Hijrah asas pembangunan umat Islam

Bila berbicara tentang Hijrah, kita akan dapati di sana beberapa kupasan mengenainya. Ada orang yang akan mengupas dari sudut berhijrah dari kejahatan kepada kebaikan. Ada yang mengupas tentang hijrah dari kesusahan kepada kesenangan. Ada juga yang mengupas dari sudut hijrah dari satu situasi kepada satu situasi dan sebagainya.

Tidak salah kita mengupas dari sudut-sudut di atas, tetapi jangan tenggelamkan perbincangan mengenai hijrah dari sudut penghayatan kisah hijrah Rasul yang sebenarnya. Hijrah Rasul dari bumi tumpah darahnya ke bumi Yathrib yang kemudiannya dikenali sebagai Madinah. Penghayatan dan mengambil iktibar, di mana kedua-duanya akan membawa kepada pelan tindakan seterusnya. Bukan hanya sekadar cerita.

Kisah Hijrah Rasulullah dari Mekah ke Madinah merupakah satu kisah yang diketahui oleh ramai orang. Sama ada mereka mengetahui secara terperinci atau mengetahuinya secara ringkas. Budaya muslim Malaysia yang menjadikan sambutan maal hijrah sebagai acara tahunan, sedikit sebanyak membantu untuk memahatkan dalam minda ummat Islam bahawa peristiwa hijrah ini adalah satu peristiwa besar yang berlaku dalam sejarah Islam.

Sebut saja maal hijrah, setiap peringkat umur rakyat Malaysia secara umumnya akan mengerti. Sekurang-kurangnya akan terbayang di dalam minda mereka gambaran sarang labah-labah di pintu gua, di samping mungkin akan terbayang juga suasana rumah Rasulullah dikepung oleh pemuda-pemuda gagah yang ingin membunuh baginda, tetapi akhirnya mereka tertidur dan hanya sedar dengan kepala mereka telah ditaburkan pasir.

Gua Tsur

Semangat Hijrah

Peristiwa hijrah memaparkan kepada kita kisah perjuangan Rasulullah dalam menyampaikan risalah Islam. Baginda tidak mengharapkan berlaku sesuatu yang ajaib dari Allah untuk memenangkan agama ini. Sebaliknya Baginda yakin kemenangan dan pertolongan Allah itu mesti didahulukan dengan usaha yang tidak sedikit, malahan diiringi dengan susah, payah, pedih, luka, cemas, takut dan sebagainya.

Firman Allah :

Maksudnya: Sesungguhnya Allah memberi pertolongan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, sesungguhnya pada yang demikian itu tanda kebesaran bagi mereka yang mempunyai mata hati. [ Ali Imran : ayat 13 ]

Apakah roh dan semangat Hijrah tersebut turut meresap dan sebati dalam diri-diri masyarakat kita? Adakah mereka mengambil pengajaran dan iktibar dari peristiwa itu? Persoalan ini masih belum boleh dijawab dengan tenang. Walaupun masyarakat kita kaya dengan dengan pengetahuan, tetapi dari sudut memindahkan maklumat tersebut, mengolahnya, mengaitkan dengan dirinya sendiri, serta menterjemahkan dalam realiti kehidupan masih agak perlahan.

Peristiwa Hijrah hanya dilihat sebagai satu peristiwa yang berlaku kepada Rasulullah dan sahabat-sahabat pada zaman itu. Kemudian menjadi catatan sejarah yang memenuhi sedikit ruang dalam diari tamadun Islam. Dikenang dan diperingati oleh generasi selepasnya sebagai bahan hari ini dalam sejarah.

Seperti maulidur Rasul, Isra’ Mikraj dan kisah-kisah peperangan dalam Islam, saban tahun disambut dan diingati tapi masih tidak meninggalkan bekas dalam diri peribadi setiap kita. Budaya barat juga yang kita dukung, tokoh asing juga yang kita kagum. Penyakit sosial tetap merebak. Politik kotor berterusan.

