Politik baru

Malaysia dijangka akan mencapai status negara maju dalam jangka masa 8 tahun dari sekarang. Visi yang diletakkan oleh Tun Mahathir ini telah menggerakkan negara ke arah satu matlamat tinggi yang dengan itu diharap bukan saja ekonomi negara akan menjadi lebih mampan tetapi masyarakat akan lebih matang. Pelbagai program transformasi telah dirancang bagi menaikkan ekonomi negara dan pendapatan rakyat.

Namun jika diteliti dari segi politik, saya melihat negara masih jauh dari target untuk mencapai kematangan. Kalau di negara-negara maju, kesilapan mana-mana ahli politik samada dalam skandal rasuah, seks atau salah guna kuasa, maka dengan sendirinya beliau akan berhenti tanpa menunggu kepimpinan membuat keputusan. Tetapi sebaliknya pula berlaku di negara ini di mana yang membuat salah atau yang dilihat membuat salah masih terus berkuasa dan mendapat keampunan pihak tertentu. Ini menjadikan rakyat begitu mual seolah-olah negara ketandusan manusia lain yang mampu untuk memimpin.

Begitu juga jika terdapat perbezaan antara parti dan pengikutnya maka yang menjadi mangsa adalah pengikut walaupun pengikut berada di pihak yang benar. Amat sukar untuk pimpinan parti menerima kritikan ahlinya secara objektf dan berlapang dada. Tetapi sebaliknya sesiapa yang memberikan pandangan yang berbeza maka ia akan dinyahkan dari parti, keburukan peribadi akan dijadikan tatapan masyarakat. Ia akan dihina dalam media-media utama seolah-olah tidak ada langsung kebaikan kepada mereka.

Yang anehnya ia bukan hanya berlaku kepada parti-parti tertentu tetapi juga berlaku kepada parti Islam. Lihat saja kepada apa yang berlaku kepada Dr Hasan Ali dan Ustaz Nasharudin. Pada satu ketika mereka berdua ditatang dan dijulang sebagai pemimpin masa depan PAS. Di mana saja mereka pergi puluhan ribu rakyat akan menghadirinya. Mereka berada di kedudukan yang tinggi dalam parti. Kehadiran mereka menyebabkan ramai golongan muda dan profesional  menyertai parti, akhbar Harakah seperti pisang goreng panas yang menjadi rebutan rakyat.

Singkir

Tetapi kini, walaupun mereka memberikan pandangan yang ikhlas akan kedudukan parti yang sudah tersasar dari landasan asal namun mereka terus dihina dan ditentang oleh kawan dan lawan dalam parti. Mereka dianggap duri dalam daging, sebagai boneka lawan, kecewa kerana gagal memenangi apa-apa jawatan dalam parti, kecewa kerana mungkin tidak dicalonkan dan lain-lain lagi yang menunggu masa untuk didedahkan. Saya tidak menolak kemungkinan mereka berdua akan terus disingkir dari parti kerana desakan dari pihak-pihak tertentu membuatkan parti tidak ada pilihan lain. Amat malang jika ini berlaku kerana kedua-dua individu ini bukan saja berpendidikan tinggi, bijak malah mampu mampu membawa PAS ke tahap yang lebih tinggi.

Benarlah sebahagian orang berkata; politik itu kejam.

Visi 2020

Jadi apa sebenarnya yang ingin kita capai dalam Visi 2020? Apa maknanya ekonomi negara maju jika parti-parti politik dan pimpinannya masih berada pada tahap lama. Takut pada kritikan, tidak mahu mengaku kelemahan sendiri, kuasa menjadi gilaan dan rebutan, aib mengaibkan. Adakah dengan suasana seperti ini akan melahirkan politik yang matang?  Di manakan kedudukan Islam ketika itu, adakah lebih terjaga atau dicairkan dengan pemikiran liberalism dan pluralism? Kalau ahli-ahli politik asyik bergaduh maka bila masa mereka akan berfikir tentang umat?

Malaysia benar-benar mendambakan budaya politik baru!

MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT

Aminuddin Yahaya,
Timbalan Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog:
Suara Dari Gunung

8 thoughts on “Politik baru

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>