Daie dan politik

Kesedaran tentang isu-isu politik atau apa yang kita istilahkan sebagai ‘celik politik’ merupakan satu perkara basis yang perlu dimiliki oleh seorang da’ie. Da’ie yang hanya mampu memberikan teori-teori dakwah dan tarbiyyah dengan menaqalkan pelbagai kalam dari pelbagai kitab dakwi tetapi gagal dalam membuat bacaan dan interpretasi terhadap prinsip-prinsip dakwah tersebut adalah da’ie yang kurang bertapak di alam realiti. Da’ie yang ‘rigid’ dengan satu prinsip dakwah sahaja dalam menilai kemelut politik juga adalah da’ie yang statik. Justeru, da’ie era masa kini perlu menghadam dan membuat pembacaan serius terhadap suasana politik samada tempatan atau antarabangsa bagi memastikan kefahaman dakwahnya sentiasa dinamik.

Memahami isu-isu politik tidak semestinya menjadikan da’ie tersebut bersifat kepartian, lebih-lebih lagi jika manifestasi gagasan dakwah da’ie tersebut masih belum menginjak ke tahapan yang membolehkan dakwah itu dilaungkan di peringkat yang lebih tinggi dalam kerangka masyarakat setempat. Ini juga tidak bermakna dakwah itu menghalang seorang da’ie dari terlibat secara langsung dengan politik kepartian. Apa yang lebih utama adalah da’ie tersebut beramal dengan menunaikan tuntutan-tuntutan tahapan dakwahnya. Jika telah sampai masanya, tiada masalah andai mahu mengangkat panji parti dakwah yang beliau imani.

Meskipun begitu, keadaan ini tidak menghalang seorang da’ie dari membuat pembacaan analitikal terhadap situasi politik yang saban hari sarat dengan pelbagai isu. Bahkan, ianya perlu agar da’ie tersebut tidak buntu dalam mencadangkan penyelesaian tepat terhadap sesuatu isu bila mana beliau telah terjun ke persada politik secara langsung. Pembacaan tentang isu-isu politik yang pelbagai dengan dipandu oleh fikrah dakwah dan tarbiyyah mampu menjadikan seorang da’ie itu lebih matang dalam pendekatan dakwahnya, dan mungkin lebih ‘celik politik’ dari ahli-ahli parti politik tertentu.

Adapun begitu, terlalu larut dan fokus dengan pembacaan-pembacaan ini kadang-kala boleh menjadikan seorang da’ie itu memandang remeh dan enteng akan usaha-usaha tarbiyyah dan pembentukan jiwa manusia yang sudah semestinya memerlukan beliau untuk berdepan dengan isu-isu kejiwaan. Lebih malang jika da’ie tersebut berkata, ”Kerja-kerja merawat jiwa ini bukan lagi tugas saya, saya ada kerja yang lebih besar untuk dilaksanakan..” . Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna tetap terus mengingatkan saff para da’ie dengan mengungkapkan kata-kata ini;

Di sana ada lagi satu penyelewengan yang boleh menjauhkan kita dari jalan yang sihat iaitu kita memandang ringan terhadap proses tarbiah, pembentukan dan perlunya beriltizam dengan ajaran Islam dalam membentuk dasar dan asas yang teguh. Lantas kita seolah-olah melatah lalu menggunakan cara dan uslub politik menurut sikap dan telatah parti-parti politik. Kita akan mudah terpedaya dengan kuantiti anggota yang kita ambil yang dianggap menguntungkan tanpa mewujudkan iltizam tarbiah. Ini adalah satu jalan dan cara yang sangat merbahaya yang tidak dipercayai akibatnya. Ini (tarbiah) mungkin menyediakan anasir yang kukuh yang mampu memikul hasil kemenangan, kekukuhan dan kekuasaan untuk Islam.

Sebenarnya kita tidak kekurangan kuantiti, tetapi kita kekurangan kualiti. Kita kekurangan bentuk dan contoh Islam yang kuat imannya yang membulatkan dirinya untuk dakwah, rela berkorban pada jalan dakwah dan jihad fi-sabilillah dan yang sentiasa istiqamah hinggalah bertemu Tuhannya. Oleh kerana itu marilah kita beriltizam dengan tarbiah dan janganlah kita redha menukarkannya dengan cara yang lain.

