Melayu tidak sepakat Islam tetap berdaulat?

Sebelum nenek moyang kita bangsa Melayu memeluk Islam kita tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan. Bahasa, tulisan, adat resam, budaya, kesenian, pakaian; sebutlah apa sahaja maka yang terbayang di lintasan fikiran adalah satu kelompok manusia yang bercawat.

Namun nenek moyang kita telah membuat keputusan tepat untuk menjadikan Islam sebagai anutan mereka dan telah menjadikan Islam sebagai dasar dan sistem hidup mereka yang menyeluruh. Islam telah merubah neraca fikir mereka, Islam telah mengubah adat resam mereka, Islam telah menjadikan mereka hidup dilingkungi budi pekerti yang luhur, berani, berdikari dan memimpin sebuah empayar yang terkenal dengan Empayar Kesultanan Islam Melaka.

Islam telah sebati dalam darah daging bangsa Melayu sebagaimana Islam sebati dalam darah daging bangsa Arab. Kalau Arab ada qabilah Aus, Khazraj dan Quraisy, keturunan Melayu ada berbagai-bagai qabilah; Jawa, Banjar, Bugis dan sebagainya.

Bangsa Melayu sudah lama sepakat menjadikan Islam sebagai dasar kehidupan. Sejak dahulu Islam telah menjadi asas senibina, asas kesusasteraan dan hiburan, asas dalam adat budaya kehidupan, adat-adat perkahwinan bemula dengan merisik, meminang dan walimatul urus, adat-adat menerima cahaya mata, aqiqah, mengajar mengaji al-Quran, berzanji, berkhatan sehinggakan adat resam menguruskan jenazah dan pembahagian harta pusaka.

Senibina Melayu amat menitikberatkan bagi merealisasikan budaya dan hukum Islam. Rumah dibina dengan anjungnya selari dengan qiblat, ruang anjung dan beranda menjadi ruang kaum lelaki. Ruang dapur yang menjadi ruang kaum wanita lebih rendah dan dipisahkan dengan ruang tengah. Ukiran-ukiran di tiang, dinding dan awan laratnya penuh dengan ukiran daun-daun kayu, bintang, bulan dan awan bagi mengingatkan penghuninya kepada kekuasaan Allah. Di setiap rumah disediakan guri besar berisi air bertutup dan disediakan batok sebagai pencedok air untuk membasuh kaki sebelum menaiki rumah dan bagi mengambil wuduk. Mengembalikan batok ke atas guri adalah menjadi amalan dan tertib bagi mengelakkan terkena debu di tangga. Sehingga menjadi peribahasa orang yang malas ialah orang yang meninggalkan batok di atas tangga dan tidak mengembalikannya ke atas guri.

Bangsa Melayu terkenal dengan budi bahasa dan kehalusan seni berbicara dengan pelbagai kiasan, gurindam, syair dan pantun yang mendalam maknanya bagi mendidik generasi agar bersopan dan memuliakan saudaranya.

Bangsa kita sudah lama mengamalkan adat tolong menolong dalam isu kemasyarakatan, menghidupkan amalan solat berjamaah, menghidupkan malam-malam Ramadhan, bertukar-tukar juadah berbuka, berbuka puasa bersama-sama di surau dan masjid, menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan dan amalan ziarah-menziarahi.

Dalam urusan pertanian bangsa kita hidup bertolong menolong menanam padi dan bergilir-gilir (berderau asalnya daur dalam bahasa Arab). Ketika itu Sultanlah yang memerintah dan Sultan berdaulat kerana memelihara agama dan seluruh maqasid syariat.

Tujuan saya mengimbau isu ini bertujuan untuk membuktikan bahawa Melayu boleh sepakat bagi memartabatkan Islam. Kita sudah lama merdeka dan sayugia kita memilih manhaj hidup kita sendiri, kitalah yang menentukan sama ada ingin terus mempertahankan dasar humanism atau kembali kepada Islam.

Berpolitik cara Barat telah menjadi sebab perpecahan bangsa Melayu. Apabila bangsa Melayu menyempitkan pemikiran mereka dan hanya berfikir mengikut kerangka sistem Barat menjadikan mereka berpecah. Budaya merebut kuasa politik merupakan punca kelemahan umat Islam.

