Muhammad Al-Fatih: Sebaik-baik pemuda dan pemimpin

Pemuda-pemuda kini umpama kijang-kijang yang terhincut-hincut jika dibandingkan dengan dahulunya adalah anak-anak singa. Lihat sahaja pada pemuda berumur 17 tahun yang sudah ke medan perang, Zaid bin Harithah iaitu anak angkat kesayangan Rasulullah s.a.w  14 ratus tahun lalu.

Dalam mengimbas kembali jihad mukminin yang tiada henti, tidak lengkaplah tanpa menyebut tentang pembebasan Constantinople oleh Khalifah Uthmaniyah yang ketujuh pada tahun 857H.

Sabda Rasulullah s.a.w ketika menggali Parit Khandaq; “Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” [Hadis riwayat Imam Ahmad]

As-Syahid Abu Ayyub Al-Ansari, sahabat besar Rasulullah SAW telah dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople, dan apabila ditanya mengapa beliau mewasiatkan sebegitu, beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople nanti.”  Sungguh, rijal itu benar-benar bakal mengotakan impian menawan Kota Constantinople dengan mengimamkan hampir 150,000 orang tenteranya.

Apakah kelebihan dan rahsia Baginda Sultan Muhammad atau lebih masyhur dengan gelaran Muhammad The Conqueror?

Baginda telah menerima asuhan dari kecil sehingga baginda yakin bahawa bagindalah raja yang disebut dalam hadis Rasulullah. Dengan sentuhan tarbiah menyeluruh oleh ayahanda baginda Sultan Murad II dan guru-gurunya termasuk Syeikh Amad Shamsuddin yang mengajar ilmu agama dan berkaitan dunia pemerintahan. Baginda juga menguasai dan fasih berbahasa  Turki, Arab, Latin, Greek, Serbia (bahasa ibu Baginda), Parsi dan Hebrew.

Baginda dilatih supaya mahir memanah, menunggang kuda dan menyusun taktik perang. Kepintaran baginda dalam mengatur strategi dan mencipta peralatan termoden diperakui oleh sejarawan barat setelah melihat kehebatan Sultan Muhammad di medan perang.

Peperangan terhadap Kota Constantinople berlaku disebabkan Raja Rom yang memerintah pada waktu itu enggan menyerahkan kota tersebut. Maka tentera Uthmaniyah dengan diketuai oleh baginda Sultan Muhammad mula menyerang kubu dari segenap penjuru. Baginda sebelum itu menyampaikan khutbah melarang gereja, tempat-tempat ibadah lain diroboh dan tidak mengapa-apakan paderi, orang kurang upaya dan yang sudah tua serta mereka yang tidak membunuh.

Apabila sebuah rantai besar dibina menghalang kapal-kapal merentasi Selat Bosphorus, baginda mendapat akal untuk melancarkan kapal perang melalui jalan darat dan gunung sejauh hampir enam batu. Alangkah terkejut Raja Byzantine keesokan harinya, bukan sahaja Teluk El Qarn El Zahabi (The Golden Horn) dipenuhi kapal-kapal muslimin bahkan armada bantuan dari Ketua Paderi Rom kesemuanya musnah terbakar. Rentetan daripada itu kubu pertahanan menipis sehingga akhirnya dengan izin Allah pihak tentera Uthmaniyah berjaya menawan Kota Constantinople pada 28 Mei 1453 bersamaan 857H.

Baginda dengan tawaduk penuh kesyukuran atas kejayaan membebaskan Kota Constantinople. Setelah itu Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) dan memerintahkan agar separuh Gereja besar St. Sophies diubahsuai menjadi masjid yang terkenal Aya Sofiya. Gelaran ‘Al-Fatih’ amat sesuai kerana Baginda telah menang membuka Constantinople. Sebuah pembukaan agung yang ditunggu sejak 800 ratus tahun sebelumnya.

Sejak baligh Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud. Inilah hasil didikan Syeikh Amad Shamsuddin. Inilah dia sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadisnya itu.

Masha Allah. Satu contoh rijal hebat pernah tercatat dalam sejarah dunia. Hanya pada usia 21 tahun mampu merealisasikan cita-cita tingginya, juga cita-cita seluruh umat sejak berzaman sebelum itu. Cerita Sultan Muhammad Al Fatih mengajar muslimin beberapa tips kejayaan antaranya ‘al-akhzu bil asbab‘(mengambil sebab) dengan usaha gigih dan strategi bijak serta persiapan dan peralatan tercanggih. Membina meriam besar yang mampu membedil kubu sejauh satu batu dan menara bergerak tiga tingkat, diperbuat daripada kayu, tingginya melebihi dinding kubu dan memuatkan ratusan tentera merupakan seni peperangan yang amat hebat.

Sebagai raja yang mengimamkan ribuan muslimin, baginda sentiasa tenang, sabar, peka dan prihatin terhadap tentera bawahannya. Baginda sentiasa merujuk kepada guru-gurunya baik dalam urusan agama atau permasalahan negara. Baginda juga sentiasa menghembus semangat kepada para tenteranya dengan kemenangan yang telah Allah janjikan.

Maka junjunglah tinggi Islam dalam hidup

“Ayuh kita sama-sama perbaharui tekad untuk melatih qiadah menanggung bebanan supaya yang terlantik nanti adalah mereka yang berwibawa dan berkelayakan; bermula daripada sof pertama, kemudian diikuti oleh sof kedua dan seterusnya. Sebagai persediaan ia adalah tiga barisan pelapis untuk qiadah. Sesungguhnya mempersiapkan kanak-kanak mumayyiz dengan hukum syarak khusus membolehkan dia dijadikan imam dalam solat, sekalipun dia belum mukallaf, menjadi bukti yang menunjukkan bahawa mempersiapkan kepimpinan dengan ibadat merupakan objektif yang mesti diberikan tumpuan di dalam perlaksanaan. Berkata Imam Al-Banna rahimahullah: “Jadilah kalian hamba yang tekun beribadat sebelum dilantik sebagai ketua, nescaya ibadat kamu itu akan menjadikan kamu pemimpin yang terbaik” [Dipetik dari Perutusan Dr. Mohd Badee Mursyidul Am ke-8]

Ya Allah, Kepada  Engkau sahaja kami berharap supaya dikurnia kekuatan, keberanian, kelebihan, kesungguhan dan keyakinan utuh sebagaimana dilimpahkan terhadap hambaMu Muhammad Al Fatih seterusnya mengembalikan kegemilangan ummah ini semula. Amin.

Sumber: Laman Web ISMA Mesir Cawangan Mansurah

2 thoughts on “Muhammad Al-Fatih: Sebaik-baik pemuda dan pemimpin

  1. sultan alfatih kah yang akan memastikan para tenteranya solat malam..jika tidak maka tidak boleh ikut berperang?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *