Lebih 700 aktivis sokong ketegasan dan keberanian kerajaan Turki

Kuala Lumpur, 4 Jun – Kira-kira 700 orang aktivis telah menyertai Perhimpunan Solidariti ‘End The Siege’ di hadapan Kedutaan Turki di Jalan U-Thant, Kuala Lumpur yang dianjurkan bersama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan Aman Palestin.

Perhimpunan ini diadakan untuk menyatakan sokongan padu kepada kerajaan Turki atas keberanian dan ketegasan mereka di bawah pimpinan Recep Taiyip Erdogan dalam berhadapan dengan kezaliman rejim Zionis Israel. Di samping itu juga sebagai menzahirkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa yang telah gugur syahid dalam serangan tentera Israel terhadap kapal misi Freedom Flotilla.

Dalam perhimpunan ini, wakil-wakil ISMA, PEMBINA dan Aman Palestin yang diketuai oleh Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman (Presiden ISMA dan Pengerusi Eksekutif Aman Palestin) telah menyerahkan memorandum sokongan kepada duta kerajaan Turki ke negara ini.

Perhimpunan kali ini turut diisi dengan pidato penuh semangat yang diselang-selikan oleh laungan takbir oleh Tuan Haji Aminuddin Yahya (Setiausaha Agung ISMA), Sdr Zaizul Azizi Zaman (Presiden PEMBINA), Ustaz Abdullah Zaik dan Puan Norhashimah Salleh (Aktivis Aman Palestin).

Dalam perkembangan yang sama, Ustaz Abdullah Zaik juga memberitahu para wartawan bahawa Aman Palestin akan menghantar bantuan bernilai USD 100,000 ke Gaza melalui pintu masuk Rafah  yang merangkumi barang-barang keperluan asas dan lain-lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>