Bina kekuatan ummah dengan kefahaman Islam & keimanan

BANGI, 19 Jan. - Kefahaman tentang Islam yang membawa kepada keimanan dan keyakinan merupakan faktor utama membina kekuatan ummah, tegas Ustaz Annuar Salleh, Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah dalam satu siri kuliah dan pengajian ilmu mingguan, Taffaqquh fid-Deen yang bertajuk “Membina Kekuatan Ummah” bertempat di Surau Al-Islah, Taman Kajang Mewah, semalam.

Menurut Ustaz Annuar, susunan pembinaan kekuatan ummah mestilah didahului dengan kekuatan iman, diikuti jalinan kasih sayang dalam ukhuwah dan penguasaan politik.

Tambah beliau lagi, umat Islam di akhir zaman menghadapi situasi yang sangat mencabar di mana tiada lagi nabi dan rasul diutuskan dan ini menyebabkan manusia perlu berfikir dan berijtihad dengan keputusan yang diambil.

“Sesuatu perkara yang hendak diputuskan itu mestilah berdasarkan ilmu dan juga takwa,” ujarnya.

Beliau menambah lagi, memelihara agama merupakan salah satu tuntutan objektif syarak dalam memahami matlamat Islam.

Memelihara agama bermaksud mewujudkan agama di dalam diri manusia daripada tiada agama kepada beragama dan mempertahankannya.

Berdakwah merupakan salah satu cara dalam menjaga agama Islam dengan mengajak manusia berhubung dengan Allah dengan penuh kesedaran.

“Setiap amalan yang dilakukan perlulah disertai dengan keyakinan terhadap keesaan dan kekuasaan Allah dalam melahirkan kekuatan iman yang merupakan keperluan utama bagi setiap pendakwah,” katanya.

Beliau berkata lagi, sebenar-benar iman ialah apabila manusia ikhlas dalam melaksanakan ibadat dengan penuh khusyuk dalam melahirkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah lantas menjadikan mereka lebih berhati-hati dalam setiap tindakan yang diambil.

Umat Islam perlu yakin dengan apa yang difahami dengan mengiktiraf Allah yang lagi berkuasa dan makhluk lain adalah setaraf malah sifat ketakwaan kepada Allah ini perlu dalam menjadikan manusia bebas daripada kuasa-kuasa lain dan tuntutan dunia, tambah beliau lagi.

Ustaz Annuar menjadikan Imam Al-Syahid Hassan Al-Banna contoh tokoh yang beriman dengan kefahaman sebenar Islam di mana tokoh ini percaya dalam melakukan proses perubahan tamadun manusia untuk mencapai khalifah Islam memerlukan perancangan yang teratur dan saintifik.

Beliau juga mengajak para hadirin menjadikan surah Al-`Asr sebagai salah satu surah panduan dalam untuk membina individu, keluarga dan masyarakat muslim dan mengingatkan mereka supaya menerapkan ciri-ciri rumahtangga Islam dengan meletakkan Allah di tempat yang tertinggi, berkasih sayang dan melakukan amal soleh.

Akhir sekali, beliau mengingat hadirin yang hadir bahawa musuh utama kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika dan bangsa Yahudi ialah kebangkitan Islam dan mereka sentiasa merancang untuk menjatuhkan Islam sejak perutusan Nabi Muhammad s.a.w. di Mekah hingga kini.

“Umat Islam perlu berpegang kuat dengan Al-Quran dan Al-Sunnah dalam melawan perjuangan liberalisme dan kebebasan hak asasi manusia yang merupakan perancangan pihak musuh untuk menjatuhkan umat Nabi Muhammad s.a.w. ini,” tegasnya.

Disediakan oleh:
Nazariyah Yahaya
Wartawan Media ISMA

One thought on “Bina kekuatan ummah dengan kefahaman Islam & keimanan

  1. Pingback: Bina Kekuatan Ummah Dengan Kefahaman Islam & Keimanan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>