Ketuanan Melayu dan cita-cita politik Islam

Kalimah “Ketuanan Melayu” dihentam hebat oleh orang Melayu sendiri khususnya  yang berhaluan kiri. Mereka menyifatkan perkara itu sebagai rasis, cauvinis dan sebagainya. Kerana ia dilihat memberi keuntungan politik kepada parti pemerintah UMNO. Tetapi adakah ketuanan Melayu itu sendiri sebenarnya bercanggah dengan konsep kenegaraan Islam yang menjadi cita-cita setiap pejuang Islam? Adakah ketuanan Melayu sebenarnya akan merugikan orang Islam? Atau ia telah dieksploitasi oleh orang bukan Islam untuk kepentingan mereka sehingga lahir di kalangan orang Melayu sendiri mereka yang begitu bersemangat memperjuangkan bukan kaum mereka?

Negara Islam adalah negara aqidah iaitu negara bagi penduduk yang mengucapkan dua kalimah syahadah. Negara Islam juga adalah negara yang mana kuasa politik (wewenang) mutlak berada di tangan orang Islam. Mungkin ini dimaksudkan dengan mafhum “ketuanan”.  Dengan itu mereka dapat melaksanakan maqasid siasah syariyyah mempertahankan tanahair dan kehormatan bangsa dan tugas-tugas sebagai sistem politik Islam sebagaimana difardhukan oleh Allah tanpa perlu rasa tergugat oleh pengaruh tawar-menawar pihak bukan Islam.

Adakah ketuanan Melayu bercanggah dengan konsep kenegaraan Islam? Orang Melayu adalah majoriti penduduk Islam yang mengucap syahadah teramai di Tanah Melayu ini. Secara de facto merekalah umat Islam yang dimaksudkan. Dari sini kita dapat lihat sinonimnya ketuanan Melayu dan ketuanan Islam yang menjadi pra-syarat kepada tertegaknya sebuah negara Islam yang dihormati.

Kita tidak perlu bermain kalimah mengatakan bahawa ketuanan Islam bukan ketuanan orang Islam dan ketuanan orang Islam bukan ketuanan orang Melayu kerana apa makna ketuanan Islam jika kuasa politik di tangan atau berada di bawah pengaruh bukan Islam? Dalam keadaan komposisi orang Melayu (Islam) dalam mana-mana  pakatan atau dalam parlimen lemah, bolehkah mereka mempertahankan kedaulatan dan ketuanan Islam?

Jadi secara konsepnya ketuanan Melayu dan cita-cita politik Islam saling sempurna menyempurnakan antara satu sama lain. Melayu perlu kembali kepada Islam, memahami risalah mereka, menjadi bangsa yang kuat dan bersatu padu. Jika Melayu bersatu atas satu agenda sendiri barulah ia boleh memaksa siasah dan cita-citanya.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah orang kafir mendaulatkan Islam dan mengangkat martabat orang Islam. Kenapa kita tidak terfikir bahawa mendendang lagu bahawa memperjuangan ketuanan Melayu rasis dan mendakwa Malaysia adalah milik semua, Melayu sebenarnya tidak wujud adalah propaganda orang kafir untuk mempedaya orang Islam agar mengizinkan mereka yang minoriti sampai ke tampuk kekuasaan? Kenapa kita tidak fikir bahawa politik adalah perhitungan untung rugi? Dan dengan dakwaan demikian siapa yang akan untung?

Oleh itu untuk menegakkan sistem politik Islam kita perlu sokongan yang kuat kerana ia adalah satu projek yang bertentangan dengan projek sekular barat.  Menganggap mana-mana organisasi kafir, negara  jiran, serantau dan antarabangsa akan mengalu-alukan cita-cita politik Islam adalah satu kedangkalan. Poltik Islam  adalah satu agenda yang mestilah dipaksakan dengan kekuatan. Dan kekuatan itulah yang dipanggil asobiah oleh Ibnu Khaldun. Tanpa merujuk kepada kekuatan kesatuan orang Melayu (asobiah), cita-cita politik Islam khususnya di Malaysia tidak akan ke mana. Saya tidak percaya orang yang masih ada dalam dirinya cita-cita politik Islam akan menentang ketuanan Melayu dan meruntuhkan kekuatan bangsa sendiri yang sebenarnya sandaran kekuatan kepada projeknya, kecualilah ia jahil.

Dan sebaliknya pula jika sekiranya kita memahami konsep kenegaraaan Islam dengan jelas bagaimana ia memberi keuntungan kepada agama dan bangsa, saya tidak boleh faham kenapa golongan-golongan di kalangan umat Islam tidak boleh bersatu di atasnya. Namalah apa yang kita nak namakan, Islam tidak memfardhukan dengan satu-satu nama, yang penting impaknya kepada mendaulatkan negara dan memartabatkan bangsa.

