Siyasah Syar‘iyyah & Tahalluf Siyasiyy Di Malaysia: Satu Analisis Kritikal (Siri 3)

Siyasah Syar‘iyyah Dan Tahalluf Siyasiyy Di Kalangan Parti Politik Ummat Islam Malaysia: Satu Analisis Kritikal

Tahaluf dalam konteks amalan parti politik Malaysia

Tahaluf sebegini termasuk dalam tasarruf imam atau pemerintah, walau bagaimanapun kaedah yang sama harus dipakai oleh gerakan Islam dalam menjalin hubungan mereka dengan individu dan  organisasi bukan Islam.

Sebagaimana yang telah saya nyatakan terdahulu, terdapat dua pandangan ulamak dalam hal ini. Pertama mengharamkan tahaluf secara mutlak dan yang kedua mengharuskannya dengan meletakkannya di bawah urusan pemerintah atau pemimpin. Persoalan ini terangkum dalam ijtihad maslahi. Pendapat tersebut dipersetujui oleh Ahmad al-Rashid yang berpendapat hukumnya harus dengan syarat-syarat tertentu  bagi kategori tahaluf siyasi dan bukan peperangan.

Di atas asas itulah, kita boleh mengambil kaedah ijtihad maslahi yang dipegang oleh para ulama untuk mengukur sejauh mana amalan tahaluf yang diamalkan oleh parti umat Islam di Malaysia bertepatan dengan ijtihad maslahi. Berdasarkan perbincangan yang lalu, berikut beberapa syarat yang dinyatakan oleh pada ulama yang dapat saya simpulkan. Syarat-syarat ijtihad maslahi (bab dhorurah) seperti berikut:

  1. Hendaklah wujud maslahah rajihah
  2. Tidak melebihi kadar yang diperlukan
  3. Maslahah yang pasti (qat’iyyah)
  4. Maslahah bersifat “kulliyah”

Ditambah dengan syarat-syarat tahaluf yang lain:

  1. Hendaklah hukum Islam yang dominan (Syarbini)
  2. Orang kafir boleh dipercayai (al-Hazimi)
  3. Mereka tidak berada di saf hadapan (Maliki)
  4. Mereka adalah golongan yang minoriti (al-Hazimi)
  5. Ada manfaat khusus yang boleh diambil daripada orang kafir

Daripada kajian dan penelitian terhadap dalil-dalil syarak di atas, al-aslu dalam konteks hubungan muslim dengan golongan bukan Islam ialah al-bara` yakni tiada pertanggungjawaban dan permuafakatan. Cuma dalam konteks semasa, konsep tahaluf dilihat sebagai hukum pengecualian dan termasuk dalam bab dhorurat. Perkara yang menjadi kesukaran kepada saya dalam pembentangan ini ialah tiada satu cadangan bertulis daripada mana-mana parti umat Islam yang menjelaskan kaedah ijtihad yang diambil dalam amalan tahaluf yang mereka lakukan. Oleh itu saya merumuskan perbincangan dan perbahasan ini banyak bergantung kepada aspek pemerhatian dan tindak-tanduk luaran semata-mata. Allahu al-Musta’an.

Analisa tahaluf siasi semasa

Oleh itu saya akan cuba bicarakan isu ini dalam konteks percaturan secara umum. Sejauh manakah tahaluf yang diamalkan oleh parti-parti Melayu membawa kemaslahatan kepada umat Islam secara keseluruhannya, bukan maslahah parti-parti.

Pada dasarnya kita sewajarnya bergantung harap hanya kepada kekuatan orang Islam. Bekerjasama dengan orang kafir adalah satu pengecualian atas sebab dhorurah atau hajat yang rajihah.

Hari ini kuasa politik orang Melayu ternyata lemah oleh sebab perpecahan mereka kepada beberapa puak. Dalam konteks BN, UMNO dilihat begitu tercabar dan begitu juga dalam konteks PR, PAS tidak dominan bahkan sering dilihat kalah.  Di pihak yang lain parti-parti bukan Islam semuanya bersatu memperjuangkan kaum mereka.

Ternyata parti-parti bukan Islam tidak boleh dipercayai dan mempunyai agenda. Dalam konteks PR, pemimpin DAP ternyata lebih menonjol berbanding PAS dan dengan nyata menentang negara Islam dan membawa agenda yang bercanggah dengan kepentingan orang Islam. Saya tidak lihat tahaluf dua pihak pada hari ini dengan parti bukan Islam boleh membawa apa-apa kemaslahatan atau keadaan yang lebih baik kepada umat Islam. Seperti disebutkan sebelum ini dominasi kekuasaan Islam adalah salah satu antara syarat untuk mengharuskan tahaluf.

Cuma satu pemerhatian kecil dominasi UMNO dalam konteks BN lebih kuat berbanding dengan dominasi PAS dalam PR.

Apakah maslahah yang rajih dalam konteks percaturan politik hari ini?

Pada pandangan saya maslahah terbesar ialah menjaga dominasi kekuasaan orang Islam. Itu adalah had minima daripada maksud siasah syariyyah. Parti-parti umat Islam dalam BN (UMNO) dan dalam PR (PAS) secara berasingan tidak akan dapat merealisasikan maslahah ini. Sebab itu saya mencadangkan wujud pemuafakatan di kalangan umat Islam dan secara khusus antara dua parti ini.

