Berita Utama

Bekalan air pulih dalam 24 jam

Pencemaran bau punca empat LRA ditutup

BESTARI JAYA, 2 Rabiulawal 1442H, Isnin – Bekalan air untuk kira-kira lima juta pengguna yang terkesan akibat henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor fasa 1,2 dan 3 dan LRA Rantau Panjang akibat pencemaran sumber air mentah, dijangka pulih dalam masa 24 jam lagi.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia kerana pencemaran bau yang mengakibatkan keempat-empat LRA berkenaan ditutup sejak awal pagi tadi, semakin pulih setakat jam 1.30 tengah hari tadi.

Bagi mengatasi masalah pencemaran bau berkenaan, Tuan Ibrahim berkata, Lembaga Urus Air Selangor telah melepaskan HORAS 600 sebanyak 285 Juta Liter Sehari (JLH) dan mengepam air kolam alternatif sebanyak 336 JLH untuk meningkatkan kadar pencairan di Sungai Selangor.

“Kita jangka keempat-empat LRA ini akan dibenarkan beroperasi semula dalam satu atau dua jam lagi dan bekalan air kepada kesemua kira-kira 5 juta pengguna akan pulih dalam masa 24 jam nanti,” katanya dalam sidang akhbar, selepas melakukan lawatan di LRA Sungai Selangor fasa, hari ini.

Turut hadir Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian.

Tambah Tuan Ibrahim, LRA Rantau Panjang dihentikan operasinya pada kira-kira jam 12.30 pagi tadi susulan pencemaran bau pada paras satu ton pada muka sauk loji berkenaan, manakala LRA Sungai Selangor fasa 1,2 dan 3 dihentikan operasinya pada jam 2 pagi selepas pencemaran bau pada tahap tiga ton dikesan di muka sauknya.

“Siasatan awal daripada pihak berkuasa mendapati bahan pelarut (solvent) merupakan bahan punca kepada pencemaran bau awal pagi tadi.

“Bau solvent ini juga seakan sama dengan kejadian pada awal September lepas, bagaimanapun punca sebenar pencemaran masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan kilang yang menjadi punca pencemaran berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahan pelarut itu dibuang oleh kilang-kilang haram yang beroperasi di sekitar Selangor.

“Jika kilang itu mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh kementerian, kilang berkenaan akan selalu diperiksa bagi tujuan pematuhan syarat lesen dan pembaharuan lesen,” katanya.

Terdahulu sejumlah 1,196,457 akaun Air Selangor membabitkan 1,292 kawasan di Lembah Klang sekali lagi mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual setelah empat LRA Sungai Selangor dihenti tugas,berikutan pencemaran sumber air mentah. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button