Di sebalik fenomena AF

Saya sekeluarga mengajak Mak dan Abah makan malam di salah sebuah restoran di Kajang. Sambil menunggu makanan dihidangkan, mata saya sempat meleret ke kaca TV yang ada di situ.

Pada malam itu, rancangan Akademi Fantasia ke-8 (AF8) disiarkan secara langsung. Kebetulan malam itu adalah penentu juara AF8. Sayu hati bercampur perasaan yang pelbagai, apabila melihat ribuan hadirin yang membanjiri konsert akhir itu adalah anak-anak muda Melayu.

Banyak perkara yang saya hendak sentuh tentang konsert itu (walaupun sudah berlaku sejak 8 tahun yang lalu) :-

1. AF diambil atau ditiru bulat-bulat daripada program realiti TV Mexico (Sila rujuk Berita Harian 24 atau 25 Mei). Penampilan dan pendekatannya adalah daripada mereka yang bukan beragama Islam.

2. Tahun ini adalah tahun yang ke-8 program AF di Malaysia. Berapakah bilangan anak-anak Melayu yang lalai dengan program itu? Saya yakin tidak kurang 5 juta rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu telah lalai dengannya (kalau lebih lagi dahsyat).

3. Berapakah keuntungan yang diraih daripada syarikat bukan Islam disebabkan kelalaian umat Islam untuk program AF?

4. Siapakah mentor atau penasihat di sebalik pelaksanaan program ini? Sehingga kita dapat saksikan terkebil-kebil anak-anak Melayu yang terhinjut-hinjut menjerit tanda sokongan kepada artis mereka.

5. Amat memalukan apabila peserta yang tersingkir menangis kononnya sedih di atas kekalahan. Ditambah pula tangisan para penyokongnya.

6. Para pengkritik dilihat memberikan panduan cara bagaimana hendak dapatkan markah yang lebih tinggi. Sedangkan panduan itu mendorong mereka menyajikan kelalaian yang lebih teruk kepada masyarakat.

7. Penganugerahan trofi kemenangan. Sudah tentu mereka yang memahami telah melafazkan “Ntah apa-apa”. Mana tidaknya, mereka seolah-olah lepasan Ijazah Sarjana apabila berpakaian seperti majlis konvokesyen universiti.

8. Pakaian peserta yang menjolok mata ketika persembahan. Peserta lelaki dan wanita bersama-sama beraksi tanpa segan silu. Ini tidak diambil kira bagaimana mereka pada waktu latihan.

Terlalu banyak sebenarnya perkara yang tidak disebutkan di sini. Tuan-tuan lebih maklum apa yang berlaku setiap kali rancangan ini disiarkan di TV.

Amat jarang sekali kita bertanya “Siapakah di sebalik penganjuran AF di Malaysia?”. Walaupun jawapannya sudah sedia maklum, akan tetapi apabila sesekali kita bangkitkan persoalan ini di dalam diri kita, nescaya rasa pertembungan Islam-Kufur akan ada. Maka di sinilah kita mula untuk bangkit dan bertindak melawannya.

Ketiadaan hala tuju dan objektif hidup yang jelas menyebabkan manusia lalai dan leka. Tidakkah kita ingat pada ayat al-Qur’an yang menyatakan tujuan hidup kita di dunia ini?

“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk menyembahKu” (al-Zariyat, 56)

Wajarkah anak-anak Melayu yang menyertai program itu memberi jawapan “Saya tidak tahu” di hadapan Allah swt di akhirat kelak ? Dr. Abd Karim Zaidan menyatakan di dalam salah sebuah tulisannya dalam kitab al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, alasan jahil tidak boleh diguna-pakai dalam sebuah negara Islam atau negara yang majoriti Islam atau negara yang ramai alim ulama’.

Adakah Malaysia sebuah negara bukan Islam? Atau negara yang tidak ada langsung cendekiawan Islam? Malah lebih baik lagi apabila setiap pelajar Melayu didedahkan dengan mata pelajaran Pendidikan Islam di bangku sekolah. Jadi, alasan “jahil” tidak dapat diguna-pakai dalam konteks masyarakat Malaysia.

Akhlak dan tingkah laku kita adalah terjemahan daripada akidah kita. Jika akidah kita kukuh, kepercayaan kita kepada balasan syurga neraka itu mantap, nescaya perilaku kita juga baik samada di hadapan khalayak atau sebaliknya.

Ini tidak termasuk hiburan yang sedia ada, sudah tentu segala bentuk hiburan karut merosakkan akidah suci umat ini.

Ustaz Mohd Azrin Samsudin,
Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia,
ISMA Shah Alam & Klang
Sumber: Laman Web ISMA Shah Alam & Klang

One thought on “Di sebalik fenomena AF

  1. ana nak tambah cket..

    kalo kita lihat pada program realiti tv9 iaitu idola kecil, sebenarnya, ia sama sahaja dengan rancangan AF ini..jadi, boleh ditimbulkan juga pelbagai persoalan yang sama seperti rancangan AF itu…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>