Walau bagaimanapun wujud kemusykilan-kemusykilan yang menghalang usaha ke arah itu:

Kemusykilan 1

Muwazanah antara dua kemudharatan

PAS mungkin mendakwa bahawa menjatuhkan UMNO lebih maslahah. Secara dakwaan PR akan membawa keadilan dan mengamalkan sebuah kerajaan berdasarkan prinsip good governance. UMNO adalah parti nasionalis sekular yang dianggap korup / rasuah dan melakukan banyak salah guna kuasa, dan PR membawa agenda sosialis liberal demokratik yang berkonsepkan multiracial. Dalam kes ini mujtahid kena mengimbangkan antara maslahah jatuhkan BN/UMNO yang korup dengan menaikkan PR yang menegakkan arus liberal. Situasi manakah yang lebih menjaga maslahah umat Islam, iaitu dominasi kuasa berada di tangan orang Islam.

Kemusykilan 2

Kewajipan menegakkan syariat

Ada tanggapan bahawa jika PR menang pilihan raya, ia adalah perubah untuk melaksanakan Islam atau menegakkan negara Islam. Dokumen bertulis PR dengan nyata mengatakan bahawa menubuhkan negara Islam bukan agendanya. Oleh itu pilihan antara BN dan PR bukan pilihan antara negara syariah dengan negara sekular tetapi alternatif untuk negara yang lebih telus dan demokratik sebagaimana didakwa. Walaupun PAS mungkin cuba untuk mendefinisikan manifesto PR bertepatan dengan semangat syariat, saya berpendapat itu takwil yang agak jauh.

Kemusykilan 3

DAP lebih Islam dari UMNO

PAS juga menganggap kerjasama dengan UMNO sebagai haram kerana ia parti nasionalis sekular. Hujah yang sama juga wujud pada kerjasama dengan DAP. Bahkan DAP pada pandangan saya lebih buruk daripada UMNO kerana dari segi ideologi dan juga memusuhi Islam. Penolakan UMNO boleh ditakwil atas sebab ketidakmampuan bukan kerana ingkar. UMNO boleh dikategorikan sebagai nasionalis sekular tetapi ia tidak menentang Islam sebagai agama.

Menurut Ahmad Rasyid (2004), mendapatkan bantuan dari orang fasik adalah harus. Mereka boleh ambil alih tempat orang kafir. Termasuk dalam neraca parti-parti ini. Banyak parti yang pemikirannya tidak sampai kafir dan ia tidak memusuhi Islam, tetapi ia terikut-ikut dengan arus dan tenggelam, lalu tidak beriltizam dengan syariat, tanpa memusuhi syariat sebaliknya ia didorong oleh fahaman nasionalis, kebebasan dan hak asasi manusia.

Kemusykilan 4

Sejauh manakah UMNO boleh dipercayai?

UMNO dikatakan telah menolak PAS keluar dari pakatan pada 1978. UMNO tidak boleh dipercayai. Secara teori orang beriman lebih boleh dipercayai daripada orang kafir. Saya kira perlu ada pendedahan yang lebih objektif tentang kenapa perkara itu berlaku. Bagi saya politik memang begitu ia berasaskan maslahah. Sebagai parti yang berpengalaman PAS harus boleh menguruskan urusan parti politik dengan baik.

Kemusykilan 5

Perpaduan Melayu adalah taktik UMNO untuk pecahkan PR

Perpaduan Melayu adalah taktik UMNO untuk pecahkan PR, dan apabila PR kalah UMNO akan kembali kepada tabiat asal. Bagi saya secara politik alasan ini agak releven. Saya mencadangkan sepatutnya ada jaminan dan ada fasa menguji niat antara dua pihak.

Penutup

Demikian sedikit sebanyak kajian yang dapat saya buat. Saya telah mendedahkan maksud siyasah syariyyah, kaedah maslahah, asal hubungan antara orang Islam dan orang kafir. Saya mengatakan bahawa tahaluf adalah sejenis pengecualian dan dia diletakkan di bawah tindak tanduk pemerintah berdasarkan maslahah. Saya juga telah menjelaskan syarat-syarat yang ditetapkan oleh ulamak untuk bertahaluf. Di akhir kajian saya memilih untuk tidak membincang tajuk berasaskan senario-senario parti pemerintah dan pembangkang tetapi memilih hanya satu senario sahaja, iaitu permuafakatan antara orang Islam. Ia yang paling tepat pada hemat saya untuk menjaga maksud siasah syariyyah dan meraikan syarat ketat dalam melaksanakan tahaluf dengan pihak kafir sehingga saya percaya ia hampir mustahil berlaku.

Wallahu a’lam.

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Perjalananku

* Kertas kerja ‘Siyasah Syar‘iyyah Dan Tahalluf Siyasiyy Di Kalangan Parti Politik Ummat Islam Malaysia: Satu Analisis Kritikal’ ini telah dibentangkan di Wacana Pemikiran & Peradaban Ummah yang bertemakan Siyasah Syar’iyyah Dalam Konteks Religio-Politik Semasa Malaysia pada 12 November 2011.

27 thoughts on “Siyasah Syar‘iyyah & Tahalluf Siyasiyy Di Malaysia: Satu Analisis Kritikal (Siri 3)

  1. Pingback: Siyasah Syar‘iyyah & Tahalluf Siyasiyy Di Malaysia: Satu Analisis Kritikal (Siri 3)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>