Kebebasan beragama dan hak asasi manusia

Allah Taala menjadikan perbuatan manusia terbahagi kepada dua; daruri (terpaksa ikut) dan ikhtiari (pilihan). Antara perbuatan daruri yang memaksa manusia melakukannya tanpa sebarang bantahan ialah kerlipan mata, perjalanan darah, dengupan jantung dan seumpama yang lain. Manusia tidak mampu menahan kerlipan mata, dengupan jantung atau aliran darah yang mengalir di tubuhnya. Sekiranya ditahan maka akan timbul akibat yang buruk seperti kematian dan kesakitan pada fizikal tubuh badan manusia itu.

Perbuatan yang bersifat ikhtiari atau pilihan pula bermaksud manusia diberi pilihan untuk melakukan atau meninggalkannya. Kesan daripada perlakuan kepada perbuatan ikhtiari atau pilihan itu bergantung pada hukum yang ditentukan oleh agama. Begitu jugalah sebaliknya. Namun begitu secara manusiawi, ia boleh menentukan kehendaknya berdasarkan pilihan hati. Antara perbuatan ikhtiari atau pilihan itu ialah keinginan untuk beriman dan kufur, makan, minum, berjalan, duduk dan sebagainya.

Isu memilih anutan agama adalah termasuk dalam perbuatan ikhtiari (pilihan) di mana ianya ialah satu pilihan yang  Allah Taala berikan kepada manusia. Walaupun Allah s.w.t. boleh menggunakan kuasaNya untuk memaksa manusia memilih Islam sebagai anutan, namun Dia tidak menggunakan kuasaNya untuk memaksa manusia melakukan sesuatu yang mereka tidak mahu.

Bagi membantu manusia membuat pilihan yang betul, Allah s.w.t. mengurniakan manusia dengan akal fikiran supaya mereka boleh berfikir dan mengkaji tentang kejadian alam seperti  malam dan siang yang silih berganti. Sekiranya manusia benar-benar berfikir dan berusaha mencari kebenaran, akhirnya mereka akan bertemu dan melihat kekuasaan Allah s.w.t. melalui kebesaran penciptaan langit dan bumi, malam dan siang, bulan dan matahari dan air laut yang pasang dan surut.

Allah s.w.t. juga mengutuskan nabi dan rasul sebagai pembawa petunjuk dan hidayah. Nabi dan rasul ditugaskan untuk mengajak manusia beriman kepada Allah dan Rasul, serta melarang manusia daripada melakukan syirik dan menyekutukan Allah Taala. Para nabi dan rasul juga mengajar manusia cara beribadat yang betul kepada Allah Taala, selain daripada mengajar mereka adab dan akhlak yang mulia. Semua perkara tersebut terdapat dalam ajaran yang diwahyu dan diturunkan Allah Taala melalui kitab-kitab dan lembaran-lembaranNya.

Walaupun Allah Taala tidak memaksa manusia menganut agama Islam, itu tidak bermakna manusia bebas memilih agama yang mereka suka. Melalui kurniaan akal fikiran dan pengutusan para nabi dan rasul, manusia dipertunjukkan dua jalan yang jelas di penghujungnya. Satu jalan yang dihiasi dengan keseronokan, kelalaian dan kejahatan, di mana penghujungnya adalah derita dan kesengsaraan. Manakala satu jalan lagi dihiasi dengan onak dan duri, kesusahan, kesabaran dan takwa, di mana penghujungnya adalah kebahagiaan dan kesenangan abadi.

Sebab itulah dalam al-Quran Allah Taala memerintahkan kepada manusia seluruhnya agar menganut agama Islam dan menyerah diri kepada Allah yang mencipta mereka dan menjadikan siang dan malam untuk mereka berfikir tentang kebesaran dan kekuasaan Allah. Tetapi kejahatan yang melingkari kehidupan manusia telah menutup hati-hati tersebut daripada menyahut seruan dan perintah Allah Taala.

Kebebasan beragama adalah satu undang-undang yang dicipta oleh manusia bagi membolehkan sesiapa sahaja sama ada lelaki atau perempuan, dewasa atau kanak-kanak, muslim atau non muslim boleh membuat keputusan sendiri tanpa terikat dengan ikatan kekeluargaan dan kefahaman bagi memilih agama mana yang mereka ingin anuti. Malah mereka juga boleh memilih untuk tidak beragama. Benarkah manusia dilepas bebas memilih tanpa sebarang panduan dan bimbingan?

Sejarah menceritakan tentang kezaliman gereja yang berlaku kepada masyarakat Barat dan Eropah pada zaman kegelapan dahulu, di mana segala hukum dan undang-undang manusia berada di bawah kuasa gereja. Rakyat tidak mempunyai sebarang kuasa bantahan dan penambahbaikan. Segala bentuk pembaharuan yang cuba diperkenalkan akan menerima akibat yang buruk, sama ada dibakar, dibunuh atau dipenggal lehernya.

Kezaliman ini menimbulkan gerakan liberalisasi yang cuba membebaskan kuasa gereja ke atas rakyat sehingga gerakan ini berjaya mengalahkan kuasa gereja dan meletakkan bidang kuasa gereja kepada ritual keagamaan sahaja. Manakala semua kuasa, undang-undang, kehakiman, kewangan, ketenteraan dan lain-lain telah berjaya dirampas daripada kuasa gereja.

Kesan daripada itu timbul gerakan humanisme yang menolak kuasa Tuhan sebagai pemutus kata terhadap kehidupan manusia. Manusia lebih berhak dan tahu apa yang terbaik untuk diri mereka. Gerakan humanisme inilah yang melahirkan kefahaman hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh semua manusia. Bahkan terdapat juga sebahagian daripada umat Islam terpengaruh dengan keadilan yang diperjuangkan oleh gerakan humanisme ini.

Melalui gerakan hak asasi manusia inilah lahirnya berbagai perjuangan kebebasan yang ingin bebas dari segala bentuk belenggu undang-undang, ikatan adab resam dan budaya, seperti kebebasan beragama, kebebasan berkahwin sesama jenis, kebebasan seks tanpa ikatan yang sah dan lain-lain lagi. Gerakan hak asasi manusia yang mengabaikan aspek ajaran dan tuntutan agama amat berbahaya kepada kelangsungan hidup yang sejahtera, selamat dan aman damai.

Sejarah membuktikan kesejahteraan dan kedamaian manusia hanya boleh dicapai apabila manusia terikat dengan undang-undang dan peraturan yang mengatur dan menguruskan jalan hidupnya. Undang-undang apakah yang lebih baik dan sempurna kalau bukan undang-undang dan peraturan Islam yang dilaksanakan oleh pemerintah beriman dan berkuasa.

Ustazah Norsaleha Mohd Salleh,
Ketua Wanita dan Keluarga
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Sumber: Laman Web Wanita ISMA

One thought on “Kebebasan beragama dan hak asasi manusia

  1. Pingback: Kebebasan Beragama Dan Hak Asasi Manusia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>