Gerbang Kemenangan

Hijrah Rasulullah ke Madinah adalah rentetan dari perjanjian Aqabah satu dan dua yang dimeterai dengan kaum Aus dan Khazraj penduduk Madinah. Rasulullah telah menghantar seorang sahabat bernama Mus’ab bin Umair sebagai duta Islam ke Madinah untuk mengajarkan Islam kepada penduduk Madinah. Akhirnya penduduk Madinah menawarkan kepada Rasulullah untuk menjadikan negara mereka medan strategik bagi agama Islam.

Allah mengizinkan Rasulullah untuk berhijrah ke Madinah. Bermula dari itu bermulalah ketuanan Islam di Tanah Arab. Memperlihatkan kekuatan mereka dalam peperangan demi peperangan dengan kafir musyrik dan menempa kemenangan demi kemenangan. Peristiwa hijrah sebelumnya seolah-olah pintu gerbang yang luas untuk Islam bangkit dan menang.

Mengambil Peringatan

Allah mengajar kita agar setiap detik hari kita menjadi peringatan:

Maksudnya: Dialah yang telah menjadikan siang dan malam silih berganti bagi sesiapa yang ingin mengambil peringatan dan bersyukur. [ Al Furqan : ayat 62]

Pertukaran siang dan malam itu merupakan tanda kebesaran Allah yang tidak boleh disangkal lagi. Pertukaran malam dan siang juga menyimpan peringatan buat kita melalui peristiwa-peristiwa yang berlaku padanya.

Jika kita perasan, kita akan dapati bahawa banyak stesyen-stesyen dalam kalendar Islam untuk kita berhenti sejenak mengutip bekalan. Dari bulan Muharram sehinggalah ke bulan Zulkaedah, selama 12 bulan. Setiap bulan, sepanjang tahun pasti kita akan dapat lihat berbagai peristiwa besar dan kecil untuk kita mengambil iktibar dan pelajaran.

Peristiwa-peristiwa atau hari-hari kebesaran Islam yang terkandung di dalamnya pelajaran dan pengajaran. Pelajaran dan pengajaran melalui peristiwa atau kejadian-kejadian yang telah terukir dalam sejarah Islam yang melalui seerah para rasul, sahabat dan para solihin.

Pelajaran dan bekalan yang juga boleh diambil dari ibadat-ibadat khusus yang berlaku dalam bulan-bulan tertentu, seperti ibadat puasa dalam bulan Ramadhan dan kisah pengorbanan ketika ibadah haji, seterusnya dan seterusnya, ibarat wadi yang tidak pernah kering airnya.

Kekuatan Seerah

Seerah merupakan sumber motivasi dan sumber inspirasi ummat Islam yang ulung. Seerah merupakah salah satu faktor kekuatan ummat Islam. Umat Islam kaya dengan aset pengalaman. Pengalaman saudara-saudara mereka terdahulu dari kalangan para anbiya’, syuhada’, khalifah dan pejuang-pejuang Islam. Adakah aset ini telah digarap sepenuhnya oleh umat Islam hari ini? Adakah umat Islam merasakan berharganya aset ini?

Penghayatan terhadap kemenangan dan kejayaan-kejayaan yang ditempa dalam sejarah generasi terdahulu tidak berlaku secara serius dalam diri-diri kita umat Islam. Sedangkan budaya untuk maintain hebat dan menang itu memang sudah ada dalam diri-diri setiap kita.

Contohnya dalam dunia sukan, sesuatu pasukan bola sepak dan seumpamanya akan berjuang bermati-matian untuk mengekalkan piala emas yang telah mereka telah juarai. Dalam dunia hiburan, penyanyi dan pelakon seboleh-bolehnya mereka ingin terus berada dalam carta popular selama yang mungkin. Dalam dunia pendidikan, para pelajar yang cerdik akan berusaha mengekalkan kedudukan mereka dalam kelas. Dan banyak lagi contoh-contoh mudah yang lain yang kita boleh lihat.

Agak menghairankan semangat sedemikian tidak pula muncul dalam usaha kita ingin memastikan keunggulan dan kecemerlangan Islam. Ke mana terbangnya semangat ingin mengembalikan semula kegemilangan dan kecemerlangan lalu? Kelesuan ini perlu segera diubati. Tidak sewajarnya umat Islam merasa selesa dengan apa yang ada sahaja. Batu yang keras akan hakis jua akhirnya walau hanya dengan titisan-titisan air yang lembut jika ia berterusan.