Walaupun sistem pemerintahan dan undang-undang perlu diasaskan kepada Syariat Islam namun proses untuk memastikan sistem Islam berkuasa juga perlu mengikut syariat dan manhaj Islam. Demokrasi pilihanraya hanya akan berjaya mengembalikan Islam kepada tampuk kekuasaan apabila seluruh umat Islam dan seluruh bangsa Melayu sepakat untuk menjadikan Islam sebagai sistem hidup.

Untuk mengembalikan bangsa Melayu kepada Islam dan jatidiri Islam, manhaj yang perlu disepakati oleh semua pejuang-pejuang Islam ialah kembali kepada manhaj nabi s.aw. yang bermula dengan mengubah semula kefahaman, keimanan, akhlak dan ibadah seluruh bangsa Melayu kepada Islam. Perubahan ini tidak akan berlaku tanpa menghidupkan amalan tilawah al-Quran setiap hari, mentazkiyyahkan akal dan jiwa daripada khurafat dan dosa, mempelajari hukum-hakam dalam al-Quran dan al-Sunnah dan ilmu-ilmu kebijaksanaan yang dipelajari melalui pengalaman hidup berteraskan sunnatullah.

Manusia kafir yang bertuhankan Iblislah yang membawa fahaman humanisma ini yang menjadikan mereka berfahaman libralisma, pluralism agama, sekular, kapitalis, komunis dan materialisma.

Humanisma adalah agama yang bertuhankan nafsu dan Iblis. Humanisma memperjuangkan hak-hak asasi manusia yang tanpa batasan dan memberikan hak mutlak kepada manusia untuk menentukan apa sahaja dalam hidup ini tanpa terikat dengan kuasa Allah dan agama. Ia adalah propaganda Iblis untuk menjauhkan manusia daripada menjadi hamba kepada Allah SWT.

Bangsa Melayu Islam tidak akan sepakat selagi bangsa ini menolak Islam dan menerima libralisma, sekularisma, pluralism agama, kapitalis, komunis yang seluruhnya bertuhankan kepada humanisma bukan kepada Allah yang Maha Esa.

Islam adalah ad-Din dan ideologi humanism ini juga adalah agama baru yang diciptakan oleh Iblis untuk menjauhkan manusia daripada agama Tauhid. Bangsa Melayu perlu sepakat untuk kembali kepada Islam sebagai ad-Din dan menolak ideologi-ideologi lain sebagai aqidah dan tidak ada kompromi dalam perjuangan.

Katakan kepada golongan humanism ini: “Bagi kamu agama kamu dan bagai aku agama aku” tetapi oleh kerana Islam adalah Agama Persekutuan Malaysia maka menjadi kewajiban kami bangsa Melayu, bangsa majoriti untuk mengambil tanggungjawab mempertahankan ke Islaman negara ini dan mendaulatkannya. Namun jika bangsa Melayu enggan berpakat dalam isu yang sepakat ini dan mencari pendokong humasima sebagai sahabat karib dengan menjadikan saudara seagamanya sebagai musuh bagaimanakah Islam mungkin kembali berdaulat.

Iblis sedar sekiranya umat Melayu sepakat untuk kembali kepada Islam kuncu-kuncunya tidak mungkin dapat menjadi khalifahnya dan umat Islamlah yang akan menjadi Khalifah Allah.

Hanya dengan mempertahankan agenda humanisma ini manusia yang kufur, fasik, zalim kepada Allah, peminum arak, penzina, pemakan riba dan segala macam pelanggaran nilai dan undang-undang Allah akan tetap layak dan berhak memilih dan dipilih untuk menjadi pemimpin kepada bangsa Melayu dan umat Islam lainnya. Mereka masih boleh menduduki kerusi-kerusi di Parlimen untuk menggubal undang-undang, mereka boleh dipilih menduduki kerusi-kerusi dewan undangan negeri untuk menguruskan harta-benda dan jiwa manusia dan mereka boleh menjadi tuan kepada Melayu Muslim apabila Melayu dengan reda memilih mereka menjadi tuan.

Orang kafir, fasik, zalim kepada Allah Tuhan Pemilik alam semesta ini mendapat kuasa di bumi ini yang dahulunya diamanahkan kepada umat Islam untuk menjadi khalifah Allah kerana bangsa Melayu Islam menerima sistem dan ideologi humanism ini dan memperjuangkannya dan menyangka mereka boleh menegakkan Islam menggunakan manhaj ciptaan Iblis ini.

Cukuplah wahai umat Islam, wahai bangsa Melayu daripada tidak sepakat. Berpakatlah kamu untuk mempertahankan Islam, mempertahankan hak-hak kita yang telah wujud dalam Perlembagaan. Islam adalah agama Persekutuan, maka apa sahaja undang-undang yang digubal dan bercanggah dengan agama Islam sayugia dibatalkan. Berpakatlah wahai bangsa Melayu untuk menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai ilmu wajib diajar, difahami dan dihayati oleh bangsa Melayu dan menjadi ilmu pilihan bangsa-bangsa lain dalam semua sekolah kebangsaan daripada sekolah rendah hingga ke universiti.

Kerajaan Persekutuan tertakluk kepada Perlembagaan Negara yang menaskan bahawa Islam adalah agama negara. Yang diPertuan Agung dan sekalian menteri kabinet telah bersumpah dengan lafaz wallahi, wabillahi dan watallahi untuk menjaga Perlembagaan Negara. Langkah pertama untuk menjaga Islam sebagai agama ialah mewajibkan semua umat Islam mempelajari dasar-dasar Islam dan menghayatinya sejak dari buaian lagi. Maka manhaj pendidikan negara perlu diubah agar menjadikan Islam sebagai matlamat, dasar, sistem, aktiviti dan budaya sejak di sekolah rendah lagi. Semua rakyat wajib mengikuti sistem pendidikan kebangsaan tetapi mereka tidak dipaksa untuk menganuti aqidah Islam sebagaimana mereka wajib lulus Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, dan Bahasa Melayu.

MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT.
BERSAMA MEMBANGUN UMMAH BERAGENDA.

Oleh: Ustaz Annuar Salleh,
Pengerusi Biro Baitul
Muslim,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Blog: Renungan2u

28 thoughts on “Melayu tidak sepakat Islam tetap berdaulat?

  1. Pingback: Melayu Tidak Sepakat Islam Tetap Berdaulat?

  2. Artikel ni, bukan berkait dengan tajuk, tapi nak menegaskan kepada melayu supaya faham ISMA tetap bertegas dengan Kemelayuan untuk kesepakatan Islam…. Biaq pi lah… kat ISMA… mana tak bercanggah dengan Islam kita sama2 sokong, tapi bila dah dok sibuk dengan assobiyahnya…. biaq pi lah… berapa ramai yang dah kena beli untuk tolong nyalak untuk bagi talian hayat kepada melayu sekular….

    Tapi yang menarik dalam tulisan ini adat aqiqah…. munkin lah kot dulu Islam pada adatnya bukan kepada ibadah… sebab tu lah ada pepatah melayu… biaq mati anak, jangan mati adat…. adat melayu lama dengan khurafatnya boleh tahan jugak dengan mandi safarnya… adat istiadat raja mungkin dah bersandarkan ibadah sebab dah ada mufti sebagai penasihat agama, penasihat negara jawatan lain sebab mungkin bersandarkan sistem errr! sekular british… Sebab tu lah kat Melayusia ini mewah dengan drama, cerita hantu, cerita karut… budaya melayu lama meresap masuk dalam kelompok..?????

    Jadi bila lah gamaknya yea… Islamnya kepada Ibadah bukan bersandarkan adat… atau memelayukan Islam atau melayu di Islam kan….

    Jadi benarlah…. Islam Berdaulat, Melayu sepakat apa????? Gelombang Islam Syumul ni bila lah pula bermula, siapa pencetusnya… Seingatnya kumpulan melayu bangsawan dengan fesyen kebaya ketat mendominasi pemerintahan tanah melayu…. Mungkin ISMA lah yang menggerakkan gelombang Islam sebagai jalan hidup dan mengislamkan melayu dari adat kepada ibadah, sebab itulah negara sekarang, pemimpin yang memerintah ini memerintah dengan adil dan saksama. Negara sudah umpama zaman Rasulullah, zaman Umar al-Khatab, paling kurang pun dah sama zaman Umar Abd Aziz. Zuhudnya pemimpin negara mengalahkan presiden negara Islam Iran Ahmedinajab…. dok gitu…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>