Langkah Bermula suntik semangat pelajar baru hadapi alam mahasiswa

Melbourne, 28 Februari – Program ‘Langkah Bermula’ buat mahasiswa dan mahasiswi sesi 2010 telah berjaya berjaya dilangsungkan Ahad lalu di Dewan Seminar Physiotherapy, University of Melbourne.

Program yang dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Australia cawangan Victoria ini telah mencatat kehadiran seramai lebih dari 100 orang dari beberapa pusat pengajian tinggi seperti University of Melbourne, Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Monash University dan lain-lain lagi. Kebanyakan mahasiswa dan mahasiswi yang hadir melanjutkan pengajian dalam pelbagai jurusan pengajian, termasuklah perubatan, farmasi, engineering, arkitek, ekonomi dan banyak lagi.

Antara gelagat peserta sewaktu program berlangsung.

Dengan bertemakan ‘Sharing is Caring’, program ini bertujuan untuk mempertemukan mahasiswa mahasiswi baru dan lama mengikut jurusan pengajian masing-masing, dan sekaligus memberi ruang untuk perkongsian pengalaman dan teknik ‘Survival’.

Aktiviti dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Presiden ISMA Australia, Dr Ihsanuddin bin Abas. Dalam ucapannya, beliau menekankan akan peri pentingnya pembentukan individu muslim berdasarkan ’10 Golden Rules of Highly Effective Muslim’ yang telah digariskan oleh Mujaddid Imam Hasan al-Banna, dan tugas inilah yang cuba digarapkan oleh ISMA Australia dalam membina diri mahasiswa mahasiswi di Australia melalui aktiviti-aktiviti yang membina.

Ucapan alu-aluan oleh Dr Ihsanuddin.

Kemudian disusuli pula sesi forum ‘Smart Start’ yang diacarakan oleh Saudara Zaid Zainuddin. Melalui forum ini mahasiswa mahasiswi didedahkan dengan beberapa cabaran hidup di luar negara dan cara mengatasinya, persedian awal bagi memulakan pengajian dan teknik penting pengurusan masa, peluang-peluang yang boleh dimanfaatkan untuk pembentukan diri sebagai individu muslim, dan lain-lain. Acara ini telah menampilkan beberapa ahli profesional ISMA Australia iaitu Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim (Doktor di Frankston Hospital), saudari Norsyahida Mohammad (Masters in Chemical Engineering) dan saudara Mohd Farhan Abd Latep (tahun terakhir dalam Bachelor of Electrical Engineering).

Barisan panelis forum Smart Start.

Sebelum bersurai, mahasiswa dan mahasiswi dibahagikan mengikut jurusan pengajian untuk sesi perkongsian pengalaman yang lebih mendalam dengan mahasiswa dan mahasiswi yang lama.

Pelajar baru turut dipertontonkan dengan video yang merangkumkan aktiviti-aktiviti yang telah dianjurkan oleh ISMA Australia cawangan Victoria pada tahun lepas.

Wakil MSD, Ustaz Haznizul ketika merasmikan program.

Program ini telah dirasmikan oleh wakil Malaysia Student Department (MSD) iaitu Ustaz Hasnizul. Dalam amanatnya, beliau sangat menyokong langkah proaktif ISMA Australia dalam memberi kebajikan kepada pelajar baru. Beliau amat menekankan agar para mahasiswa mahasiswi untuk sentiasa memberi perhatian dalam penjagaan agama dan menjauhi budaya masyarakat Australia yang bertentangan dengan Islam.

Sumber: Laman Web ISMA Australia

One thought on “Langkah Bermula suntik semangat pelajar baru hadapi alam mahasiswa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>