Kelebihan bulan Syaaban & malam Nisfu Syaaban

Sempena bulan Syaaban dan malam Nisfu Syaaban, saya nukilkan beberapa hadis dari kitab Sahih Al-Bukhari dan kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty. “Nisfu” bermakna separuh atau 14hb. Kitab Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim adalah rujukan paling utama dalam Islam selepas Al-Quran.

Abdullah b Yusuf menyampaikan kepada kami, dari Malik, dari Abi An-Nadr, dari Abi Salamah, dari Aisyah ra. dia berkata (bermaksud), “Adalah Rasulullah saw berpuasa sehingga kami mengatakan dia tidak berbuka. Dia saw berbuka sehingga kami mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi saw berpuasa penuh satu bulan melainkan (dalam bulan) Ramadan. Aku tidak pernah melihat dia saw berpuasa lebih banyak selain dari bulan Syaaban” (Hadis Sahih No. 1969 riwayat Imam Al-Bukhari).

Muaz bin Fadhalah menyampaikan kepada kami, dari Hisyam bin Yahya, dari Abi Salamah, bahawa Aisyah ra meriwayatkan kepadanya dengan berkata, “Nabi saw tidak pernah berpuasa dalam satu bulan lebih banyak dari bulan Syaaban. [Nabi saw berpuasa bulan Syaaban semuanya – lafaz Al-Bukhari]. Nabi saw bersabda, “Beramallah dengan mengikut kemampuan kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga kamu yang jemu (dulu – pent)”. Aisyah ra menyambung, “Solat yang paling disukai Nabi saw ialah solat yang dikerjakan berterusan walaupun sedikit. Adalah Nabi saw apabila solat, dia mengerjakannya secara konsisten” (Hadis Sahih No. 1970 riwayat Imam Al-Bukhari).

Abu Mikmar menyampaikan kepada kami dari Abdul Warith, dari Abu At-Tayyah, dari Abu Uthman, dari Abu Hurairah ra.  berkata (bahawa), “Kekasihku (Nabi saw) telah mewasiatkan kepadaku 3 perkara (iaitu) puasa 3 hari setiap bulan (13, 14 dan 15hb), 2 rakaat Dhuha dan Solat Witir sebelum aku tidur”. (Hadis Sahih No. 60 riwayat Imam Al-Bukhari).

Abdullah bin Maslamah menyampaikan kepada aku dari Malik, dari Ibnu Syihab, dari Abi Salamah dan ayahku Abdullah Al-Agharry, dari Abu Hurairah ra sesungguhnya Rasulullah saw bersabda (bermaksud) “Tuhanku tabaaraka wa taala turun ke langit dunia setiap malam bila tinggal 1/3 akhir malam dan berfirman: Mana orang yang berdoa kepada Aku, untuk Aku memperkenankan doanya? Mana orang yang meminta kepada Aku, untuk Aku berikan kepadanya? Mana orang yang memohon keampunan Ku, untuk Aku mengampuninya? (Hadis Sahih No. 1145 riwayat Imam Al-Bukhari).

Di dalam Hadis-hadis Sahih riwayat Imam Al-Bukhari di atas, tidak disebut secara khusus puasa sunat hari Nisfu Syaaban ie. 14 atau 15hb Syaaban, namun disebut secara khusus berpuasa sunat pada 13, 14 dan 15hb setiap bulan yang mana termasuklah di dalamnya hari pertengahan Syaaban (Nisfu Syaaban). Di dalam hadis Sahih Al-Bukhari di atas juga tidak disebut secara khusus berqiamullail malam Nisfu Syaaban, tetapi disebut berqiamullail di setiap malam, dan yang mana ini termasuklah malam pertengahan Syaaban (nisfu Syaaban).

Adapun berqiamullail pada malam Nisfu Syaaban dan berpuasa pada siang harinya, dengan secara khusus menyebut kalimat “Nisfu Syaaban”, status hadis-hadisnya (sahih, hasan sahih, hasan, dhaif, maudhuk dll) adalah menjadi perbincangan akademik para ulamak hadis. Jika tidak mencapai ke tahap Sahih, ia tidak boleh dijadikan hujah Syarak, namun jika dipadankan dengan Hadis-hadis Sahih riwayat Imam Al-Bukhari di atas, ia boleh dijadikan panduan untuk Fadhail A’mal (Fadhilat-fadhilat Amal Ibadah) dalam Islam.

“Tiada halangan dibuat penyiasatan ilmiah yang bersih dalam masalah khilaf dalam suasana kasih sayang di jalan Allah dan bekerjasama ke arah mencapai perkara yang sebenar, tanpa usaha tersebut membawa kepada perdebatan yang tercela dan taksub” (Imam Hasan Al-Banna).

Kesimpulannya ialah bangun malam dan berpuasa 14hb Syaaban adalah ibadah yang syarie jika tidak dikaitkan dengan bulan Sya’ban. Tetapi jika dikaitkan dengan bulan Sya’ban, maka yang demikian itu adalah bid’ah iltizamiah yang merupakan perkara yang boleh diperselisihkan dan bukan bid’ah yang sesat.

