Antara dua intima

Ada beberapa orang pemuda dan pemudi bertanya antara dua pilihan yang memeningkan kepala mereka antaranya si isteri bertanya: “siapa saya patut ikut; suami atau naqibah saya?”, si anak yang baru menginjak kaki di jalan dakwah bertanya: “siapa yang patut saya ikut; naqib atau ibu bapa saya yang menghalang saya habis-habisan daripada mengikut naqib saya”?

Lalu untuk menenangkan hati kedua-duanya saya berkata bahawa seorang isteri perlu mengikut mazhab suaminya sebab suaminya adalah Imam dalam rumahtangga; kerukunan rumahtangga, kasih sayang, kemesraan, keserasian dan biah yang soleh untuk anak-anak lebih utama, lagipun tugas seorang isteri lebih besar di rumah daripada di luarnya dan si anak yang belum aqil baligh perlu mengikuti mazhab ibu-bapanya.

Adapun anak-anak yang telah dewasa beliau bertanggungjawab untuk memeriksa dalil dan hujjah dan mengikut mazhab yang lebih tenang di hatinya setelah membandingkan kedua-dua mazhab naqib dan ibu-bapanya, sekiranya kedua-dua mazhab itu memiliki hujjah yang sama kuat maka mazhab ibu bapa lebih aula dan sudah pasti pemilihan mazhab itu tidak menjadikan kita melupai kebaikan para nuqaba dan ibu bapa kita dan kasih sayang mereka sebagaimana kata al-Syafie;

“Seorang yang merdeka ialah mereka yang mengenang kasih sayang yang diterima walau sedetik dan menghormati orang yang mengajarnya walau satu lafaz.” (Dipetik daripada tulisan al-Rasyid)

Begitulah al-Syafie sentiasa menghormati gurunya Imam Malik dan al-Hassan sahabat Imam Abu Hanifah. Menghormati mereka tidak menghalangnya membuat fatwa yang berbeza daripada guru-gurunya kerana kefahaman yang difahaminya adalah kurniaan Allah yang wajib disampaikan.

Mengutamakan mazhab ibu bapa lebihlah utama sekiranya khilaf kita dengan ibu bapa lebih menambahkan kesedihan dan kehibaan mereka sedangkan tidak wujud perbezaan ketara dalam manhaj amal antra naqib dan kedua ibu-bapa.

Sebaliknya jika ibu bapa hanya menyatakan mazhabnya tetapi memberikan hak kepada anak-anak untuk membuat pilihan maka saya katakan anda berhak membuat apa juga pilihan berasaskan hujjah dan dalil terutamanya jika ternyata mazhab ibu-bapa itu hanyalah teori tetapi tidak wujud aspek-aspek amalinya sebagaimana mazhab amal yang telah difahami dan diamalkan sebelum ini.

Sebagai seorang duah kita perlu memiliki optimisma yang tinggi bahawa Islam tidak akan menang tanpa kesatuan ummah. Apapun mazhab amal yang kita pegang tidak boleh menjadikan kita memutuskan silaturrahim dengan sesiapapun di kalangan umat Islam terutamanya ibu bapa kita. Kita wajib menghormati kedua-dua ibu bapa kita, mengasihi mereka dan tidak mengecilkan hati mereka. Namun memilih mazhab amal yang diyakini benar tidaklah menjadikan kita durhaka kerana kita wajib beramal dengan dalil dan hujjah yang kita yakini benar. Jika kita dapati hujjah dan dalil kita tidak benar setelah beramal wajiblah kita kembali kepada kebenaran.

Dalam isu-isu khilaf ini, setiap kita perlu mencari titik persefahaman dahulu sebelum mencari titik perselisihan. Mengutamakan tindakan berasaskan kemaafan sebelum kemarahan dan cuba memahami maksud sebenar sebelum membuat kesimpulan dan tohmahan lebih-lebih lagi tohmahan niat dan tujuan yang tersembunyi.

Imam al-Syafie berkata mengenai asas-asas muamalat sesama insan: “Kita berhukum berasaskan perkara yang zahir dan kita serahkan perkara yang tersembunyi kepada Allah”. ( Lihat dalam kitab fiqh al-Syafiiyyah, bab bai’ al-Inah)

Manhaj gerakan Islam tidak sama dengan manhaj parti politik yang lebih mementingkan sokongan majoriti dan gerak kerja gerakan Islam bukan bertujuan untuk bersaing dengan gerakan Islam yang lain bagi memenangi apa-apa pilihanraya. Siapa sahaja yang menang dan melaksanakan tujuan syarak patut disokong dan dibantu dan siapa sahaja yang mengabaikan tujuan syarak perlu ditegur dan dibetulkan menggunakan saluran yang ada dan termampu.

Gerakan Islam adalah gerakan yang bertujuan menegakkan maqasid syarak dan mereka akan mengalu-alukan kebaikan semua golongan dan mengucapkan jazakumullahu khairan kepada mereka sebab amal yang mereka telah lakukan untuk kebaikan ummah sama ada mereka adalah pemerintah atau pembangkang.

Siapa sahaja yang melakukan pengislahan, kebaikan walaupun menggalakkan orang berzikir, bersolat berjamaah, membaca al-Quran, meninggalkan maksiat, menolong anak-anak yatim, memerangi riba, menghidupkan muamalat Islam dan sebagainya secara khusus dan terpisah mereka juga berhak mendapat ucapan terima kasih dan jazakumullahu khairan di atas usaha mereka.

Tugas gerakan Islam adalah mengkordinatkan semua kerja-kerja islah ini jika ada kemampuan agar selari dan selaras menuju matlamat tertegaknya maqasid syarak.

Gerakan Islam amat mengharapkan para duah memberikan seluruh jiwa raga dan setulus keikhlasan dalam melakukan intima. Begitu juga jika dari awal lagi seseorang itu sudah memasang niat untuk memutuskan hubungan dengan naqibnya selepas cukup ilmu dan cukup dewasa dalam amal dan berhasrat untuk berintima’ dengan mazhab-mazhab lain maka niat sebegini amat tidak dialu-alukan kerana tarbiyyah hanya akan berlaku jika anda memberikan sepenuh rasa intima’. Niat sebegini akan membazirkan masa anda kerana ilmu tidak akan bertapak di hati tanpa keikhlasan dan ketulusan. Gerakan Islam adalah wahana untuk sama-sama beramal dengan rasa reda, saling percaya, saling berkasih sayang dan bertolong menolong.

Oleh itu sebelum membuat keputusan untuk berintima atau berbai`ah dengan mana-mana wadah amal Islam belajar dahulu fikrah mereka, manhaj amal mereka, dalil-dalil syarak yang menjadi asas manhaj amal mereka dan buatlah keputusan dengan tenang.

Oleh: Ustaz Annuar Salleh,
Yang Dipertua ISMA DHL
Blog: Renungan2u

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>