Turki dan peranannya di Asia Barat

Peristiwa serangan tentera Zionis ke atas kapal Mavi Marmara kepunyaan negara Turki baru-baru ini telah membuka mata banyak pihak mengenai peranan besar yang dimainkan oleh Turki dalam misi kemanusiaan itu. Walaupun misi kemanusiaan itu lebih bertujuan memberi tekanan kuat ke atas Israel agar menamatkan kepungan ke atas Gaza, tindak balas kerajaan Turki terhadap serangan ini dengan membatalkan serta merta latihan bersama tentera Israel dan memanggil Duta Israel ke Turki untuk menghadap telah menyerlahkan sisi tegas dan berani yang sejak sekian lama tidak disaksikan daripada sebuah negara Islam di rantau Asia Barat yang sentiasa bergolak itu.

Kemenangan Parti Keadilan dan Pembangunan pada 23 Julai 2007 telah disambut dengan penuh kegembiraan oleh kalangan pencinta-pencinta dan gerakan Islam seluruh dunia. Kemenangan itu telah disifatkan oleh Syeikh al-Ustaz Jum’ah Amin, salah seorang pemimpin tertinggi Ikhwan Muslimin, sebagai satu kemenangan yang patut diraikan oleh semua pencinta Islam seluruh dunia sebagaimana al-Quran merakamkan kegembiraan muslimin di atas kemenangan Rom yang beragama Samawi, namun dalam masa yang sama beliau mempersoalkan pendirian Recep Taiyib Erdogan yang berikrar untuk beriltizam dengan dasar sekular Turki, satu tindakan yang disifatkan sebagai pendekatan “harmoni politik” yang berlebihan. Selain itu beliau turut menekankan peri penting membezakan antara projek menegakkan Islam yang menyeluruh dalam kehidupan dan agenda mendapatkan kuasa melalui kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh perlembagaan.

Bagaimanapun, peristiwa serangan tentera Zionis ke atas Semenanjung Gaza pada penghujung 2008 dan awal 2009 telah meletakkan kerajaan Turki pimpinan Erdogan di satu kedudukan yang amat strategik. Ini berikutan sikap negatif kerajaan Mesir yang masih tunduk kepada kuasa Barat semasa serangan tersebut telah membuka laluan kepada negara Turki untuk mengambil peranan yang lebih ke hadapan berhubung isu Palestin. Turki telah memainkan peranan penting dalam usaha-usaha antarabangsa bagi kempen mendesak Israel menamatkan kepungan yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza, memberi tekanan ke atas Israel berhubung isu penempatan Yahudi dan pencerobohan ke atas Masjid al-Aqsa, menjadi tempat rujukan bagi Syria berhubung penjajahan Zionis ke atas Bukit Golan, selain menjadi orang tengah yang “diredhai” Iran, bersama Brazil, berkaitan isu penguraian uranium.

Peranan dan kedudukan Turki yang semakin penting di rantau bergolak itu telah membimbangkan Israel dan Amerika hingga membawa kepada tindakan Armenia menggantung perjanjian hubungan diplomatik yang dimeterainya bersama Turki pada tahun lepas. Hillary Clinton selaku Setiausaha Luar Amerika pernah turun ke Turki dan Armenia bagi menyelamatkan proses perjanjian yang hampir gagal itu, tetapi terpaksa melakukan sebaliknya kerana bimbangkan pengaruh dan hala tuju Turki yang terkini. Bagaimanapun, Amerika dilihat terpaksa membuat perkiraan panjang dalam tindak balasnya terhadap Turki kerana selama ini ia memandang kekuatan tentera Turki di rantau berkenaan amat penting dipelihara untuk mengawal sikap “keras kepala” Iran dan Syria pada bila-bila masa diperlukan. Gelagat mutakhir Turki dilihat menolak pentadbiran Washington untuk menyusun semula strateginya di rantau itu.

Ramai pemerhati politik beragama Kristian yang menyifatkan gelagat Turki mutakhir ini berhubung insiden Flotilla sebagai mengambil kesempatan untuk mengubah pendirian negara Turki yang selama ini bersekutu dengan Israel, pro Barat dan dasar sekularnya. Bagaimanapun keupayaan kerajaan Turki untuk mempengaruhi kuasa tenteranya masih lagi diragui. Cuma perkembangan dalaman Turki yang menyaksikan siri penangkapan ke atas anggota-anggota tentera berpangkat tinggi, atas tuduhan berkomplot untuk menggulingkan kerajaan, sedikit sebanyak melatari keberanian kerajaan Erdogan mengambil pendekatan berlainan berbanding kerajaan-kerajaan Turki terdahulu berhubung isu Palestin dan umat Islam serantau.

Gelagat kerajaan Turki dan polisi hubungan luarnya itu bukan saja dilihat sebagai suatu yang membantu usaha-usaha menamatkan kepungan ke atas Gaza, malah umat Islam seluruh dunia perlu mengambil kesempatan untuk berdiri di sisi negara Turki dan mendesak agar kerajaan negara masing-masing menuruti langkah yang sama. Sesungguhnya era kebisuan dan ketulian negara-negara Arab dan Islam terhadap isu-isu utama umat Islam, terutamanya isu Palestin dan Baitul Maqdis, selain isu Iraq, Kasymir, Afghanistan, minoriti Islam di China dan sebagainya, perlu ditamatkan segera. Kesempatan ini tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa disambut dengan sokongan dan dokongan yang kuat dari masyarakat Islam antarabangsa, kerana perjalanan Turki dan negara Islam yang lain ke arah kebebasan mutlak dari tekanan kuasa Barat masih jauh lagi. Barat tidak akan mudah membiarkan “ayam tambatannya” terlepas atau “makan tuan”. Perkara ini seharusnya menjadi ingatan bagi mereka yang terlalu teruja dengan gelagat dan pencapaian kerajaan Turki pada hari ini.

Ustaz Mohd Hazizi bin Abdul Rahman,
Ketua Biro Media & Penerangan ISMA

Blog: Menuju Perubahan

4 thoughts on “Turki dan peranannya di Asia Barat

  1. assalamu’alaikum wrt..

    Artikel yg baik dari sheikh M Hazizi. Tahniah.
    Mungkin kekuatan yg baru muncul ialah suara kemanusiaan tanpa ikatan sempadan, ras atau agama.
    Rachel Corrie adalah seorang kanak2 Amerika yg telah meluahkan cita2nya untuk membantu rakyat Palestine sejak berumur 10 tahun. Selanjutnya kapal yg dinamakan sempena namanya itu telah membangkit sebahagian umat manusia untuk merasa prihatin dengan perjuangan RC .. moga2 gelombang kesedaran itu melanda seluruh pelusuk dunia. CAR

  2. tahniah kepada penulis
    tahniah juga kepada cikgu rahim
    tahniah kepada semua yang masih peduli dengan isu perdana umat islam ini

  3. Terima kasih kepada Cikgu Rahim kerana sudi melayari ISMAWEB, membaca dan memberi komen membina. Pandangan Cikgu amat dihargai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>