Jangan perkecil undi Melayu Islam

Dalam temubual dengan pihak media, Sdr Adam Ahid, Pesuruhjaya PAS Sarawak, telah menyenaraikan 3 sebab utama kenapa PAS gagal memenangi sabarang kerusi dalam Pilihanraya Sarawak baru-baru ini. Ketiga-tiga faktor tersebut ialah:-

1. Populariti Najib yang telah berkempen di kawasan-kawasan PAS dan berjaya menyelesaikan masaalah harian mereka.

2. Cadangan pihak PR melantik Bian Baru, seorang Kristian, sebagai KM jika sekiranya PR menang.

3. Sikap overconfident PKR dan DAP.

Kalau kita lihat beberapa minggu yang lepas, pimpinan parti-parti politik samada di pihak BN ataupun PR, banyak menumpukan kepada undi bukan Melayu. Pelbagai isu dimainkan, termasuklah Bible, semata-mata untuk memenangi hati mereka. Hampir tidak ada kedengaran isu orang Melayu yang dikeluarkan di dalam media utama negara seolah-olah undi orang Melayu tidak relevan. Atau dengan lebih tepat lagi ia dianggap bukan menjadi undi penentu.

Kita tidak nafikan akan adanya kebenaran strategi ini.

Namun kemenangan PBB 100% membuktikan bahawa undi orang Melayu bukan sesuatu yang boleh dilupakan begitu saja. Walaupun pelbagai skandal Taib didedahkan namun orang Melayu masih tetap mengundi parti Taib Mahmud ini. Dikatakan Taib sangat mengambil berat akan hal ehwal agama orang Melayu Melanau di mana masjid dan surau dibina dengan banyaknya di kawasan-kawasan penduduk Islam ini. Dengan ini seruan PR untuk memerintah dan mengundurkan Taib dari takhtanya gagal untuk direalisasikan.

Sikap “overconfident” PR bahawa mereka akan memerintah Sarawak menyebabkan mereka secara tergesa-gesa mengumumkan Bian Baru sebagai calon KM. Mungkin bagi pihak bukan Melayu pengumuman ini sesuatu yang dialu-alukan namun di satu pihak lagi ia telah mengguris hati pengundi Melayu Melanau. Walaupun pada peringkat awal terdapat desas-desus PAS akan menang di Beting Maro kerana ada undi protes pada Taib tetapi tindakan PR ini telah menyebabkan undi Melayu berubah kembali kepada PBB. PAS menjadi mangsa pertaruhan.

Adakah ini strategi DAP dan PKR untuk meminggirkan PAS? Itu sukar untuk dipastikan.

Tetapi jika pendekatan yang sama ini digunakan di Semenanjung pada PRU13 nanti, kita tidak pasti adakah ia akan menguntungkan PAS atau hanya DAP dan PKR sekali lagi mencapai kemenangan besar. Trend meminggirkan undi Melayu sejak akhir-akhir ini semakin berleluasa seolah-olah mereka menganggap undi Melayu ini pasti memihak kepada PR kerana PAS ada di dalamnya. Kalau dilihat secara keseluruhannya kita dapati tidak banyak kawasan yang majoriti pengundinya adalah  Cina atau India. Ini bermakna undi Melayu memainkan peranan yang sangat besar. Anggapan bahawa undi Cina dan India sebagai penentu adalah sesuatu yang tidak benar. Cuma yang benar ialah undi Melayu telah berpecah.

Namun jika PR tersilap langkah dengan mengumumkan pimpinan bukan Islam, seperti di Sarawak, maka tidak mustahil undi Melayu akan berubah. Yang kita bimbang ialah nasib PAS mungkin akan berulang di Semenanjung.

Jangan perkecil undi Melayu Islam.

“MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT”

Aminuddin Yahaya,
Timbalan Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog:
Suara Dari Gunung

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>