Apabila Sang Arnab berehat

Di dalam sebuah kampung yang terletak agak jauh di pedalaman, tinggal dua ekor binatang yang bersahabat baik. Seekor adalah arnab manakala seekor lagi kura-kura.  Si Arnab ini suka mengejek Si Kura-kura kerana dia berjalan sangat lambat.

Suatu hari ketika Sang Kura-kura sedang berjalan-jalan menuju ke sebuah sungai untuk mencari makanan, tiba-tiba lalu Sang Arnab.

“Hai kura-kura, kenapalah engkau ni berjalan lambat sangat. Terhegeh-hegeh. Bila engkau nak sampai ke tempat sana?” tanya Sang Arnab kepada Kura-kura sambil mengejek.

”Wahai Sang Arnab, walaupun aku berjalan lambat tetapi sekurang-kurangnya aku akan sampai jugak nanti” jawab Sang Kura-kura tak mahu mengalah.

”Hey Sang Kura-kura, kalau engkau sampai tapi hari dah malam buat apaaaa….. Nak cari makanan pun tak nampak nanti. Engkau tengok aku ni hah…” sahut Sang Arnab sambil berlari-lari dengan pantas di sekeliling Kura-kura.

”Wah, laju sungguh Si Arnab ni berlari” kata Sang Kura-kura di dalam hatinya.

”Engkau jangan perkecilkan aku. Kalau engkau rasa hebat sangat, jom kita berlumba hari esok”, Sang Kura-kura mula naik berang sambil mencabar.

”Hahaha… engkau nak berlumba lari dengan aku Kura-kura? Engkau dah gila ke? Mana boleh engkau menang? Hahaha…. dah mimpi agaknya engkau ni?” sambut Sang Arnab dengan angkuhnya. ”Tapi tak ape… kalau engkau berani sangat esok kita jumpa dekat pokok di sebelah bukit sana pukul 8.00 pagi. Kita berlumba, sape dulu sampai ke sungai dekat hujung kampung ni” cadang Sang Arnab.

Besoknya berkumpullah kedua-dua ekor binatang ini sambil diadili oleh seekor kambing jantan.

”Sedia… satu… dua… tigaaaaa… preeeek” begitulah bunyi wisel yang ditiup oleh Sang Kambing.

Maka Sang Arnab pun berlarilah dengan segala kekuatannya sehingga dalam sekelip mata saja kelibatnya sudah tidak kelihatan dari mata Sang Kura-kura. Dalam masa yang sama Sang Kura-kura dengan segala kekuatannya juga mula melangkah satu persatu, sambil diperhatikan oleh Sang Kambing dengan senyuman sinis sambil berkata dalam hatinya “Hai Kura-kura, kesian aku tengok engkau ni. Kenapalah engkau nak berlawan dengan Si Arnab tu”

Dipendekkan cerita, selepas beberapa ketika berlari Sang Arnab berasa kepenatan. Menganggap Sang Kura-kura masih jauh di belakang dan mustahil dapat mendahuluinya maka Sang Arnab buat keputusan untuk berehat di sebuah pokok yang rendang. Entah macamana Sang Arnab akhirnya tertidur begitu lama sehingga tanpa disedari Sang Kura-kura mampu mengatasinya dan sampai ke garisan penamat lebih dahulu dari Sang Arnab.

Begitulah kisah dongeng orang Melayu yang menjadi tatapan kita semua ketika kecil dahulu.

Laju Dan Perlahan

Dalam mana-mana organisasi adalah menjadi perkara biasa di kalangan ahlinya yang mempunyai kemampuan berbeza. Ada yang laju dan ada yang perlahan kerjanya. Apa yang selalu ditonjolkan dalam kisah ini ialah sikap Sang Arnab yang angkuh dan memandang rendah pada Sang Kura-kura. Tetapi tidak  dihighlightkan kepada kita kemampuan dan kelebihan Sang Arnab yang mampu berlari dengan laju.

Cerita ini juga digambarkan seolah-olah segala kebaikan itu ada pada Sang Kura-kura walaupun ia lembab. Maka sebab itu di kalangan orang Melayu yang sudah sebati dengan nilai ini akan menjadikan ia satu nilaian hakiki. Ada juga di kalangan pendakwah yang terkesan dengan cerita ini. Apatah lagi ada hadith yang menekankan bahawa beramal sedikit tetapi konsisten lebih baik dari buat banyak tapi tak konsisten. Jadi ramai yang mengambil hadith ini untuk dijadikan alasan buat kerja sikit-sikit, bagi duit sikit-sikit, bagi masa sikit-sikit, bagi tenaga sikit-sikit asalkan konsisten. Hasilnya pun dapat sikit-sikit. Akibatnya yang boleh bekerja laju akan secara automatiknya menjadi lemah kerana melihat orang lain hanya beri sikit-sikit. Akhirnya dinamisme organisasi akan terencat.

Kesilapan Sang Arnab

Sebenarnya ketika Sang Arnab memulakan perlumbaan, ia gagal menyukat panjangnya jalan yang ia akan tempuhi. Semangatnya yang berkobar-kobar membuatkan ia memecut penuh emosi tanpa mengira tenaga kudrat yang ada. Sifatnya yang tak sabar untuk sampai ke garisan penamat menjadi bala kepadanya apabila ia mengalami keletihan. Apatah lagi apabila dalam saat-saat ia keletihan, ia mencari pokok yang rendang di bawah angin yang sepoi bahasa untuk berehat. Akhirnya kerehatan ini menyebabkan ia terus tertidur dan kalah dalam perjuangan. Andai kata bukan pokok yang dicari tetapi duduk SEBENTAR di tepi jalanan mungkin ia akan mampu meneruskan perjalanan.

Dalam konteks yang sama kita melihat ramai pendakwah yang memulakan kerjanya di tahap awal mengenal dakwah dengan begitu bersungguh-sungguh seolah-olah kerja ini akan habis esok hari. Tidur mereka tidak berwaktu, makan mereka tidak menentu. Namun mereka ini akhirnya merasa kepenatan dan mula berhenti untuk BEREHAT. Di saat ketika pendakwah ini mengambil keputusan untuk berehat maka ketika itulah serangan kenikmatan mula menjenguk. Akhirnya keselesaan ini  memamah semangat juangnya sehingga kaki yang kuat kini terasa amat berat untuk melangkah.

Tidak salah untuk berehat seketika kerana dakwah ini panjang jalannya dan merasa kepenatan adalah lumrah manusia. Namun berehat di atas jalanan (untuk mencari kekuatan baru) berbeza dengan berehat mencari keselesaan.

Jadi kesilapan Sang Arnab BUKAN kerana lajunya ia berlari atau ia mengambil keputusan untuk berehat seketika tetapi kesilapannya ialah apabila ia berehat untuk mencari KESELESAAN.

Aminuddin Yahaya,
Setiausaha Agung,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Suara Dari Gunung

5 thoughts on “Apabila Sang Arnab berehat

  1. Bukankah kura2 menang hasil dari kerja berpasukan yg dirancang oleh spesis tersebut utk atasi arnab yg angkuh? atau ada riwayat lain?.t.kasih.

  2. keselesaan itu penting untuk manfaat masa akan datang… tak salah jika kita berehat untuk mencari sedikit keselesaan kerana nikmat keselesaan yang allah berikan lebih dari itu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>