Perlukah kuasa ke-3?

Membaca komentar yang diberikan oleh rakan-rakan di dalam blog saya membuatkan saya mencapai konklusi bahawa adalah mustahil untuk meyakinkan mana-mana pihak untuk mencapai satu persepakatan. Alangkah berjayanya musuh-musuh Islam memecahkan umat ini sehingga dilihat tidak ada lagi titik pertemuan yang mungkin berlaku antara parti-parti Melayu Islam. Sentimen kebencian sentiasa ditiup supaya terus membara sambil musuh tersenyum semakin melebar. Umat Islam benar-benar tertipu dan gagal memahami realiti yang berlaku yang semakin mengancam.

Segala keburukan lawan menjadi bahan untuk menghentam seolah-olah tidak ada esok untuk dikau lagi. Saya boleh membayangkan apa yang akan terjadi jika mana-mana pihak menang 2/3 masa PRU13 nanti. Segala dendam kesumat akan terbongkar dengan mengenakan pelbagai sekatan dan tekanan. Amat sayang, negara yang majoritinya orang Islam tetapi kini musuh Islam pula yang menentukan arah tujuan kita.

Di satu pihak terkial-kial ingin mengekalkan kuasa tapi masih tidak mahu berubah manakala di satu pihak lagi mengalir air liur melihat kuasa yang semakai hampir dicapai. Ekonomi sudah sekian lama dikuasai orang lain, pendidikan memang jauh umat Islam ketinggalan, budaya Islam semakin terungkai dan kini kubu terakhir yang masih kekal iaitu politik, sudah semakin hampir diterajui oleh musuh Islam. Ini juga gagal dirasai oleh umat Melayu Islam.

Saya amat terkejut apabila seorang pemimpin Islam beria-ia benar memuji seorang pemimpin DAP sehingga menganggap dia lebih baik dan mulia dari orang Islam kerana beliau cuba mencontohi Umar Ibn Aziz. Kalau begitulah pemikiran orang Melayu Islam bermakna tidak mustahil orang yang sama akan sanggup melantik pemimpin bukan Islam ini menjadi pemimpin negara. Begitu naif dan jahilnya pemimpin Melayu menilai baik buruknya seseorang pemerintah. Asas aqidah langsung tidak menjadi ukuran. Saya tidak tahu nas mana yang dipakai.

Melihat apa yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tidak mustahil bahawa jika berlaku apa-apa kekecohan dalam politik maka orang Melayu Islam akan bergaduh dan berbunuhan sesama sendiri. Apakah di kala itu baru kita nak sedar?

Kuasa ke-3?

Senario ini membuatkan saya mula memikirkan di mana jalan penyelesaiannya.

Mungkin di sana perlu kepada kuasa ke-3 yang mampu menjadi orang tengah. Kuasa yang boleh melihat kemelut politik ini dari perspektif yang lebih luas dan berobjektif. Kuasa ke-3 yang bersih dan murni yang memperjuangkan Islam, yang dianggotai oleh orang-orang Melayu Islam yang ikhlas untuk menjaga kemuliaan agama tanpa mengira kepada kuasa politik. Ini akan menolak monopoli UMNO yang mengatakan ia adalah satu-satunya parti yang memperjuangkan nasib orang Melayu dan menepis dakwaan PAS bahawa merekalah satu-satunya parti yang memperjuangkan Islam.

Mungkinkah ini akan berlaku? Apa pandangan saudara semua?

MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT

Aminuddin Yahaya,
Timbalan Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog:
Suara Dari Gunung

48 thoughts on “Perlukah kuasa ke-3?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>