Satu fenomena lain yang kerap dilihat dewasa ini adalah menebalnya sentimen politik kepartian yang berlaku pada masyarakat kita. Seolah-olah jika seorang da’ie itu bukan di parti A, maka dia adalah di parti B. Begitu mudah sifir masyarakat kita, akibat dari penjajahan minda politk kepartian sejak sekian lama. Bukankah mafhum politik itu luas dan bukan sekadar politik kepartian? Saya lebih gemar merakamkan sekali lagi kata-kata Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna dalam meringkaskan kefahaman masyarakat tentang gagasan dakwah yang ingin kita tampilkan;

Ada yang berkata Ikhwan Al-Muslimin adalah orang-orang politik dan dakwah mereka bercorak politik. Mereka sebenarnya ada tujuan-tujuan tertentu. Kita tidak tahu sampai bila masyarakat kita akan terus melemparkan pelbagai tuduhan, prasangka dan kecaman yang tiada kesudahan ini. Mereka tidak mahu menerima suatu yang sahih dan disokong oleh kenyataan sebaliknya mereka terus menerus dengan pelbagai wasangka.

Wahai bangsa kami, kami menyeru kamu dengan al-Quran yang ada di kanan kami dan sunnah yang ada di kiri kami serta amalan salafussoleh yang menjadi teladan kami. Kami menyeru agar kamu mengamalkan Islam, ajaran Islam, hukum-hakam Islam dan petunjuk Islam. Jika ini kamu rasakan sebagai politik maka inilah politik kami. Jika orang yang mengajak kamu ke arah prinsip ini kamu anggap sebagai ahli politik maka syukur kepada Allah kami adalah orang yang paling memahami tentang politik. Jika kamu mahu gelarkan itu sebagai politik maka katakan apa yang ingin kamu katakan. Gelaran-gelaran ini tidak akan menggugat kami jika hakikat dan matlamat sebenarnya telah jelas.

Wahai bangsa kami, janganlah istilah-istilah ini menutup mata kamu daripada menilai kenyataan. Janganlah nama-nama yang digunakan ini menutup semua kebenaran. Janganlah luaran itu menutup segala kebenaran. Islam sememangnya mempunyai dasar politik untuk membawa kebahagiaan di dunia dan kejayaan di akhirat. Inilah politik kami dan kami tidak ada pilihan lain. Oleh itu ketengahkanlah politik ini dan ajaklah orang lain berlandaskan politik ini nescaya kamu akan beroleh kemuliaan di akhirat. Kamu pasti akan memahaminya bila sampai masanya.

Inilah ‘politik mendidik’ yang ingin kita bawa. Justeru, da’ie yang inginkan dinamika dalam dakwahnya perlu memahami ‘part and parcel of politics‘. Ummah sedang menantikan solusi tepat dari sosok da’ie sebegini bagi mengeluarkan mereka dari gerhana berpanjangan. Moga-moga kita menjadi dikalangan mereka yang mengembalikan semula izzah ummah ini.

Muhammad Syamil Mohamad Salmi
Pengerusi ISMA Jordan

Sumber: Laman Web ISMA Jordan

3 thoughts on “Daie dan politik

  1. ahmad fuad azam

    سلام الله عليكم

    بكل الأحترام والتقدير للمقال السابق نرى ان بعض الشباب يعتمدون علو نصوص ما كتبه الأمام الشهيد البنا رحمه الله دون النظر الى التطورات التي حدثت على الساحة فعلى سبيل المثال يظن بعض الشباب المسلم بل بعض افراد الأخوان انفسهم ان الأمام البنا يكرهون بل يبغضون العمل السياسي الحزبي او “الحزبية” الى ابعد الحدود فيرفعون شعار” لا لحزب قد عملنا نحن للدين فداء”…دون ان يقهموا الظروف التي نشأت فيها الأحزاب السياسية في مصر ايام عهد البنا بل كما يقولون ” لكل زمان آليات مختلفة” فمصر بعد سقوط مبارك تشهد ظروفا جديدة ومختلفة فسرعان تطور الأخوان وتكيفوا بالظروف السياسية الجديدة وبادروا بتأسيس حزب الحرية والعدالة

  2. “Ini juga tidak bermakna dakwah itu menghalang seorang da’ie dari terlibat secara langsung dengan politik kepartian.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>