Melayari bahtera perkahwinan

Kata orang perkahwinan umpama melayari bahtera di lautan dalam di mana destinasi terakhirnya suatu yang pasti. Begitu juga perkahwinan, tujuan dan matlamat hendaklah jelas yakni mencari keredhaan Allah SWT.

Allah menaklifkan seorang suami sebagai nakhoda kapal. Di mana seorang nakhoda sentiasa bersama laksamananya untuk dibawa berbincang dalam membuat keputusan mengemudikan kapal tersebut… Bak kata orang, “it takes two to tango”.

Laut takkan selamanya tenang, sentiasa akan ada masa diuji dan penuh tribulasi. Moga Allah mengurniakan kalian sakeenah dan mawaddah ketika berhadapan dengan situasi penuh kegawatan.

Dalam pelayaran ini, sejauh manapun sang nakhoda bersedia, pasti akan ada cuaca yang tidak menentu. Adakala cerah, adakala ribut, mungkin juga taufan. Moga Allah mengurniakan kalian ketenangan jiwa ketika berhadapan dengan pelbagai ujian dan cubaan di luar dugaan dalam menuju ke destinasi agung bahtera pelayaran yang dibina.

Di luar sana terdapat juga pelbagai bahtera yang turut belayar. Masing-masing dengan agenda tersendiri. Tatkala ada yang punya misi kebaikan, ada juga yang seumpama kapal lanun yang punya agenda merosakkan. Walaupun masing-masing mendakwa memiliki hak untuk sama-sama berlayar, namun ada di kalangan mereka yang menangguk di air keruh – berbahagia di atas kehancuran kapal yang kalian bina. Maka, moga Allah mengurniakan kalian ketelusan dalam mengatasi sebarang permasalahan agar fitnah dan tipu daya tidak akan mampu menghancurkan kebahagian rumah tangga yang akan dibina.

Lautan ini luas – saujana mata memandang. Dalam pelayaran ini, adakala mungkin kalian akan tersesat. Tika itu, dongaklah ke langit di mana sinar bintang akan sentiasa menunjukkan arah kebenaran. Solusinya hanya satu, berhenti; dan kembalilah pada Ilahi. Moga Dia memberikan petunjuk untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Ketahuilah sesungguhnya, pengembaraan ini adalah pengembaraan jiwa dan ruhani yang akan menjadi sumber bekalan kekuatan dalam meneruskan kehidupan -sebagaimana sabda Baginda Rasulullah s.a.w “Perkahwinan melengkapkan sebahagian dari agama”.

Bismillah… Dengan nama Allah, kita labuhkan layar tanda bermulanya pengembaraan bahtera dalam penuh keberkatan.

Barakallahu lakumaa wabarakaa alikumaa wajama’a bainakumaa fi khayr.

Moga Allah merahmati kedua kamu dan memberkati ke atas kamu dan disatukan kamu berdua dalam kebaikan.

Sumber:  Laman Web ISMA Australia

2 thoughts on “Melayari bahtera perkahwinan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>