Ahlan Ya Ramadhan

Ahlan Ya Ramadhan..
Bulan keimanan, ketaqwaan, dan kemenangan..

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Ilahi kerana masih memberi ruang dan peluang untuk kita hidup dalam keadaan beriman kepadaNya. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w, Nabi junjungan dan ikutan sepanjang zaman. Baginda s.a.w dianugerahkan Allah berbagai pemberian istimewa untuk dirinya dan umat Islam seluruhnya. Antaranya ialah ibadah puasa sebulan di bulan Ramadhan.

Ramadhan makin hampir tiba, saya ingin mengajak semua mengoreksi diri dan membuat persiapan untuk menyambut Ramadhan kali ini dengan sebaik mungkin. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini mampu meningkatkan kualiti diri kita supaya menjadi golongan muttaqin yang sebenarnya.

Bulan Ramadhan dianggap sebagai bulan mengukur kualiti akhlak dan iman kita. Apabila bulan Ramadhan tiba hakikat sebenar seseorang manusia muslim akan teserlah. Mereka boleh dikategorikan kepada 4 golongan iaitu:-

Golongan Pertama:-

Golongan muslim yang sentiasa ingkar akan perintah Allah. Bagi golongan ini Ramadhan tiada nilainya di sisi mereka walaupun ia datang dan pergi beribu kali. Bahkan golongan ini mempersenda-sendakan kefardhuan ibadah puasa. Sewaktu manusia muslim berpuasa mereka makan secara terang-terangan di khalayak ramai tanpa ada sedikit pun perasaan takut kepada Ilahi. Mereka juga tidak menjaga perasaan saudara seagama mereka dengan melakukan tindakan tersebut.

Sikap golongan ini bertepatan dengan hadith Nabi s.a.w

” إذا لم تستح فأصنع ما شئت “

“Apabila kamu tidak berasa malu, lakukanlah apa sahaja yang kamu suka”.

” كل أمتي معافى إلا المجاهرين”.

“Setiap umatku dimaafkan (diampunkan dosa) kecuali mereka yang menzahirkan (bangga melakukan maksiat secara terang-terangan).”

Golongan Kedua:-

Golongan manusia muslim takutkan manusia dan tidak takutkan Allah. Di hadapan manusia seolah-olah dia berpuasa dan warak. Biji-biji tasbih sentiasa bermain di jari jemarinya dan lidahnya basah dengan zikrullah. Namun apabila bersendirian, golongan ini melakukan segala perkara yang dilarang dan ditegah Ilahi.

Sikap golongan ini bertepatan dengan firman Allah:-

يَسْتَخْفُونَ مـِنَ النَّاسِ وَلاَ يَسْتَخْفُونَ مـِنَ اللّهِ وَهُوَ مَعَهُمْ إِذْ يُبَيِّتُونَ مَا لاَ يَرْضَى مِنَ الْقَوْلِ وَكَانَ اللّهُ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطًا

108. Mereka menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia. Dalam pada itu mereka tidak menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah. Padahal Allah ada bersama-sama mereka, ketika mereka merancangkan pada malam hari, kata-kata yang tidak diredhai oleh Allah. Dan (ingatlah) Allah sentiasa meliputi pengetahuannya akan apa yang mereka lakukan. ( سورة النساء : الآية 108 )

Golongan ini sebenarnya seolah-olah menipu diri mereka sendiri.

Sabda Nabi s.a.w dalam satu Hadith Qudsi:

” من عصاني وهو يعتقد إني أراه فقد جعلني أقل الناظرين إليه ، ومن عصاني وهو يعتقد أنى لا أراه فقد كفر”.

“Sesiapa yang melakukan maksiat dalam keadaan dia beriktikad Aku melihatnya maka dia telah menjadikan Daku kurang perhatian kepadanya dan barangsiapa yang melakukan maksiat dalam keadaan dia beriktikad Aku tidak melihatnya sesungguhnya dia telah menjadi kafir”.

Golongan Ketiga:-

Golongan manusia muslim yang jahil. Mereka memahami bahawa ibadah puasa hanyalah menahan diri dari makan dan minum sepanjang hari. Bagi mereka puasa mestilah dihiasi dengan pesta makanan, hiburan dan pakaian-pakaian cantik dan seumpamanya yang melalaikan.

Mereka tidak memahami bahawa puasa adalah kesempatan membersihkan diri dari sifat-sifat negatif tersebut apatah lagi ianya merupakan peluang keemasan untuk meningkatkan pengabdian diri dan melayakkannya mendapat keampunan Ilahi.

Sikap golongan ini digambarkan oleh Nabi s.a.w dalam sabda baginda s.a.w:-

” رب صائم ليس له من صيامه إلا الجوع والعطش ” .

“Berapa ramaikah manusia yang berpuasa tiada baginya ganjaran puasa tersebut melainkan lapar dan dahaga”

Golongan Keempat:-

Golongan manusia muslim yang sebenar, mereka bijak dan berdisiplin. Golongan ini memahami bahawa bulan Ramadhan adalah Madrasah Tarbiah dan pembentukan keperibadian yang mulia. Ia mendidik akal dan ruh serta menanamkan perasaan taqwa di dalam jiwa.

Sepanjang bulan Ramadhan golongan ini mengekang nafsu Allawwamah (nafsu yang tercela) dan nafsu Ammarah bissu’ (nafsu yang mendorong melakukan kejahatan) supaya menjadi nafsu mutmainnah. Mereka mengekang segala runtuhan nafsu yang berlebihan supaya tunduk dan patuh dengan perintah Ilahi.

Bagi mereka puasa adalah Rehlah Rabbaniah (pengembaraan ketuhanan) tempoh masanya selama sebulan. Bermula perjalanannya dengan niat “Dengan namaMu ya Allah aku menahan diri (berpuasa) dari melakukan segala sesuatu kecuali hanya ketaatan kepadaMu.

Berakhir pula dengan doa dan pengharapan “Dengan namaMu ya Allah aku berbuka puasa… mudah-mudahan amalku diterima, keredhaanMu dicapai, keampunan dimiliki dan syurgaMu menjadi saksi ketaatanku”. Golongan ini berusaha bersungguh memastikan waktu sepanjang hari berpuasa dipenuhi dengan pengabdian diri kepada Ilahi sepenuhnya.

Sabda Nabi s.a.w:-

” من صام رمضان إيمانًا واحتسابا غفر الله ما تقدم من ذنبه “

“Sesiapa yang berpuasa sebulan ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan keampunan Ilahi diampunkan Allah dosa-dosanya yang terdahulu”.

Inilah 4 golongan manusia muslim di bulan Ramadhan. Wahai saudaraku lihat diri kita berada di golongan mana. Mohonlah pada Ilahi semoga kita menjadi golongan yang mengambil bekalan taqwa dari bulan Ramadhan dan menghidupkan budaya Ramadhan pada bulan-bulan yang lain. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada Ramadhan yang telah berlalu.

Oleh: Ustaz Haji Shaharuzzaman Bistamam,
Ketua Biro Pembangunan Manusia,
ISMA Cawangan Ipoh
Blog: Bahtera Penyelamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>