Tulisan jawi perlu kembali dimartabatkan

BANGI, 31 Januari – Naib Presiden 1 Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdul Rahman Mat Dali menyokong kenyataan yang dibuat seorang pensyarah Korea berhubung perlunya mengangkat kembali martabat tulisan jawi yang kini dilihat semakin tenat dan mungkin akan pupus jika tidak diwarisi.

Menurut beliau, tulisan jawi adalah suatu perkara yang perlu dipertahankan demi menjaga hak dan warisan bangsa Melayu yang berkait rapat dengan Islam dan Al-Quran.

“Tulisan jawi menjadi satu bukti yang jelas dan nyata bahawa bangsa Melayu mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan Islam dan Al-Quran sehingga tulisan orang Melayu sendiri pun berdasarkan tulisan Arab.

“Ini suatu perkara yang perlu dipertahankan supaya kita dapat melihat kaitan kita sebagai bangsa tunggak Islam zaman dahulu dibawa terus sampai bila-bila,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Abdul Rahman tidak merasakan usaha memartabatkan kembali tulisan jawi akan menarik bangsa Melayu ke belakang, sebaliknya ia merupakan kepentingan yang perlu dijaga bersama sebagai orang Islam.

“Kita mungkin akan menghadapi kejutan pada awalnya, namun usaha ini boleh dilakukan dalam fasa-fasa yang beransur sehinggalah ia boleh diterima,” katanya.

Justeru itu, beliau menggesa agar pimpinan negara menjalankan tanggungjawab untuk memartabatkan kembali tulisan jawi khususnya di kalangan generasi muda.

“Kita mesti ada cita-cita tinggi untuk memartabatkan tulisan jawi, dengan usaha yang terancang tidak mustahil dalam masa 10 tahun akan datang kita dapat melihat tulisan jawi di tepi-tepi jalan dan budaya Melayu kembali dikaitkan dengan Islam seperti dahulu,” tambahnya.

5 thoughts on “Tulisan jawi perlu kembali dimartabatkan

  1. Pingback: Tulisan Jawi Perlu Kembali Dimartabatkan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>