Berikut adalah sebahagian hadis-hadis berkenaan Nisfu Syaaban dari kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty:

Dari Usamah b Zaid ra berkata, “Aku bertanya, ya Rasulullah. Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan-bulan lain sepertimana engkau berpuasa di bulan Syaaban”. Rasulullah bersabda, “Ia adalah bulan yang manusia lalai terhadapnya, di antara Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekalian alam, maka aku suka amalanku diangkat sedang aku berpuasa” (riwayat An-Nasaie).

Dari At-Tarmizi dengan sanad-sanadnya dari Anas ra. dia berkata, “Nabi saw ditanya apakah bulan selepas Ramadan yang terafdhal berpuasa”. Nabi saw menjawab bermaksud, “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan”. Nabi saw ditanya lagi, “Sedekah apakah yang terafdhal?”. Nabi saw menjawab, “Sedekah di bulan Ramadan”. Kata At-Tarmizi, hadis ini hadis Hasan Sahih.

Dari Ibnu Majah dari Ali ra. dari Nabi saw bersabda bermaksud, “Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiyamullail pada malamnya, dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah swt turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman, “Adakah di sana orang yang memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia? Adakah di sana orang yang memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki? Adakah di sana orang yang diberi ujian bala bencana, lalu Aku menyejahterakan dia? Adakah di sana … adakah di sana … ? sehingga terbit fajar”.

Dari Al-Baihaqy dengan sanad-sanadnya dari Aisyah ra. bahawa Nabi saw bersabda bermaksud, “Jibril telah mendatangi aku dan berkata: Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Pada malam itu Allah membebaskan hamba-hamba dari siksaan api Neraka seramai bilangan kambing Bani Kalb (merentasi satu tempat) selama sebulan. Pada malam itu Allah tidak menoleh kepada orang yang melakukan syirik, pengadu domba (kaki batu api), pemutus silaturrahim, penderhaka kepada kedua ibu bapa dan orang yang ketagih arak”. Bani Kalb adalah kabilah Arab yang terbesar atau yang memiliki bilangan kambing yang terbanyak.

Akhir kata, Allahumma a’inni ala zikrika wa syukrika wa husni ibadatik (Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati, mensyukuri dan beribadah kepadaMu). Ameen ya rabbal alameen.

Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Naib Presiden I,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku

15 thoughts on “Kelebihan bulan Syaaban & malam Nisfu Syaaban

  1. ketika maulana asri, ulama sunnah kelantan membuktikan nisfu sya’ban ada kaitan dengan hari lahir imam mahdi yg dipopularkan oleh syiah, kita pula mengiklankan nisfu syaaban.

    ntahlah..

  2. harap cikgu rahim boleh memperjelas statement sebab saya kurang faham. artikel di atas mengiklankan nisfu syaaban tu apa maksudnya? menggalakkan orang mempercayai nisfu syaaban adalah sunnah rasulullah? memperjelaskan ada atau tidak dalil2 berkenaan nisfu syaaban?

    iklan memang perlu. iklan boleh jadi memberitahu orang ramai bahawa sesuatu itu benar, dan boleh jadi memberitahu orang ramai bahawa sesuatu itu salah etc.

    harap bacalah artikel ni sampai habis. mungkin tajuk ni agak “misleading” kot. sekali baca orang ingat oh ada rupanya kelebihan malam “nisfu syaaban”.

  3. Cikgu Rahim,ada tak artikel atau rakaman video tntg Maulana Asri yg cikgu Rahim sebut 2?
    Bole bg link?
    Mahu baca.
    Syukran.

  4. Assalamu’alaikum,

    Saya fikir isu2 khilaf, pihak isma tidak seharusnya memberi perhatian kpd isu2 khilaf kecuali kita benar2 pakar….kita seharusnya menonjolkan apa yg kita pakar; mengulas isu2 semasa dari perpektif islam, kaedah mentarbiah umat dan apa saja ilmu yg kita yakin kita memang pakar.

    Berkait dgn nisyfu syaaban,

    Dr Yusuf al-Qaradawi ada mengulas tentang amalan malam Nisfu Syaaban dengan katanya:

    “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nas-nas (al-Quran dan Sunnah) serta bercanggahan dan bertentangan pula isi kandungannya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidah, dan setiap yang bidah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

    Pandangan maulana asri

    http://www.youtube.com/watch?v=soGlCHI7EQg

    sekian.

  5. x nampak pun masalah.. tulisan ustaz Halim dgn pendapat Yusuf Qardhawi.. sumbernya sumber Sahih..

  6. Salam,

    cikgu rahim..Ana rasa perkara ini wajar diutarakan kerana ramai dari umat Islam sekarang keliru tentang perkara ini..

    Wassalam

  7. ust halim adalah lulusan graduan al azhar dan dalam isma sendiri ada MA pengkhususan hadith bahkan ada MAJLIS ULAMA ISMA ( yg dibarisi panel2 DR,pensyarah dan pengkaji sesuatu bidang Islam….)
    http://muis.ismaweb.net/ahli-panel-muis/
    insyaAllah ISMA cukup layak untuk bercerita tentang perkara sebegini…..
    *antara hadith yang dikemukakan adalah hadith sahih dan juga HADITH YANG DIJELASKAN TARAFNYA…..
    bila ana sendiri baca bukannya ana semangat nak hidupkan NISFU SYA’BAN tp semangat nak memanfaatkan setiap masa bertaqarub pd Allah tidak khusus pd malam tersebut. Juga ana bertambah jelas utk beramal kerana dah nampak hadith yang sahih dan fadail amal. Ana rasa ini paling kurang utk semua jelas dan faham
    *bole je bincang isu khilaf selagi ada nas yg sahih, pandangan ulama dan tak bawa kpd perpecahan…

  8. *“Tiada halangan dibuat penyiasatan ilmiah yang bersih dalam masalah khilaf dalam suasana kasih sayang di jalan Allah dan bekerjasama ke arah MENCAPAI PERKARA SEBENAR, tanpa usaha tersebut membawa kepada perdebatan yang tercela dan taksub” (Imam Hasan Al-Banna).

    CTHNYA: bangun malam (qiamullail) dan berpuasa 14hb Syaaban adalah ibadah yang Syar’iyy, merupakan salah satu taqarrub ilallah (mendekatkan diri kepada Allah) dan bukan bid’ah.

  9. Pada pandangan ana, ayat yang sedikit kontroversi ialah ayat berikut:

    “Akhirnya nanti, secara amalinya, bangun malam (qiamullail) dan berpuasa 14hb Syaaban adalah ibadah yang Syar’iyy, merupakan salah satu taqarrub ilallah (mendekatkan diri kepada Allah) dan bukan bid’ah”

    Mungkin ungkapan yang lebih baik ialah:

    Bangun malam dan berpuasa 14hb Syaaban adalah ibadah yang syarie jika tidak dikaitkan dengan bulan Sya’ban. Tetapi jika dikaitkan dengan bulan Sya’ban, maka yang demikian itu adalah bid’ah iltizamiah yang merupakan perkara yang boleh diperselisihkan dan bukan bid’ah yang sesat.

    Ibadah yang dikaitkan dengan Malam Nisfu Sya’ban ini termasuk dalam maksud Usul ke 12:
    “Bidaah yang dilakukan dengan menambah atau mengurangkan, terikat dengan cara-cara tertentu dalam melakukan ibadat yang mutlak (bid’ah iltizamiah) adalah termasuk dalam masalah khilafiah. Setiap orang mempunyai pendapat yang tertentu. Tidak menjadi kesalahan mencari hakikat melalui bukti dan dalil.”

    Kesimpulannya ialah ia adalah perkara yang boleh diperselisihkan. Jadi, ayuh kita teruskan amal.

    Wallahu a’lam.

  10. setuju dgn pandangan org pantai…

    usyul 12 itu, usyul untuk untuk menyatukan umat; kerana ustaz hasan telah mengkaji perkara ini sememangnya amat sukar untuk menyatukan umat tanpa usyul ini.[berbeda dgn aliran salafy; selain yg diamalkan oleh salafus saleh, ia adalah bidaah yg sesat]

    tetapi ahli isma yg telah iltizam dgn dakwah salafiah seharusnya mengamalkan amalan yg ada sumbernya dari Rasulullah saw; amalan generasi para sahabat dan tabien.
    justru itu ustaz Hasan telah menyarankan ustaz sayyid sabiq menulis kitab fikih sunnah…
    dan al ma’thurat itu sendiri adalah koleksi doa dan zikir yg bersumberkan dari Rasulullah saw…

    antara usyul 12 dan praktif barisan pemimpin isma seharusnya kita dapat bezakan…

  11. ahmad says: *antara hadith yang dikemukakan adalah hadith sahih dan juga HADITH YANG DIJELASKAN TARAFNYA……

    Pohon majlis ulama isma takhrijkan hadith yg akhir itu; hadith ibn majah dan hadith al baihaqy.
    hadith2 ini tidak dijelaskan tarafnya….

    sekian.

  12. Terima kasih atas pandangan & komen daripada semua. Setelah mengambil kira pandangan2 yg dikemukakan, penulis telah melakukan penambahbaikan terhadap artikel di atas.

  13. Disunatkan membaca surah Yasin 3 kali selepas maghrib pd malam Nisfu Syaaban. Bukankah membaca Yasin itu tinggi fadilatnya? Amalan baik pd bulan Syaaban – sebelum bulan Ramadan al-Mubarak. Kita cepat menuduh amalan yang baik sebagai bidaah! Apakah membaca Quran pd bulan Syaaban pun bidaah? Wassalaam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>