melayu dan Islam diperkatakan oleh ramai pihak. Di mana saling hubung antara kedua-duanya dan mengapa takrif Melayu dalam Perlembagaan menyebutkan tentang Islam?

ABDULLAH ZAIK: Yang pertama saya bersyukur kepada Allah kerana dilahirkan dari keturunan Melayu beragama Islam. Saya berbangga dengan peranan yang telah dimainkan oleh bangsa Melayu dalam mengembangkan Islam di rantau ini dan menyumbang kepada kemajuan Islam di seluruh dunia. Bangsa Melayu telah diiktiraf menjadi bangsa Islam sehingga masuk Islam pada satu masa dahulu difahami sebagai masuk Melayu. Ini bagi saya satu pencapaian bersejarah yang perlu dibanggakan apabila Islam begitu berdarah daging dengan jati diri Melayu.

Umpama apabila kita menyebut Arab, orang akan memahaminya sebagai bangsa yang beragama Islam. Kita telah berjaya menampilkan Melayu dengan identiti yang sama dan bagi saya ini adalah satu pencapaian yang telah diusahakan oleh generasi terdahulu. Usaha ini perlu kita pertahankan. Sebab itulah saya sangat kecewa apabila akhir-akhir ini di atas apa-apa sebab, wujud dalam kalangan umat Islam sendiri yang cuba memisahkan Melayu daripada Islam.

Adakah kerana sebahagian daripada orang Melayu melakukan dosa, maksiat atau tingkah laku sebahagian mereka tidak menepati Islam maka kita mahu memisahkan Islam daripada Melayu? Sebenarnya kejahilan yang sama, dosa yang sama dilakukan oleh semua umat di atas muka bumi ini. Tiada satu bangsa pun yang sempurna sepenuhnya. Ini tidak bermakna kita membangsakan agama, sebagaimana yang difahami oleh setengah pihak. Umpama Yahudi menyamakan agama Yahudi dengan bangsa Yahudi.

Hakikatnya kita tidak membangsakan agama Islam atau mengagamakan bangsa. Islam adalah agama dan Melayu adalah bangsa. Tetapi kita berbangga berdarah dagingnya hubungan antara Melayu dan Islam kerana peranan Melayu di rantau ini sepanjang sejarah mengambil milikan (ownership) dalam mempertahan dan mengembangkan Islam. Seperkara lagi, apabila kita bercakap tentang hubungan Islam dengan bangsa, kita perlu memahami hakikat bahawa Islam tidak tertegak dengan sendiri tetapi Islam akan tertegak pada kumpulan manusia dalam kehidupan satu bangsa atau satu umat. Apabila kita bercakap tentang perjuangan Islam dan cuba menolak hubungannya dengan peranan satu bangsa atau umat yang memperjuangkan Islam, itu satu bentuk kebodohan yang nyata atas nama Islam.

Satu lagi bukti betapa akrabnya hubungan Melayu dengan Islam ini, sehingga Melayu dianggap sebagai identiti perlembagaan. Maksudnya Melayu ini bukan sahaja dilihat kepada keturunan tetapi ia merujuk kepada elemen-elemen yang termaktub dalam perlembagaan yang meletakkan tiga perkara sebagai komponen keperibadian Melayu iaitu Islam, bahasa dan adab resam.

Bagi saya ini adalah satu pencapaian yang telah dicapai oleh orang yang terdahulu. Merungkai semula hakikat ini dengan memisahkan Melayu daripada Islam adalah langkah mundur ke belakang yang tidak sewajarnya dilakukan oleh seorang manusia Melayu yang bangga dengan diri dan asal usulnya.

Apa yang mendorong sesetengah pihak mengatakan memperjuangkan Melayu itu adalah asabiah kaum dan ia adalah tidak Islam?

ABDULLAH ZAIK: Bagi saya tanggapan ini timbul kerana kejahilan terhadap sejarah Islam dan memahami nas mengikut konteks yang sebenar. Yang pertama, dalam sejarah Islam, ketua kaum atau mana-mana individu kaum yang menganut Islam akan berdakwah kepada kaum mereka, menjadikan kaum mereka sebagai kaum yang mempertahankan Rasulullah SAW dalam memperjuangkan Islam. Kaum ini menjadikan diri mereka sebagai tentera dalam memperjuangkan Islam.

Itulah yang terjadi kepada semua ketua kaum yang memeluk Islam. Mereka kembali kepada kaum mereka, menyeru kepada Islam dan membawa mereka untuk bersama-sama memperjuangkan dan mempertahankan Islam. Islam tidak pernah menghapuskan identiti kaum dalam sejarah. Rasulullah SAW tidak pernah menghapuskan identiti kaum dengan sebab mereka menganut agama Islam. Bahkan struktur kaum itu wujud dalam sistem politik Islam daripada zaman awal Rasulullah SAW sehinggalah ke zaman mutakhir ini.

Kita perlu membezakan antara dua perkara, antara peranan bangsa dalam struktur politik sebagai alat dan wasilah dengan bangsa sebagai matlamat. Yang tidak dibenarkan oleh syariat ialah bangsa sebagai matlamat. Peranan bangsa dalam sistem politik Islam adalah suatu yang diiktiraf. Dalam konteks inilah kita harus memahami maksud asabiah dengan maksud yang positif.