Adapun isu ini memberi keuntungan politik kepada mana-mana kumpulan itu terpulang ke atas kebijaksanaan parti tersebut dalam bermain politik. Tetapi bagi pencinta politik Islam ia adalah satu thawabit haraki yang perlu dipertahankan. Saya tidak mengatakan dengan itu kita telah mencapai cita-cita politik Islam, tetapi paling tidak kita dapat mengurangkan kemudharatan  seperti kata ulamak menanggung kemudharatan yang lebih kecil bagi mengelak kemudharatan yang lebih besar.

Mengekalkan dominasi umat Islam / orang Melayu secara umum  dalam struktur politik di Malaysia adalah satu yang bertepatan dengan maqasid syariat keseluruhannya.  Cuma isu yang akan ditimbulkan seterusnya ialah berkaitan dengan perlaksanaan syariat. Selama ini orang Melayu memerintah pun Islam tidak terlaksana juga.

Penjelasan saya:

  1. Syariat ialah segala yang dibawa oleh Nabi Muhamad s.a.w.
  2. Thawabit tadaruj dalam perlaksanaan Islam:
    • Bermula dengan akidah, nilai, ibadat, akhlak, mumalat dan politik. Justeru tiada paksaan dalam perlaksanaan.
    • Majoriti umat Islam tidak faham Islam menyebabkan antara mereka yang menentang perlaksanaan Islam.
    • Antara thawabit tadaruj juga ialah perlaksanaan Islam juga  bertitik tolak dari iltizam individu, jamaah dan kerajaan.  Kita tidak perlu kuasa untuk melaksanakan Islam di peringkat pertama dan kedua.
    • Di peringkat kerajaan, kita tidak boleh lakukan sesuatu yang bermakna dalam keadaan umat jahil, lemah dan berpecah belah seperti yang kita hadapi hari ini. Kekuatan akidah – kekuatan perpaduan dan kekuatan dokongan massa.

Kesimpulan

Dalam keadaan hari ini sesiapa yang memerintah sekalipun mereka tidak akan dapat melaksanakan pemerintahan Islam seperti sepatutnya sama ada disebabkan bidang kuasa yang terhad atau kuasa tawar-menawar lemah. Hatta di peringkat negara kita tidak semestinya memiliki wewenang yang mengizinkan kita melaksanakan cita-cita Islam.

Kita harus faham bahawa negara kita dibina atas satu reka bentuk yang bersifat sekular dan terletak dalam rangkaian sistem antarabangsa yang mencengkam segenap sendi kehidupan. Jadi ada sesetengah kewajiban Islam (walaupun kita memerintah) yang tidak dapat dilaksanakan kecuali dengan kekuatan wewenang yang membolehkan kita memaksa kehendak di peringkat negara seperti kekuatan asobiah bangsa Melayu di Malaysia dan ada yang memerlukan kekuatan kesatuan di peringkat antarabangsa (umat).

Jadi isu perlaksanaan syariat khususnya di peringkat pemerintahan perlu kepada strategi dan permuafakatan antara pihak-pihak bukan dijadikan bahan bantai-membantai, kerana keupayaan melaksanakannya mengatasi kekuatan setiap satu daripada kita.

Yang menjadi perkara pokok ialah orang Melayu mesti kembali kepada Islam dan membina semula jati diri mereka yang bersejarah. Selama matlamat ini tidak tercapai maka pendirian kita berlegar sekitar kaedah menanggung kemudharatan yang lebih kecil bagi mengelak kemudharatan yang lebih besar dan kaedah mengubah mungkar tidak sampai membawa kepada melakukan mungkar yang lebih besar. Adapun politik Islam, ia adalah satu perjalanan yang masih jauh.

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Perjalananku

17 thoughts on “Ketuanan Melayu dan cita-cita politik Islam

  1. perjalanan yg jauh akan sentiasa jauh kalau tidak dimulakan dengan langkahan pertama
    😉

    melayu perlu kembali kepada islam – yang ni susah kalau tidak memerintah. kat negara kita untuk memerintah, kena ada kuasa politik.

    malaysia dah merdeka hampir 53 tahun, perjuangkan agama islam sebagai platform, tetapi melihat masyarakat negara sendiri yang semakin jauh dengan agama, kena ada satu tindakan drastik perlu dibuat.

    individu-jemaah-kerajaan > kan bagus kalau kita gerakkan dalam satu masa yang sama.

