Sakinah, Mawaddah & Rahmah, formula rumahtangga bahagia – Ustazah Norsaleha

PUTRAJAYA, 23 Oktober – Matlamat pembentukan keluarga yang jelas kerana Allah, setiap perkara yang dilakukan di dalam proses berumah tangga mestilah berlandaskan syarak dan rumah tangga yang dibina bersama suami dan anak-anak bertujuan untuk mengejar syurga Allah adalah resepi kejayaan sebuah institusi keluarga Muslim.

Ustazah Norsaleha Mohd Salleh, Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), berkata demikian semasa menjadi panelis forum pada Konvensyen Keluarga Melayu Muslim, yang mengupas tajuk Realiti Keluarga Melayu Muslim di Malaysia.

Menurut Ustazah Norsaleha, kegagalan sesebuah rumah tangga berpunca daripada hilangnya ciri-ciri Sakinah (tenang), Mawaddah (kasih sayang) dan Rahmah (belas kasihan) di dalam keluarga.

“Jagalah Allah, Allah akan jaga kamu. Jaga agama Allah, adalah sebab Allah pelihara keluarga kita.”  Kata-kata ini merupakan petikan sebuah hadis yang menjadi pegangan Ustazah Norsaleha ketika menjawab persoalan bagaimana untuk mengimbangi kerjaya dan keluarga bagi seorang wanita.

Tambahnya lagi, jalan dakwah adalah jalan yang penuh dengan kepahitan tetapi menjanjikan kemanisan dan keindahan. Resepi kejayaan seorang pendakwah dan selaku seorang ibu adalah usrah dan proses pentarbiyahan yang berterusan. Program yang diatur oleh organisasi berkesan sekiranya individu itu mempamerkan nilai-nilai yang positif di dalam dirinya.

Kepercayaan kepada organisasi menyebabkan ibu kepada sembilan orang anak ini menyerahkan pengurusan anak-anak kepada kelab NAZIM, iaitu Kelab Anak-anak Hebat yang ditubuhkan oleh ISMA di bawah kendalian Biro Wanita & Keluarga.  Manakala apabila anak meningkat ke alam remaja, anak-anak boleh diserap masuk ke dalam Kelab Remaja Islam Malaysia (KRIM). ISMA juga tidak melupakan golongan belia di mana modul-modul pembangunan khusus untuk golongan ini telah disediakan supaya mereka tidak melanggar batas-batas yang ditetapkan Syarak.

Ustazah Norsaleha yang juga seorang pensyarah di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), mengulas tentang resepi kejayaan seorang wanita ianya bergantung kepada galakan dan sokongan seorang suami. Tolong menolong dalam penjagaan anak-anak dan saling memahami  dikalangan ahli keluarga merupakan kunci kejayaan pasangan  Ustaz Abdullah Zaik ini.  Benarlah pepatah yang mengatakan di sebalik kejayaan seorang lelaki  ada wanita dibelakang yang memberi sokongan.  Ini kerana isteri kepada Presiden ISMA ini tidak pernah membebani suaminya dengan kerja-kerja rumah kerana Ustaz Abdullah Zaik perlu melakukan sesuatu yang lebih penting dan sesuatu yang lebih BESAR iaitu pembaikan umat.

Beliau juga berpendapat, psikologi anak-anak kesan daripada penceraian pasangan suami isteri bergantung kepada cara didikan kedua ibubapa mereka. Keluarga terbaik yang patut dijadikan contoh ikutan adalah keluarga yang dipimpin oleh Rasulullah.

Mengulas soalan mengenai isu poligami yang dikatakan mengikut cara Rasulullah, Ustazah berkata Nabi Muhammad S.A.W. beristeri lebih daripada satu hanya selepas kematian Khatijah. Namun begitu, Saidatina Khatijah tidak pernah luput daripada ingatan baginda. Oleh itu, Ketua wanita ini mengingatkan para isteri supaya berperibadi dan berakhlak seperti Siti Khatijah untuk menjadi wanita solehah idaman suami.

Beliau juga mengingati para bapa supaya melihat daripada segi kewangan dan kemampuan diri sendiri  sebelum berpoligami. Contoh terdekat yang boleh dijadikan iktibar adalah tingkah laku anak-anak perempuan yang bertelingkah sesama mereka akibat cemburu dan salah faham. Senario ini juga berlaku di sesebuah keluarga yang mengamalkan poligami.

Akhir kata, beliau menegaskan niat kerana Allah, sentiasa lakukan amal soleh dan kejar syurga Allah adalah jawapan bagaimana untuk  merencana sesebuah keluarga Melayu Muslim yang utuh dan diredhaiNya.

Sumber: Laman Web Wanita ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>