ISMA penuhi undangan ke Majlis Muhibah PM Bersama Pemimpin-Pemimpin Agama

Ustaz Abdullah Zaik bersama sebahagian pemimpin agama lain yang hadir

Putrajaya, 23 September – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dengan diwakili oleh Presiden, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman telah memenuhi undangan ke Majlis Muhibah Perdana Menteri Bersama Pemimpin-Pemimpin Agama Sempena Sambutan Hari Malaysia di Dewan Utama, Kementerian Kewangan di sini hari ini.

ISMA adalah antara NGO-NGO Islam yang telah dijemput sebagai wakil pemimpin agama Islam ke majlis ini selain para pemimpin agama-agama lain di tanahair.

Antara yang hadir ialah Presiden Majlis Perundangan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST), Dr. Thomas Philips; Timbalan Pengerusi Allied Coordinating Committee of Islamic NGO’s (ACCIN), Datuk Ahmad Ismail; Bishop Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia (CFM), Ng Noon Hing dan Presiden Persatuan Buddhist Malaysia, Ven Seck Jit Heng.

Selain itu, majlis yang turut dihadiri beberapa menteri Kabinet itu disertai Presiden Malaysia Hindu Sangam, R.S Mohan Shan; Presiden Majlis Gurdwara Malaysia, Sardar V.Harcharan Singh dan Presiden Persekutuan Pertubuhan Taoist Malaysia (FTAM), Daozhang Tan Hoe Chieow.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menyifatkan pertemuan pada hari ini sebagai sesuatu yang positif ke arah memupuk persefahaman yang lebih baik di kalangan rakyat negara ini yang menganuti pelbagai agama.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berjanji akan memberi sokongan padu kepada Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di Antara Penganut Agama yang dipengerusikan oleh Penyelaras Khas Jemaah Menteri, Datuk Ilani Isahak.

Jawatankuasa tersebut diwujudkan sebagai satu platform dan mekanisme bagi membincangkan banyak perkara dari hati ke hati, dalam suasana muhibah dan secara tertutup.

“Kewujudan jawatankuasa ini diharap mampu membendung ketegangan antara kaum yang mungkin timbul daripada kenyataan-kenyataan berunsur kontroversi dan perlakuan provokasi,” ujar Perdana Menteri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>