Tahaluf siyasi: Hukum & syarat menurut Muhamad Ahmad Rasyid (Bhg. 5)

KERJASAMA UNTUK MENEGAKKAN KEMULIAAN AKHLAK

Kerjasama antara negara Islam dan jemaah Islam adalah HARUS bahkan ia dituntut sehingga kadang-kadang menjadi WAJIB terutama ketika golongan kafir mula menguasai dan berhasrat menghapuskan orang-orang Islam seorang demi seorang.

Bukti kewajipan itu ialah:

1- kerjasama atas prinsip kebajikan dan takwa,
2- membantu yang dizalimi,
3- menyatukan umat,
4- jaminan atau kawalan orang-orang Islam hanya satu,
5- memenuhi kaedah masalah dan darurat.

RUKUN KEENAM:

Harus bagi orang-orang Islam bekerjasama dengan orang kafir bagi menegakkan dan menyebarkan kebaikan akhlak yang asasi yang diharuskan oleh syarak seperti menegakkan keadilan, menghapuskan kezaliman, memperuntukkan kebebasan dan mengelak tumpah darah, menjaga kehormatan dan harta benda, melindungi golongan lemah, menyuburkan tanah  dan tanaman, semua sayuran, memelihara binatang ternakan yg memberi produk dan kebaikan kepada manusia, saliran air dan kepentingan hidup yang lain.

Termasuk juga bentuk kerjasama itu pada hari ini ialah;

1- perjanjian hak asasi manusia (human right)
2- mempertahankan hak-hak beragama
3- perjanjian antarabangsa seperti isu pencemaran dan lapisan ozon
4- isu keamanaan sejagat dan bumi hijau
5- hak-hak antarabangsa dalam isu sungai dan air yang dikongsi antara negara
6- hak-hak pekerja
7- hak asasi kanak-kanak
8- kesihatan sedunia dan wabak penyakit termasuk AIDS
9- memerangi isu dadah dan heroin
10- memerangi isu pelacuran dan rumah urut

Dalil syara’ bagi keharusan ini ialah kisah kerjasama al-Fudhul yang berlaku pada zaman Rasulullah.

Menurut al-Qurtubi;

Ibn Ishak menceritakan; kabilah-kabilah Quraisy telah berkumpul di rumah Abdullah bin Jad’an – disebabkan kemuliaan kedudukan dan keturunannya – mereka berjanji setia dan sepakat bagi memastikan Mekah bersih daripada kezaliman, tiada penduduknya atau orang yang datang memasuki Mekah yang dizalimi, sekiranya berlaku kezaliman mereka akan sama-sama memeranginya sehingga hilang kezaliman tersebut. Perjanjian ini dinamakan Kerjasama al-Fudhul.

Inilah yang diperkatakan oleh Rasulullah saw ketika menyaksikan kerjasama al-Fudhul di rumah Abdullah bin Jad’an; “satu kerjasama yang sangat aku suka, sekiranya diajak untuk menyertainya dalam Islam, akan aku terima jemputan itu.”

Inilah kerjasama yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw; “mana-mana kerjasama dalam jahiliah, tidak akan menambahkan Islam melainkan lebih baik lagi”.

Kerana ia menepati kehendak syara’, adapun perjanjian yang merosakkan dan kerjasama yang batil bagi tujuan kezaliman dan tipu muslihat, semuanya itu ditolak dan ditentang oleh Islam.

Ustazah Norsaleha Mohd Salleh,
Ketua Wanita ISMA
Blog: The Sweetness of a Partnership

One thought on “Tahaluf siyasi: Hukum & syarat menurut Muhamad Ahmad Rasyid (Bhg. 5)

  1. Pingback: Tahaluf siyasi: Hukum & syarat menurut Muhamad Ahmad Rasyid (Bhg. 5) | ISMAWeb « Melayu Sepakat Islam Berdaulat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *