MILF dan MNLF : Hentikan bertempur sesama Islam!

Panji-panji MNLF

Panji-panji MILF

Berita terkini di mana berlakunya pertempuran antara MILF dan MNLF di Mindanao menggusarkan kita. Sebaiknya mereka bersepakat dalam dua perkara asasi iaitu berusaha membebaskan Mindanao dari penjajahan Filipina dan menyelesaikan perbezaan di antara mereka melalui jalan aman iaitu perundingan, bukan melalui jalan kekuatan iaitu pertempuran bersenjata. Kesepakatan dan kesatuan membawa kepada kekuatan dan kemenangan, manakala persengketaan dan perpecahan membawa kepada kelemahan, kekalahan dan keadaan yang berterusan di bawah penjajahan musuh.

Islam mula masuk ke Filipina sejak abad ke 14M seperti masuknya Islam ke Kepulauan Melayu yang lain. Pemerintahan Islam yang terkenal di Filipina ketika itu diantaranya ialah Kesultanan Amanillah (Keamanan dari Allah) yang dikenali hari ini sebagai “Manila”, Kesultanan Bowen, Kesultanan Sulu dan Kesultanan Mindanao.

Kejatuhan Granada, benteng terakhir Kerajaan Islam Andalus, pada tahun 1492. Selepas Andalus jatuh, Portugal dan Sepanyol berpusu-pusu ke Kepulauan Islam Melayu untuk melengkapkan kejayaan Kristian ke atas Islam. (Foto : Al-Ameer Muhammad, pemerintah Islam di Granada, menyerah kalah kepada Ferdinand Aragon dan Isabella Castile).

Ferdinand Magellan menyaksikan kekalahan Kesultanan Granada dan kejatuhan total Kerajaan Islam Andalus pada 2.1.1492 di Sepanyol, di mana Sultan Muhammad XII menyerah kalah kepada Ferdinand Aragon dan Isabella Castile. Beliau dan kawannya Serrao menyertai gabernor Alfonso d’Albuquerque mengalahkan Kesultanan Melaka pada tahun 1511 dan seterusnya meluaskan penaklukan ke atas Kesultanan-kesultanan Islam di seluruh Kepulauan Melayu ketika itu.

Setahun berikutnya, pada tahun 1512 beliau kembali ke Portugal manakala Serrao berkahwin dengan wanita Ambon, menjadi penasihat tentera kepada Sultan Ternate dan terus menetap di Nusantara. Surat-surat Serrao kepada Magellan menerangkan perkembangan di Kepulauan Melayu menguatkan tekad Magellan untuk kembali dan menakluk saki baki Kepulauan Melayu Islam di Nusantara. Pada 10.8.1519 Magellan mula belayar dari Seville di selatan Sepanyol bersama 234 orang tentera . Pada 16.3.1521 kapal Magellan tiba di pulau Homonhon, Filipina bersama 150 orang yang masih hidup. Raja Humabon yang memerintah pulau Cebu masuk Kristian dan bersama Magellan dalam menyerang Sultan Lapu Lapu dan kawasan-kawasan Islam yang lain. Akhirnya seluruh kepulauan di Filipina berada dibawah jajahan Sepanyol, kemudian ke tangan Amerika dan akhirnya ke tangan Kristian Filipina, kecuali pulau Mindanao yang kekal berdaulat sebagai negara Islam sehingga pada hari ini.

Ferdinand Magellan, pengasas negara Kristian Filipina di atas tanah Kesultanan-kesultanan Melayu Islam di Nusantara abad ke 16M.

Untuk menakluk Kepulauan Melayu Islam, Ferdinand Magellan belayar ke sana dari Sepanyol bukan ke arah barat merentasi Lautan Hindi, tetapi melalui arah barat merentasi Lautan Pasifik. Oleh itu beliau dikira di antara orang yang pertama belayar mengelilingi dunia. Semangat beliau merentasi lautan untuk membuka tanah-tanah baharu untuk negaranya mengingatkan semangat para Sahabat r.a. belayar ke serata dunia untuk membuka negara-negara Islam yang baharu. Sayangnya, ramai umat Islam pada hari ini tidak mempunyai cita-cita sebesar itu.

Apabila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963 dan Sabah yang pernah dijajah oleh British dimasukkan kedalam Persekutuan Malaysia, Filipina mendakwa Sabah miliknya kerana Sultan Sulu yang memiliki Sabah hanya memajak Sabah dan bukan menyerah atau menjual Sabah kepada British. Kerajaan Filipina menubuhkan pasukan khas “Jabidah” bagi mengambil kembali Sabah diketuai oleh Manuel Syquio yang menubuhkan pasukan komando tentera terdiri dari seramai 200 orang Islam suku Tausug dan Sama. Latihan dijalankan di pekan Simunul, pulau Tawi-tawi, tempat pendakwah Islam Arab bernama Makhdum membina masjid yang pertama di Kepulauan Melayu Sulu (Filipina) pada Kurun ke 13M. Apabila mula menyedari menyedari tujuan jahat Kerajaan Filipina tersebut, mereka dibunuh dalam peristiwa yang dinamakan “Tragedi Jabidah” pada 30 Disember 1967.

