Menuju kesepakatan agenda

Isu penahanan Bible berbahasa Melayu menjadi isu yang hangat diperkatakan oleh masyarakat ketika ini. Keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan dilihat seolah-olah membayangkan ada sesuatu muslihat politik yang mengesani keputusan mereka. Apa tidaknya, mula-mula dilaporkan ia ditahan, kemudian dibenarkan dengan bersyarat, kemudian ada juga yang melaporkan walaupun dibenar tetapi masih tidak boleh dikeluarkan.

Pemimpin-pemimpin bukan Islam sudah mencapai kata sepakat mendesak untuk dilepaskan yang diketuai oleh seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Adakah di sana ada kaitan antara keputusan ini dengan pilihanraya Sarawak yang akan diadakan bila-bila masa lagi?

Peranan media juga dilihat begitu mensensasikan isu ini terutama media yang dikuasai oleh bukan Islam yang dilihat menjadi faktor pendesak kepada pihak kerajaan. Walaupun mereka faham isu ini sangat sensitif tetapi kenapa mereka masih mewar-warkan dengan berleluasa?

Persoalannya?

Apabila kerajaan menghalang pengedaran Bible ini, maka sudah pasti di sana ada rasionalnya, ia bukan hanya dibuat membabi buta. Faktor penterjemahan bahasa yang mengelirukan dan pengedaran di kalangan umat Islam, mungkin antara faktor besar yang menyebabkan kerajaan menghalang ia dimasukkan ke dalam negara. Mungkin mereka menafikan bahawa ia bukan untuk umat Islam tetapi siapa yang boleh menghalangnya nanti?

Pemimpin-pemimpin Melayu seolah-olah mabuk kenyataan apabila masing-masing memberikan kenyataan membenarkan ia untuk diedarkan. Alasannya sangat mudah iaitu bahasa tidak akan menjejaskan aqidah ummat Islam, ada juga yang mengatakan orang Melayu kena “open minded”. Sejauh mana orang Melayu perlu “open”, kita tidak tahu. Kadang-kadang saya rasakan seolah-olah masing-masing cuba menarik perhatian pihak-pihak tertentu.

Adakah ini sahaja?

Isu-isu yang menyentuh keagamaan adalah sangat sensitif di negara yang majmuk ini. Saya yakin akan banyak lagi isu-isu yang akan di“push” kepada kerajaan oleh pihak-pihak tertentu bagi membawa agenda besar mereka.  Dengan sifat toleransi orang-orang Melayu dan untuk menjaga kedudukan politik mereka maka tidak mustahil, banyak lagi yang kita terpaksa kompromi atau “open minded” dengan agama lain. Belum reda dengan kalimah Allah, AFC, Interlok maka kini dibawa pula isu Bible berbahasa Melayu.

Langkah ke hadapan

Saya merasakan perkara ini bukanlah sesuatu yang besar yang harus digembar-gemburkan atau memaksa pelbagai pemimpin Melayu memberi kenyataan. Ia sangat mudah jika semua pimpinan Melayu boleh duduk sekali dan berbincang dalam hal-hal menyentuh agama Islam yang menjadi kepentingan umum.

Pemimpin Melayu dari pelbagai latar belakang politik MESTI sepakat untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Agama Islam yang melihat dan menjaga kemuliaan agama tanpa berani digugat oleh orang lain. Keanggotaannya haruslah menyeluruh yang meliputi pimpinan politik dan NGO dan mereka boleh membuat keputusan yang melibatkan agama Islam. Dengan ini ia menjadi satu suara yang sangat kuat kerana ia melibatkan pelbagai pihak.

Inilah yang dikatakan Kesepakatan Agenda.

“MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT”

Aminuddin Yahaya,
Setiausaha Agung,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog:
Suara Dari Gunung

2 thoughts on “Menuju kesepakatan agenda

  1. Saya setuju dgn Amin. Kita kembalikan semangat MElayu demi menegakkan ISLAM. Hang Tuah menjadi IKON kita menegakkan ISLAM

  2. apa kaitan roh dakwah ini dengan Hang Tuah ?.adakah ia wujud atau hanya sekadar israiiliyyat yang di selit oleh anasir anasir penjajah dalam mencelarukan sejarah sebenar.Siapa nak menafikan peranan ulama’ islam dalam menghalau penjajah laknat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>