Dakwah Amar Maaruf Nahi Mungkar: Penyelesaian kemelut sosial umat hari ini

Nyawa mesti dibalas dengan nyawa. Inilah sahaja perkataan yang boleh dihamburkan kepada pembunuh kejam adik Nurul Nadirah dan kanak-kanak lain yang tidak berdosa, menjadi mangsa kerakusan dan kekejaman manusia yang berhati binatang.

“Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu Kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul Kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; Kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.” (Al-Maidah 5:32)

Ayat ini jelas menunjukkan perumpamaan orang yang membunuh satu jiwa yang tidak berdosa seperti dia membunuh kesemua manusia, dan mereka yang menyelamatkan seorang manusia seolah-olah menyelamatkan semua manusia yang lain.

Sebagai seorang Muslim, kita percaya dan menyakini janji Allah Taala kepada semua mangsa pembunuhan kejam dan zalim ini.

Melihat kepada suspek-suspek kes pembunuhan adik Nurul Nadirah, mereka disahkan terlibat dengan dadah jenis metamphetamine dan ice. Methamphetamine dan ice adalah nama saintifik bagi syabu. Ice juga diberi nama Glass, Crystal, Quartz, Ice Cream, Hirropon dan Baby Ice. Ice akan menyebabkan penurunan berat badan secara mendadak dan menjadi perangsang kepada sistem saraf pusat. Ia merupakan sejenis dadah yang berpotensi untuk disalahgunakan dan boleh menyebabkan ketagihan yang berterusan.

Pendedahan ini menunjukkan bahayanya penagihan dadah kepada seseorang apabila ia mempengaruhi sistem saraf manusia dan mampu ‘menanggalkan’ sifat belas kasihan serta kewarasan pada diri penagih.

Ucapan ‘zaman kini tidak seselamat zaman dahulu’ kini meniti dari bibir ke bibir kebanyakkan daripada kita. Dengan meningkatnya jumlah penagih dadah di negara kita, semakin ‘tipisnya’ keselamatan persekitaran kita dan keluarga kita. Keadaan ini pastinya amat membimbangkan setiap ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak.

Pembunuhan demi pembunuhan yang berlaku kepada kanak-kanak malang seumpama ini bukan sahaja perlu dilihat daripada aspek penjagaan keselamatan pihak ibu bapa, malah usaha berterusan pihak berwajib memerangi penagihan dadah dalam kalangan rakyat perlu dipertingkatkan.

Dari sudut yang lain, kita dapat lihat melalui permasalahan sosial ini, semakin terhakisnya nilai kasih sayang dalam diri dan jiwa manusia itu. Apabila manusia semakin hilang nilai kasih sayang dan kewarasan, kehidupan menjadi tidak selamat serta merupakan risiko bagi masyarakat sekeliling yang tidak berdosa. Hari-hari manusia akan hidup dalam ketakutan dan kebimbangan.

Anak-anak sudah tidak selamat dibiarkan bermain di luar rumah tanpa pengawasan orang tua. Ibu bapa merasa bimbang dan risau setiap kali anak-anak keluar rumah walaupun ke sekolah. Suasana seumpama ini boleh menjadi bertambah serius, apabila kehidupan dihiasi dengan curiga dan keraguan yang tinggi terhadap orang lain.

Dalam hal ini, Islam mengajak manusia agar kembali ke pangkal jalan dan menggesa semua orang yang berfikir dan beriman kepada Allah Taala agar melaksanakan perintahNya dengan mengajak manusia meninggalkan kejahatan dan melakukan kebaikan.

Usaha dakwah Islamiah antara jalan penyelesaian kepada kemelut sosial umat hari ini. Tanggungjawab berdakwah perlu dipikul oleh semua orang Islam yang sayang tentang agamanya, sayang terhadap bangsa dan negaranya.

Ini sahaja yang boleh menyelesaikan masalah umat hari ini. Tidak salah untuk kita ‘menjaga tepi kain orang’ demi kebaikan kita bersama. Perasaan dendam, benci dan curiga hanya menambahparahkan penyakit umat dan isu masyarakat yang tidak berkesudahan.

Masyarakat Islam perlu bangkit menyebarkan Islam dan ajarannya yang penuh kasih sayang kepada mereka yang hilang pedoman hidup, hilang hala tuju, hilang jati diri dan nilai-nilai murni.

Mencegah itu lebih baik daripada membanteras.

Ustazah Norsaleha Mohd Salleh,
Ketua Wanita,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Sumber: Laman Web Wanita ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>