Usaha terancang Kerajaan Filipina menggalakkan penghijrahan orang-orang Kristian ke Mindanao dan peristiwa “Tragedi Jabidah” membawa kepada penubuhan Moro National Liberation Front (MNLF) oleh Nur Misuari yang lebih berdasarkan perjuangan nasionalis. Pada tahun 1981, Moro Islamic Liberation Front (MILF) ditubuhkan oleh Selamat Hashim, graduan dari Mesir, yang lebih berdasarkan perjuangan Jihad Islami. Secara amnya strategi MNLF ialah menuntut autonomi terhad dan berdamai dengan Kerajaan Kristian Manila, manakala objektif MILF, kini dipimpin oleh Murad Ibrahim setelah kematian Selamat Hashim beberapa tahun lalu, ialah membebaskan Mindanao sepenuhnya dari penjajahan Kerajaan Kristian Manila.

Nur Misuari, ketua MNLF. Setelah Selamat Hashim pulang dari belajar di Mesir dan berjihad di Afghanistan, dia menganggotai MNLF. Ketokohan Islamnya kian menonjol lalu pimpinan dan anggota MNLF meminta Nur Misuari memberi laluan kepada Selamat Hashim untuk memimpin MNLF. Nur Misuari enggan. Dikatakan 90% pimpinan dan anggota MNLF keluar lalu menubuhkan MILF yang dipimpin Selamat Hashim melalui jalan jihad yang sahih.

Latihan ketenteraan MILF.

Kita percaya, usaha dan strategi terbaik bagi kedua-dua MNLF dan MILF, bahkan mana-mana gerakan Islam didalam sesebuah negara ialah duduk berbincang bersama-sama seperti anjuran Allah swt bermaksud, “Dan urusan mereka (diputuskan) dengan bersyura (berbincang) sesama mereka” (Al-Quran), dan kemudian mencapai kata sepakat dalam hal-hal yang boleh disepakati bersama. Adalah mustahil dalam beberapa puluh perkara, kata sepakat dalam beberapa perkara berkepentingan bersama tidak boleh dicapai, apatah lagi mereka adalah sama dalam agama, bangsa dan sejarah.

Begitulah nasihat ikhlas kita kepada parti-parti dan badan-badan umat Islam dinegara kita, Malaysia. Ini terkecuali pada badan atau individu yang bekerja untuk menjayakan agenda Kuasa Asing dan bukan agenda umat mereka sendiri. Apabila sesebuah badan itu bekerja di bawah telunjuk dan kagum dengan Agenda Asing, maka pimpinan badan tersebut hendaklah dinasihati atau ditukar dengan segera oleh ahli dan anggota badang berkenaan. Jika tidak, keseluruhan badan tersebut hendaklah ditentang habis-habisan agar pengaruh dan agenda asing tidak mendapat ruang untuk berjaya merosakkan negara yang kita cintai.

HAMAS dan FATAH di meja perundingan. Jika mana-mana pihak tidak membawa Agenda Asing, sebaliknya menumpu kepada Agenda Umat, banyak perkara yang boleh disepakati. Begini yang kita harap-harapkan dari parti dan badan umat Islam di Malaysia. Namun ia masih jauh dari apa yang diharapkan. Sebabnya masih menjadi tanda tanya jika tidak rahsia.

Kita berdoa semoga Allah swt mentautkan umat dan badan-badan Islam, menguatkan kasih sayang Ukhuwwah Islamiyah di antara mereka, merealisasikan kesatuan umat Islam yang kita impi dan cita-citakan, mengembalikan kekuatan dan sistem Islam yang telah dihilangkan seterusnya mengagungkan kembali umat ini di persada antarabangsa. Ameen.

Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Naib Presiden I,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku

++++

Komander MILF, MNLF bertempur

MANILA 3 Februari  – Seramai 13 orang terbunuh dan beribu-ribu penduduk melarikan diri akibat pertempuran yang berpunca daripada perebutan tanah antara dua kumpulan pemisah Islam di selatan Filipina.

Pertempuran kecil diketuai oleh komander dua puak bertelagah di pulau Mindanao itu sudah berlarutan sejak beberapa minggu lalu, dengan pertempuran terbaru berlaku semalam, kata jurucakap tentera wilayah, Mejar Marlowe Patria, hari ini.

“Pada mulanya mereka menggertak satu sama lain tetapi pertempuran mula meletus pada 9 Januari.

“Pertempuran itu terhenti seketika sebelum tercetus semula, semalam” kata Patria.

Katanya, 13 orang daripada kedua-dua pihak terbunuh, manakala sembilan lagi cedera, sementara 800 keluarga terdiri daripada kira-kira 3,000 orang meninggalkan kawasan pertempuran dan kini mendapat perlindungan daripada kerajaan tempatan.

Perbalahan itu adalah antara seorang komander Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) iaitu kumpulan pemisah Islam yang berasal dari selatan negara ini, dengan seorang komander Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Jurucakap MILF, Mohager Iqbal berkata, dua komander tersebut bertempur kerana hendak merebut lebih 1,000 hektar tanah, dan para pemimpin kedua-dua puak cuba campur tangan untuk menghentikan keganasan.

“Bukan MNLF dan MILF yang berperang. Cuma antara sesetengah anggota MILF dengan beberapa anggota MNLF,” kata Iqbal. – AFP

Sumber Berita: Utusan Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>