Begitu jua dengan jati diri umat Islam, akan kian terhakis hari demi hari oleh agenda musuh yang terancang dengan segala fenomena yang kadang-kadang tidak terjangka. Sifat leka, kurang sensitif, tidak belajar dari pengalaman orang lain perlu diperbaiki. Paling kurang orang Islam mesti ada perasaan ingin berjaya dan benci kepada segala perkara-perkara yang bersifat tidak islami.

Kalam Allah ini semoga akan mengesani;

Maksudnya: Dan ingatkan ketika bilangan kamu sedikit dan lemah di atas muka bumi, kamu takut akan dikalahkan oleh musuh maka Allah membantu kamu dengan kemenangannya dan merezekikan kamu daripada yang baik-baik mudah-mudahan kamu bersyukur. [ Al Anfal : 26]

Cabaran Masa Kini

Secara sedar atau tidak sedar umat Islam sekarang sedang berada di dalam kepungan humanisma dan liberalisasi. Segala sesuatu yang bersifat agama atau Rabbani, dan bersifat mengulang cetak keperibadian dan ketokohan para anbiya’ dan solihin sedaya upaya mahu dipadamkan oleh mereka yang memusuhi Islam. Humanisma dilihat ingin menggantikan agama.

Pemikiran umat Islam disempitkan hanya untuk kesenangan duniawi. Negara-negara Islam merdeka fizikalnya tetapi dari segi nilai dan idealogi mereka masih lagi dijajah. Fikiran mereka dirasuk untuk mendahulukan dunia dan meninggalkan akhirat. Polisi-polisi baru diwujudkan dan berselindung di sebalik nama hak asasi kemanusiaan, walaupun jelas bertentangan dengan agama.

Hakikatnya, pertembungan antara hak dan batil terus berlaku sejak zaman nabi Adam a.s hinggalah sekarang. Hanya topeng yang dipakai oleh pihak musuh kadang-kadang berubah mengikut situasi, bagi mengaburi mata pencinta kebenaran dan keamanan sejagat.

Penutup

Bermula dari detik ini marilah kita memperingati peristiwa hijrah ini dengan penuh penghayatan. Peristiwa Hijrah harus menjadi satu inspirasi kepada kita untuk melonjak ke hadapan. Meneliti strategi Rasulullah ketika baginda melakukan hijrah. Menekuni watak-watak hebat yang menjayakan hijrah, dari kalangan lelaki, wanita maupun kanak-kanak. Sama-sama kita memahami erti pengorbanan, erti kesetiaan, perjuangan dan harapan yang sarat didalamnya.

Kesinambungan antara perjuangan yang kita bawa dengan perjuangan Rasulullah saw adalah perkara asas yang perlu kita muhasabah kembali. Meneruskan agenda tauhid di atas maya pada ini, menepis segala pandangan yang menyeru kepada mempersekutukan Allah atau bertuhankan tuhan-tuhan yang baru.

Justeru itu di kesempatan bulan Muharram yang signifikan dengan Hijrah Rasulullah saw tidak harus dibiarkan berlalu begitu sahaja. Topik hijrah ini mampu menjadi salah satu bahan pembakar semangat ummah. Membangunkan ummah yang sedang tidur dan dibuai mimpi palsu. Topik yang biasanya akan berlangsung sepanjang bulan ini, yang dibicarakan melalui ceramah, kuliah, mahu pun dalam bentuk artikel penulisan. Lantaran itu rebutlah peluang ini untuk sama-sama kita semarakkan semangat hijrah, sebagai salah satu wasilah untuk mentarbiyyah dan membangunkan ummah beragenda.

Di samping itu kita memperkemaskan azam di awal tahun baru kalendar Islam ini. Mentajdid semula tekad dan cita-cita besar kita. Cita-cita untuk melihat Islam cemerlang, yang didukung oleh umatnya yang memiliki agenda islami yang jelas. Mengharapkan kekuatan untuk terus thabat, dalam mendepani segala cabaran mendatang.

Ustazah Norlida bt Kamarudin,
Timbalan Ketua Wanita,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Sumber: Laman Web Wanita ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>