    apa2, suka dengan pandangan ustaz. bertambah tsaqofah saya

  2. Saya tidak rasa kita harus menjustifikasikan ketuanan melayu dengan cita-cita politik Islam, saya lebih suka dalam fasa ini kita berusaha memecahkan dogma Islam itu adalah Melayu dan Melayu punya autoriti terhadap Islam. Kerana mengangkat dan melaungkan tema ketuanan melayu ini saja sudah bercanggah dengan prinsip universaliti Islam itu sendiri, mana mungkin kita menolak kemudaratan dengan suatu perkara yang bertentangan dengan Islam itu sendiri, ia akan menambah keraguan dan ketidakpercayaan kaum lain akan keadilan Islam. jalan ini masih panjang, dan tugas kita adalah terus berdakwah.

  3. Tapi adakah perjuangan yang berteraskan bangsa tidak akan membawa kemana mana. Kenapa tidak perjuangkan Islam terus? Kenapa bangsa Melayu tu yg dihighlight kan? Kami yang berbangsa Malanau, Iban dan Kadazan serta org asli ni nak letak dimana? Kami tak boleh le sertai ust dan team ust kerana kami ni bukan melayu? Ramai org Melanau sarawak yg beragama Islam…

  4. rileks mawi…tenang…isu yang dibincangkan ttg ketuanan melayu dan islam..sebab tu tidak disentuh tentang kaum melanau.cuba tanya ust dulu..nanti dia akan jelaskan..ana rasa antum di sarawak..sebab tu tidak terdedah dan merasai apa yang dirasai di semenanjug..cuba buka minda fahami permasalahan umat islam di malaysia terutamanya isu kaum majoriti di semenanjung. Sesiapa shj boleh sertai ustaz..asalkan dia ada keyakinan dan faham .ok..tenang jgn panik..salam perkenalan..

  5. besok bolehlah tbuh parti politik Islam Melayu kerana yang ada hari ini sudah tidak relevan lagi,tidak benar2 perjuangkan melayu Islam. Dan parti ni utk org melayu saja…

    SELAMAT MENCUBA

  6. ISLAM dewasa ini ibarat mimbar masjid yang terbakar…terpulang dari umat ISLAM(melayu@non-melayu) untuk menyelamatkan mimbar tersebut…bnyak pintu yang boleh kita guna untuk sampai ke mimbar tersebut…terpulang daripada kita untuk memilih pintu yang JAUH@DEKAT…mestikah kita perlu menjadi seorang syeikh@ustaz@ulama’ untuk menyelamatkan mimbar tersebut???wallahu’alam

  7. salam wbt, ana tertarik kepada pernyataan mawi… apa yang ana faham, perjuangan pertahankan ketuanan melayu itu lebih kepada memperjuangan keistimewaan yang perlu ada pada umat… bukan demi kepentingan bangsa melayu semata-mata, malah dengan islam sendiri semua orang patut merasai keadilannya… yakni, apa yang ada di malaysia, yakni apa yg melayu ada, melambangkan kedudukan islam di negara ini… mungkin term ‘ketuanan melayu’ ini diguna pakai supaya kebanyakkan umat islam yang tidak menyedari memahami… sudah tentu, islam untuk semua… ia perlu dipertahankan, kerna keistimewaan ini seolah-olah asas2 minimum untuk membentuk negara yang islami… mohon diperbetulkan jika ada kesilapan… dan ana juga mengharap ustaz Lah menjelaskan segala kekeliruan…

  8. Yang dikatakan asobiyyah itu ialah kamu menolong saudara kamu yang melakukan kezaliman dengan sebab dia adalah kabilah/puak/kaum/bangsa/kumpulan. Ini yang dilarang

    Manakala mengasihi, mengiktiraf kaum atau menolong bangsanya kerana dizalimi tidak dikatakan asobiyyah.

    Isunya Islam mengatasi kaum/bangsa/ras.

    Namun isu nya ialah bagaimana hendak mendapat wewenang Islam di Malaysia. Disinilah khilaf perbincangan.

