Jangan persenda hudud

Merujuk kepada satu klip video yang dimuat naik oleh ‘kawasaki9722’ berkenaan hudud, saya menyatakan kekesalan yang amat tinggi atas gurau senda yang dilakukan oleh pelakon-pelakon tersebut. Kejahilan dan kebiadaban pelakon-pelakon tersebut amat jelas apabila mereka mempersoalkan kerelevenan hukum hudud di dalam melahirkan masyarakat yang baik. Dengan menyebut-nyebut beberapa dapatan mudah yang masih boleh dipertikai dalam satu sesi berbual bersama beberapa orang bukan Islam, jelas pengarah klip video tersebut tidak menghormati perasaan umat Islam.

Hukum hudud adalah hukum Allah yang wajib dilaksanakan apabila cukup syaratnya. Ia tidak dipertikai oleh masyarakat Islam sejak zaman berzaman. Perebutan kuasa politik sesama parti-parti Melayu Muslim tidak sepatutnya membawa kepada pertikaian perkara-perkara yang dianggap thawabit (tetap) di dalam syariat Islam. Penangguhan perlaksanaan hukum hudud tidak boleh disekalikan dengan penolakannya.

Ulamak adalah satu kelompok manusia yang perlu dihormati. Menyindir-nyindir mereka dengan menggunakan lafaz-lafaz yang menyakitkan hati bukanlah dari adab Islam. Walaupun berselisih pendapat, kata-kata seumpama itu tidak sepatutnya dilafazkan. Ditambah lagi dengan jelas dapat dilihat di dalam klip video tersebut bagaimana hinanya pelakon Islam tersebut yang memberi ruang juga kepada bukan Islam untuk tumpang sekaki mempersendakan ulamak Islam. Lidah adalah antara penyebab manusia dihumban ke neraka. Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam hadis:

وهل يكب الناس علي وجوههم في النار الا حصائد السنتهم

 “Tidakkah hasil tuaian lidah manusia itulah yang menghumbankan mereka ke dalam neraka?”

Satu lagi perkara yang membimbangkan dengan tersebarnya klip video seumpama itu adalah tentang arus liberal yang kuat menyerang umat Islam sekarang. Kewujudan generasi muda hari ini yang tanpa rasa bersalah mempersendakan hukum-hukum Islam adalah petunjuk kepada betapa dalamnya pemikiran liberal telah memasuki alam umat Islam. Hilang rujukan hidup dan hilang kebanggaan terhadap agama dan bangsa telah menjadi ciri sebahagian generasi muda sekarang.

Saya menyeru kepada pengarah klip video tersebut dan pelakon-pelakonnya supaya bertaubat atas keceluparan lidah mereka. Saya juga menyeru agar klip video tersebut dipadamkan dari tayangan umum.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Naib Presiden II,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Satu Perkongsian

11 thoughts on “Jangan persenda hudud

  1. Pingback: Jangan Persenda Hudud

  2. Pingback: Jangan persenda hudud | ISMA Shah Alam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>