Kita perlu memahami celaan Rasulullah SAW terhadap assabiah dalam konteks yang betul. Rasulullah SAW menyebut assabiah yang dilarang ialah apabila kamu membantu kaum kamu atas kezaliman. Assabiah dengan maksud ini, boleh kita terjemahkan sebagai fanatisme, yang bukan sahaja sebenarnya dalam bentuk kaum tetapi dalam bentuk parti atau pertubuhan. Apabila kita taksub fanatik kepada kumpulan kita sehingga kita menolak kebenaran ataupun menafikan kumpulan lain, ia termasuk dalam kategori assabiah yang dilarang oleh Rasulullah SAW.

Masalahnya apabila kita tidak faham assabiah dalam makna yang betul, kita ter jebak dalam assabiah tanpa kita sedari.

Perjuangan ISMA adalah untuk mendaulatkan Islam dan bangsa Melayu dan umat manusia umumnya. Bagaimana ia seharusnya berlaku dalam konteks Malaysia?

ISMA memperkenalkan slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat (MSIB) sebagai manifestasi kepada satu gagasan gerak kerja. Setengah orang yang tidak memahami hakikat pertembungan kuasa dalam percaturan politik lantas menafikan peranan bangsa dalam menegakkan Islam. Mereka tidak memahami bagaimana percaturan politik itu berlaku, bagaimana percaturan antara kuasa-kuasa, mungkin tidak dapat menyelami rahsia kekuatan di sebalik slogan ini. Melihat dalam konteks Malaysia ini, Islam dapat didaulatkan. Dalam konteks itu kita meletakkan Melayu sebagai alat bukan sebagai objektif ke arah mencapai tujuan untuk mendaulat Islam. Perkataan daulat bermaksud menegarakan Islam.

Dalam konteks percaturan hari ini, hanya dengan kekuatan bangsa Melayu dan ke satuan mereka sahaja, agenda mendaulatkan Islam sepenuhnya akan berlaku. Slogan ini adalah dalam konteks strategi politik, bagaimana kita secara politiknya dapat memainkan peranan dalam percaturan antara agenda-agenda. Slogan ini bukanlah satu pernyataan akademik atau satu yang bersifat konseptual semata-mata.

Setengah orang yang tidak memahami hakikat pertembungan kuasa dalam percaturan politik lantas menafikan peranan bangsa dalam menegakkan Islam. Mereka tidak memahami bagaimana percaturan politik itu berlaku, bagaimana percaturan antara kuasa-kuasa, mungkin tidak dapat menyelami rahsia kekuatan di sebalik slogan ini. Sesetengahnya menganggap bahawa dengan slogan ini, ISMA menyeru kepada bangsa, atau menganggap ISMA mengeksklusifkan Islam kepada bangsa Melayu.

Saya ingin jelaskan bahawa slogan ini tidak berkaitan dengan topik dakwah atau kepada siapa kita berdakwah tetapi ini merupakan strategi berteraskan fikrah Islam, berdasarkan fakta realiti bagaimana peranan bangsa Melayu sebagai umat Islam yang majoriti di sini boleh memainkan peranan penentu dalam menentukan hala tuju politik negara. Ia bukan soal mengeksklusifkan Islam kepada bangsa Melayu, tetapi soal realiti. Agenda umat Islam dan agenda umat Melayu adalah secara realitinya satu yang hampir keseluruhannya sama.

Apabila kita menyebut tentang permasalahan umat Islam, bermakna 90 peratus merujuk kepada bangsa Melayu. Begitu juga apabila kita menyebut tentang masa depan Islam, 90 peratus merujuk kepada bangsa Melayu. Ini tidak menafikan hak bangsa-bangsa lain yang beragama Islam daripada umat Islam.

Sekiranya kita sebut umat Islam secara umum tanpa menyentuh perkataan Melayu, mungkin merujuk kepada bangsa Arab, bangsa Turki atau bangsa China atau India. Apabila kita bercakap tentang realiti politik Malaysia tanpa menyebut siapakah yang berkenaan secara spesifik, mungkin orang akan silap tafsir dan mungkin kita bercakap pada orang yang tidak berkenaan.

Usaha penubuhan Jalur Tiga (Jati) adalah usaha memelihara kedudukan Islam, Melayu dan Institusi Raja di Malaysia. Apakah kemunculan Jati boleh menjadi faktor mempersatu umat secara jangka panjang?

Kemunculan Jati adalah suatu yang tepat pada waktunya, di waktu mana rata-rata umat Islam dan orang Melayu merasa terancam dan tergugat kedudukan mereka. Ia akan mengisi inspirasi orang Melayu khususnya dan umat Islam amnya untuk memastikan kepentingan mereka tidak terancam disebabkan kerakusan pertembungan politik yang berlaku di tanah air. Islam, Melayu dan Raja (IMR) adalah tiga komponen teras yang menjadi asas kepada pembentukan Perlem bagaan Malaysia.

Isu IMR ini adalah merupakan isu paksi di mana kontrak sosial dalam konteks hubungan antara kaum di Malaysia ini digubal. Islam dengan kedudukannya, Melayu dengan hak-haknya dan institusi Raja dengan peranannya. Haruslah dijunjung dan dihormati oleh semua kaum yang ingin tinggal di negara ini.

Apabila akhir-akhir ini, terdapat usaha dari luar dan dalam yang ingin mencabar dan menggugat tiga perkara ini, ia tentunya menyentuh jantung hati umat Islam khususnya orang Melayu keseluruhannya. IMR adalah noktah perkongsian yang merangkumi kepentingan orang Melayu dan umat Islam seluruhnya. Dengan menjadikan tiga perkara ini sebagai asas atau landasan perjuangan, in akan menjadi unsur penyatuan kepada seluruh umat.

Sumber: Utusan Malaysia, 6 Mac 2012

105 thoughts on “Fahami assabiah Melayu, Islam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>