  9. Kenapa kes di Gaza orang sibuk tanya perkembangan wakil Malaysia?Bagaimana ye dgn mereka selamat ke ape ke?Kenapa x sibuk tanya dengan perkembangan wakil yg lain?Kenapa utamakan wakil Malaysia?Sbb wakil Malaysia tersebut tu lebih rapat dan satu negara dgn kita.Betul x?Adakah ianya dikatakan asobiyyah?Tidak…

  10. ketuanan melayu tidaka akan meletakkan islam pada daulahnya kerana perjuangan Islam itu adalah islam itu sendiri dan bukan entiti lain.Islam adalah syumul dan memprjuangkan Islam akan membawa kepada kesyumulan Islam yang membawa rahmat kepada sekelian alam.Islam adalah untuk semua hatta membatasi alam manusia sehinggakan nabi saw berdaqwah kepada golongan jin.justeru mengaitkan perjuangan Islam hanya akan menyempitkan fikrah dan fitrah Islam itu sendiri.Sekiranya nabi saw memprjuangkan Islam diatas nama kabilah dan kesukuannya sebagai orang quraisy nescaya semangat dakwah nabi tidak dapat mengalir sehingga ke pendakwah yang membawa Islam ke seluruh nusantara.maqasid syariah tidak membicarakan langsung soal perbezaan warna kulit tetapi membincangkan bagaimana memelihara kesucian aqidah dan keturunan manusia..

  11. memang islam itu syumul dan dakwahnya untuk semua, kita wajib berjuang untuk membina negara islam….persoalannya dari sudut perlembagaan negara kita….bolehkah negara islam dibina dimasa yang sama ketuanan melayu runtuh….mari kita buat kajian yang berfokuskan nak bina negara islam di malaysia tanpa mengambilkira ketuanan melayu.

  12. Teladan yg perlu kita ikuti adalah Rasulullah SAW …. adakah Rasulullah SAW fokus pada ‘Ketuanan Arab’ atau ‘Ketuanan Quraisy” .

    Mungkin saya terlepas pandang, boleh ust bagi dalil mengenai perlunya konsep ‘ketuanan Melayu’ atau ‘Ketuanan Arab’ ..

  13. MoslemMalaysianMalay

    Ustaz, macam mana kita nak menunjukkan keindahan, keadilan Islam kepada orang bukan Islam kalau kita terlalu taksub memperjuangkan ketuanan melayu, hak keistimewaan melayu, yang dilihat tidak adil? Bukankah dengan berbuat demikian akan menjauhkan lagi orang bukan Islam dari mesej sebenar Islam?

  14. Kita perjuangkan orang Melayu sepakat dalam hal-hal yang beri maslahah pada Islam. Kita perjuangkan supaya orang Melayu kembali amalkan nilai-nilai Islam. Apa yang taksub & tidak adil?

    Rasanya apa2 konsep pun jangan mudah nilai sekali imbas tanpa tengok intipati konsep tersebut. Asal ada Melayu je konsep tu akan menzalimi bangsa lain.

    Mungkin perspektif kita kena ubah daripada suka mencari kelemahan & kesalahan pada sesuatu daripada mencari apa yang baik pada perkara tersebut untuk dimanfaatkan.

  15. 1-

    “Mungkin perspektif kita kena ubah daripada suka mencari kelemahan & kesalahan pada sesuatu DARIPADA mencari apa yang baik pada perkara tersebut untuk dimanfaatkan.”

    daripada ke, kepada? bukan nak cari kesalahan org, tpi ayat biar betul… nanti org tak faham…

    2-

    “Dari sini kita dapat lihat sinonimnya ketuanan Melayu dan ketuanan Islam yang menjadi pra-syarat kepada tertegaknya sebuah negara Islam yang dihormati.”

    “Mengekalkan dominasi umat Islam / orang Melayu secara umum dalam struktur politik di Malaysia adalah satu yang bertepatan dengan maqasid syariat keseluruhannya.”

    *Dominasi umat Islam / Melayu secara umum……. –> bertepatan dgn maqasid syariat????
    *Boleh jelaskan? Beserta dalil.
    *Dominasi org Melayu……………………………………

    3-
    Berdasarkan pernyataan yg kedua (mcm soalan pekse plak):
    Melayu-Islam, Islam-Melayu…

    Persoalan saya, adakah Islam & Melayu ini sama???

  16. tak betul pun org dah boleh tangkap apa yg nk dimaksudkan… sebab tu saudara boleh perasan kesilapan perkataan di situ…

    saudara faktor-x men dah baca kertas kerja KOBANNA? kalau tak baca lagi susah la nak explain tentang isu tu. soalan2 saudara tu telah diterangkan dalam kertas kerja tersebut.

    kertas kerja tu boleh download dari sini…
    http://www.ismaweb.net/v4/muat-turun/kertas-kerja-kobanna/

    *boleh fokus pd kertas kerja Ustaz Fauzi Asmuni

  17. “Selama ini orang Melayu memerintah pun Islam tidak terlaksana juga.”

    Kita tidak mahu Islam hanya laungan slogan. Islam hanya tertera pada nama orang Melayu tetapi bukan pada perlembagaan, sistem pembelajaran & amalan harian. Adakah kita orang Melayu tergolong dalam mereka yg rugi?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *