Pendapat

Polemik kecelaruan identiti

Apabila akhbar memetik kata-kata Ustaz Abdullah Zaik, Presiden ISMA yang menyebut 6 juta belia celaru identiti, berbunyilah gendang dan gong di sana-sini. Ada yang menyinga, ada pula yang terasa, ada pula yang melenting. Jumlah 6 juta semakin dipolemikkan, dimain-mainkan, disiar-siarkan. Kadang-kadang memang rasa pelik melihat tindak-tanduk masyarakat kita yang suka mempolemikkan sesuatu perkara, akhirnya masalah tersebut tidak selesai sampai ke sudah.

Fahamilah, bahawa bukan isu nombor yang perlu kita risaukan, lentingkan, gusarkan. Tetapi hakikat jumlah belia yang celaru identiti itu besar. Bahkan, setiap kali ada pihak yang memberi pandangan, memang tiada yang menafikan bahawa belia kita menghadapi kecelaruan identiti. Baiklah daripada anak-anak orang besar sehinggalah anak-anak masyarakat marhaein. Celaru di setiap peringkat, di setiap lapisan.

Kecelaruan Identiti

Apabila disebut oleh Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman tentang kecelaruan identiti, ramai yang bertanya apa yang dimaksudkan dengan kecelaruan identiti tersebut? Dalam bahasa mudah, apa yang dimaksudkan ialah mereka bercelaru identiti mereka sebagai seorang Muslim dan adat ketimurannya. Di mana-mana sahaja kita lihat dengan mudah, bahawa anak-anak Melayu, Cina, mahupun India, tidak lagi melambangkan bangsa yang mereka wakili. Bukan sekadar pakaian yang menjadi isu (selagi pakaian menutup aurat bagi yang Islam itu masih baik).

Bagaimana dengan perlakukan, pertuturan dan peribadi? Belia kita terkinja-kinja menjadikan barat sebagai kiblat mereka. Kebanyakan orang-orang yang berumur lewat 30, 40, 50 dan 60-an akan akui, belia hari ini tidak seperti belia pada zaman mereka. Belia hari ini sibuk dan lalai dengan hiburan, asyik dengan sosialisasi melampau. Tidak kurang pula pihak-pihak yang mencari untung dengan menjemput artis-artis luar negara membuat persembahan di Malaysia (terbaru: Elton John dan Adam Lambert) yang menggalakkan budaya hedonisme terus berkembang dengan galaknya.

Budaya seks bebas yang berlaku di kalangan belia masyarakat kita, ini adalah bukti jelas kecelaruan identiti. Sekiranya seseorang itu jelas identitinya, ia akan jelas tentang maruah dirinya, tidak akan sebegitu mudah menjual maruahnya kepada orang lain dengan harga yang murah. Kes-kes yang pernah didedahkan tidak lama dahulu yang melibatkan mahasiswa dan mahasiswi universiti tempat apakah kita telah lupa? Begitu banyak yang melibatkan anak bangsa kita, bukan sesuatu yang boleh saya lupakan, meskipun saya sendiri hanyalah seorang remaja ketika itu.

Facebook dan Twitter?

Jangan ada pula yang kata, kita perlu ikut peredaran zaman, ‘sekarang bukan era merdeka lagi, zaman semakin maju, kita pun perlu ke hadapan’. Iya, saya tidak nafikan pentingnya kita untuk terus maju, tetapi adakah sampai perlu mengorbankan identiti sebagai seorang Muslim dan bangsa sendiri? Apa gunanya teknologi semakin maju, kemanusiaan semakin mundur? Akhirnya kita menjadi bangsa alat, dan akan terus diperalatkan sehinggalah kita hilang jatidiri dan juga izzah sebagai Muslim, mahupun manusia!

Saya tidak menafikan, Facebook dan Twitter sahaja tidak boleh dijadikan sandaran bagi mengukur sejauh mana belia kita semakin bobrok dengan kecelaruan identiti. Tetapi jangan ada yang menafikan bahawa ia adalah salah satu penyumbang besar kepada kecelaruan identiti. Tanpa kawalan dan saringan, anak-anak boleh berkawan dengan sesiapa sahaja, dan boleh melihat dan mendapat apa sahaja imej, gambar mahupun video dari segala macam jenis.

Sepanjang saya menjadi guru disiplin, ketika menangkap pelajar-pelajar yang ber’couple’ sampai pada tahap bercumbu-cumbuan, rakan-rakan saya dan saya dapati penyebab utama kepada gejala ini ialah Facebook dan Handphone. Berkenalan dengan entah siapa di Facebook, sehingga menjadi kawan. Saling membalas komen, saling bermesej-mesej, sehinggalah ber‘couple’ di alam maya. Kemudian bermesej-mesej, akhirnya berpegangan tangan setelah berjumpa, lama-lama bercumbu. Siapa yang ajarkan ini?

Ada pula yang saya tanya mendapat semua ini daripada video-video lucah dalam laptop mak dan ayah, ataupun VCD yang mereka miliki. Kemudian, mereka kongsikan pula dengan kawan-kawan. Belum pula dikira pelajar-pelajar yang berkongsi video lucah dalam telefon sesama mereka. Siapa yang saya harus salahkan? Kalau tidak dibendung mereka ini boleh menjadi psychopath yang ganas di masa depan, siapa tahu?

Kes pembuangan bayi-bayi. Apakah puncanya masalah ini? Memang ramai tidak akan menyebut kecelaruan identiti sebagai sebab kepada permasalahan ini. Tetapi sedarkah kita bahawa sebelum mereka melakukan perbuatan membuang bayi ini mereka telah terlebih dahulu melakukan perbuatan zina? Kalau kita berakal, pasti kita akan faham bahawasanya orang yang ada identiti Islam tidak akan memberi tubuhnya untuk dimamah nafsu serakah ataupun menyumbang benih kepada anak zina tersebut. Kerana dia memahami batasan-batasan pergaulan dan interaksinya dengan lelaki bukan mahram.

Realiti

Realiti: Facebook dan handphone adalah pemudahcara untuk mereka melakukan hal-hal sumbang seperti ini, bukan penyebab. Kerana penyebabnya ialah orang-orang yang membekalkan atau menawarkan benda-benda ini kepada mereka. Sebutlah siapa sahaja, ibu-bapa, media cetak mahupun elektronik, kawan-kawan dan lain-lain. Semuanya boleh menjadi musabab. Sekarang, apakah kita terus menunggu dan menunggu atau kita ambil tindakan?

Persatuan-persatuan atau mana-mana majlis belia jangan melenting apabila isu ini disebut, akui sendirilah ada atau tidak kita menggalakkan hal seperti ini berlaku? Mengadakan konsert (sebagai contoh) tidak sekali-kali membantu anak belia Malaysia menjadi lebih baik. Kalau baik, dari segi apa? Apa manfaatnya? Mengadakan program-program belia, apakah telah dikawal pergaulannya? Jangan berhujah mustahil untuk dikawal orang seramai itu kerana apabila anda melaksanakan sesuatu program, anda perlu ukur kelemahan dan kekuatan anda terutama pada aspek sumber manusia. Kalau tidak mampu kenapa perlu dibuat besar-besaran? Bagi saya fikir logik sahaja mudah. Ya, saya tidak pula nafikan sumbangan-sumbangan baik daripada anda semua, tetapi yang mana lebih besar impaknya?

Ahli-ahli politik jangan sibuk menuding jari, akhirnya yang lelah ialah kami, rakyat. Kami pasti tidak sekali-kali akan melupakan kalian yang telah dipilih untuk memimpin kami di depan Allah kelak. Kalau kalian sibuk bermain tarik tali, kalian akan melupakan tanggungjawab kalian kepada kami rakyat jelata, akhirnya amanah yang kalian mahu tanggungkan itu tidak terjalan. Maka kami akan persoalkan kalian kelak di hadapan Allah. Baik pembangkang mahupun kerajaan. Hentikan menuding jari, banyakkan bekerja dari berkata-kata.

Mohd Azmir bin Mohd Razli,
ISMA Johor
Blog: Kalam Yang Berbicara

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close