ISMA komited bantu pelajar ke arah kecemerlangan akademik dan sahsiah

MELBOURNE, 27 Febuari – ISMA Australia kembali meneruskan usahanya dalam membantu pelajar mencapai potensi sebenar mereka dengan cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga dari aspek sahsiah, tegas Ketua ISMA Australia cawangan Victoria, Dr.  Mohamad Faiz Yaman.

Menurut beliau, ISMA telah merancang pelbagai program sepanjang tahun 2011 dalam usaha menggarap potensi pelajar yang telah sedia cemerlang ketika dalam pengajian di Malaysia lagi.

Beliau berpendapat pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di luar negara, termasuk di Australia adalah yang terbaik di kalangan yang terbaik dan harus kekal sebegitu sehingga ke alam pekerjaan kelak

Dengan amanah biasiswa yang telah dikurniakan, para pelajar harus bersyukur dan pulang ke Malaysia sebagai individu yang bukan sahaja mampu menjana kemajuan negara, tetapi juga kemajuan rakyatnya.

Beliau menyampaikan pesanan itu ketika merasmikan Program Langkah Bermula (PLB) di Multicultural Hub, Melbourne pada Ahad lalu yang dirancang khas sebagai program orientasi untuk pelajar-pelajar baharu di Melbourne.

Selain sebagai majlis meraikan ketibaan pelajar-pelajar yang baharu, PLB juga bertujuan untuk mewujudkan jaringan komunikasi dan kemesraan di kalangan pelajar junior dan senior.

Pelajar senior dari segenap lapisan telah hadir sebagai sukarelawan untuk membantu pelajar-pelajar baharu menyesuaikan diri dengan kehidupan di Melbourne dan di alam universiti.

Para peserta telah dipersembahkan dengan sebuah program talkshow yang menampilkan Naib YDP ISMA Victoria, Dr. Aidah dan sukarelawan ISMA,  Encik Afiq dan Puan Fatimah.

Mereka mewakili para pelajar senior yang telah pun membuktikan bahawa kecemerlangan dalam segenap bidang adalah sesuatu yang mampu dicapai walaupun berada di bumi asing.

Selain kuiz informatif mengenai Melbourne, para peserta yang hadir telah dipertemukan dengan pelajar senior dalam bidang pengajian masing-masing bagi berkongsi petua-petua dan peluang-peluang yang telah tersedia untuk mereka.

Sumber:  Laman Web ISMA Australia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>