Tindakan bersepadu dituntut hadapi ancaman Kristianisasi

Masih belum terlambat rasanya untuk saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada umat Islam di negara ini secara umum dan gerakan-gerakan Islam secara khusus atas kejayaan menggagalkan penganjuran Festival Seksualiti Merdeka awal bulan ini. Siri desakan dan bantahan yang dikemukakan oleh banyak pihak telah mendorong pihak polis mengambil keputusan mengharamkan program tersebut dan memaksa penganjur akur untuk tidak meneruskan rancangan mereka.

Saya tidak mahu mengulas panjang kenapa kita berkeras menentang Festival Seksualiti Merdeka tersebut kerana ia jelas mempromosikan budaya negatif yang melampaui nilai-nilai agama dan norma-norma masyarakat, malah melanggar sifat tabi’e manusia sendiri. Membenarkan program tersebut berlangsung di negara ini atas dasar hak asasi dan kebebasan individu yang berkiblatkan Barat juga merupakan satu pencabulan kepada kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti yang telah termaktub di dalam perlembagaan.

Hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah kejayaan menghalang penganjuran aktiviti ‘songsang’ itu adalah hasil daripada solidariti pelbagai kelompok umat Islam yang sebulat suara menyatakan pendirian tegas menentangnya. Inilah bentuk kesatuan dan kesefahaman yang kita inginkan, di mana pihak-pihak Islam boleh bersepakat dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan agama dan mengetepikan perbezaan masing-masing. Kesepakatan seperti ini perlu diteruskan dan disuburkan dalam suasana umat Islam berhadapan dengan pelbagai ancaman seperti fahaman humanisme, liberalisme, pluralisme, dakyah kristianisasi, pemurtadan, kebejatan sosial dan banyak lagi.

Baru-baru ini saya berkesempatan hadir ke satu diskusi anjuran Pertubuhan Gabungan NGO Dakwah Negeri Sembilan yang bertemakan ‘Bahaya Kristianisasi dan Pelampau Agama’. Penerangan yang disampaikan wakil-wakil daripada pihak berkuasa dan peguam syar’ie, ditambah dengan perbincangan di kalangan wakil-wakil NGO Islam yang hadir, mendedahkan beberapa dapatan menarik berkisar tentang isu yang semakin menarik perhatian ini.

Salah satu perkara yang ditekankan ialah perlunya kita celik tentang kedudukan agama Islam dan hak-hak sebagai seorang Islam seperti diperuntukkan dalam undang-undang terutama membabitkan penyebaran dakyah oleh kumpulan-kumpulan bukan Islam kepada orang Islam. Perkara 11 (4) dalam Perlembagaan Persekutuan telah menerangkan tentang hal ini dan diperincikan oleh undang-undang agama negeri. Di Negeri Sembilan misalnya, Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam) telah diwartakan khusus untuk menangani permasalahan ini.

Amat mustahak untuk kita mengambil tindakan segera jika berhadapan dengan situasi sebegini, contohnya jika terjumpa risalah berkenaan agama bukan Islam diedarkan di kawasan perumahan kita yang merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang. Tindakan segera dalam bentuk aduan atau laporan penting kerana pihak berkuasa hanya dapat membuat langkah susulan sekiranya ada aduan diterima daripada orang ramai. Apa yang sering berlaku ialah kita tidak bertindak, mungkin kerana sikap orang Islam terutama bangsa Melayu yang terlalu toleran atau sememangnya kerana tabiat kita yang tidak suka ambil kisah hal-hal yang tidak melibatkan kepentingan sendiri.

Namun seperti dilontarkan oleh salah seorang hadirin dalam diskusi tersebut, terdapat juga sesetengah kes di mana pihak berkuasa lambat bertindak terhadap aduan yang sudah dibuat. Justeru itu, pihak berkuasa samada polis atau penguatkuasa agama digesa agar lebih responsif terhadap laporan-laporan yang diterima. Sebarang penangguhan atau pengabaian dikhuatiri akan menyebabkan orang ramai serik untuk membuat aduan, seterusnya membiarkan masalah berterusan tanpa penyelesaian. Timbul juga saranan yang saya kira wajar dipertimbangkan, untuk menubuhkan satu badan di kalangan NGO-NGO Islam dan peguam-peguam syar’ie untuk memberi khidmat nasihat dan membantu orang ramai dari aspek prosedur perundangan.

Pada masa yang sama, institusi-institusi agama dan gerakan-gerakan Islam juga diseru supaya lebih peka dengan keperluan umat Islam dan lebih proaktif dalam membantu golongan yang memerlukan. Hal ini kerana penyebaran dakyah dikenalpasti banyak berjalan secara halus melalui badan-badan kebajikan yang ditaja gerakan Kristianisasi. Mereka memberi bantuan secara percuma kepada orang Islam yang memerlukan seperti wang ringgit, keperluan harian, ubat-ubatan, alat perubatan dan lain-lain lagi. Situasi sebegini benar-benar menuntut kita agar memantapkan lagi jentera insitusi zakat dari segi peruntukan, prosedur permohonan dan pengagihan supaya orang Islam tidak memilih sumber-sumber lain yang tidak dikehendaki.

Memang diakui gejala permurtadan yang berlaku pada hari ini sedikit sebanyak berpunca daripada kelemahan orang Islam sendiri. Namun orang bukan Islam di negara ini perlu diingatkan supaya tidak menjadikan keadaan ini sebagai alasan dan mengambil kesempatan untuk menyebarkan fahaman mereka kepada orang-orang Islam. Tindakan sedemikian jelas merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang dan dilihat tidak menghormati kedudukan agama Islam sebagaimana yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan dapatan-dapatan yang diperolehi daripada diskusi tersebut, saya boleh merumuskan bahawa perlunya semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menghadapi ancaman Kristianisasi dan pemurtadan, samada sebagai individu, institusi atau masyarakat secara keseluruhan. Kelompok-kelompok Islam di negara ini juga dituntut supaya bersepakat dalam menangani isu ini dan mengetepikan perbezaan masing-masing. Perkara ini bukan mustahil kerana solidariti umat yang dipamerkan dalam menentang penganjuran Festival Seksualiti Merdeka tempoh hari sudah membuktikannya.

“Melayu Sepakat, Islam Berdaulat”

Mohd Firdaus Sabturani,
Ketua Pengarang,
Media ISMA

2 thoughts on “Tindakan bersepadu dituntut hadapi ancaman Kristianisasi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *